10 September 2022, 13:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sejarah tercipta pada hari ini apabila Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) menganugerakan gelaran FELO PSM kepada tiga orang individu yang berperanan besar dalam memajukan dan mengembangkan sejarah tanah air melalui penyelidikan dan penemuan baharu dalam bidang sejarah di negara ini. Majlis ini diadakan dalam sebuah acara khas yang berlangsung di Wisma Sejarah pada hari ini.

Penganugerahan FELO PSM melalui tapisan yang ketat dan dipilih atas perakuan Jawatankuasa Eksekutif PSM dan persetujuan Majlis PSM. Yang menariknya, anugerah dalam satu-satu tahun juga tidak boleh melebihi tiga orang sebagai penerimanya. Hal ini bermakna, hanya tokoh yang benar-benar layak dalam memberikan sumbangan besar mereka dalam sejarah tanah air dipertimbangkan untuk menerima anugerah ini. Jumlah pemegang gelaran FELO pula hendaklah tidak melebihi 50 orang bagi individu yang masih hidup.

Berdasarkan kegiatan cemerlang mereka dalam gerakan untuk menarik, memupuk dan mengembangkan minat masyarakat terhadap sejarah tanah air, sejarah negeri dan sejarah tempatan, Majlis PSM bersetuju untuk memberikan penganugerahan ini kepada tiga individu yang layak pada tahun ini.

Majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Dato’ Haji Jumaat Dato’ Haji Mohd Noor, Pengerusi Eksekutif PSM sebelum ucapan jasa terhadap tiga individu terpilih disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PSM, YBhg. Prof Madya Dr. Mohd Samsudin.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan acara penyampaian anugerah kepada penerima pertama, iaitu Dato’ Haji Sudin Kamari, mantan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan dan kini bertugas sebgai Setiausaha Kehormat PSM Cawangan Negeri Sembilan. Beliau merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam kegiatan sejarah terutamanya pada peringkat sekolah.

Turut terpilih menerima anugerah tersebut ialah Dr. Dasrilsyah Syahrial, Bendahari Agung Kehormat PSM yang telah lama berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif PSM. Beliau menjadi penggerak utama dalam program jejak sejarah PSM di dalam dan di luar negara atas tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Jejak Sejarah.

Penerima anugerah FELO ketiga ialah Dr. Wan Ali Wan Mamat, mantan Ketua Pengarah Perpustakan Negara dan kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpustakaan PSM. Pada masa yang sama, beliau bertugas sebagai pensyarah di ISTAC-IIUM. Kepakaran dan minat beliau tertumpu pada bidang manuskrip Melayu.

Dalam majlis yang sama, PSM turut mengadakan sesi penyampaian anugerah kepada graduan terbaik dalam kursus Sejarah Malaysia. Anugerah Pingat Emas PSM ini dianugerahkan kepada lima orang individu yang mewakili pusat pengajian tinggi masing-masing. Ainur Elliza Ismail (Universiti Malaya), Haszira Muhamad Yusof (Universiti Kebangsaan Malaysai), Sharan Syahmi Sharif (Universiti Sains Malaysia ), Ching Sin Hui (Universiti Pendidikan Sultan Idris) serta Thilushaa a/p Subramaniam (Universiti Malaysia Sabah) terpilih sebagai penerima anugerah tersebut berdasarkan tajuk tesis/latihan ilmiah masing-masing dalam bidang sejarah.

Pihak PSM mewujudkan anugerah ini sebagai inisiatif untuk meningkatkan minat dan menggalakkan kajian yang bermutu tentang sejarah Malaysia. Anugerah ini mula diberikan kepada siswazah dari UM (1998), UKM dan USM (2006) serta UPSI dan UMS (2010). Sehingga kini, 68 orang siswazah telah dianugerahkan Pingat Emas PSM. Calon yang terpilih menerima pingat emas, hadiah berupa buku terpilih dan sijil pengiktirafan.

Untuk rekod, anugerah ini diberikan oleh Senat atas perakuan Lembaga Pmeriksa-Pemeriksa yang berkenaan. Anugerah ini juga tidak diberikan sekiranya tiada calon yang dianggap layak untuk menerimanya dalam mana-mana tahun pengajian.

Majlis penyampaian anugerah ini disempurnakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad diiringi oleh Dato’ Haji Jumaat Dato’ Haji Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.