Oleh Aisyah A.
14 September 2022, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Tonton Bicara Malaysiana: Antara Martabat dan Daulat di sini.

Putrajaya  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan sesi susulan Program Bicara Malaysiana, kali ini membawa tajuk “Antara Martabat dan Daulat.” Sesi tersebut diadakan secara langsung di Menara PNM dan secara dalam talian melalui Youtube PNM.

Tokoh sejarawan negara yang dijemput pada sesi kali ini ialah YBrs. Dr. Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus dari Universiti Malaya dan YBrs. Dr. Suffian Mansor dari Universiti Kebangsaan Malaysia untuk membuat perkongsian. Program tersebut diadakan bersempena Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September sebagai bukti penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) yang membentuk negara Malaysia.

Dr. Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

Dr. Ahmad Kamal dalam mengungkap Sejarah Pembentukan Persekutuan Malaysia menegaskan bahawa tidak pernah ada garis terpisah antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dari tahun 1896 hingga 1941, yakni memberi kuasa besar kepada General British pada ketika itu. Hal ini menyebabkan Raja-Raja Melayu mengambil tindakan dalam Memorandum Malayan Planning Unit pada bulan Julai 1943 bahawa dasar tersebut tidak boleh kembali diguna pakai selepas Perang Dunia kedua. Semasa Malayan Union (MU) diperkenalkan, Raja-Raja Melayu melakukan penentangan dengan menghantar surat ke London melalui peguam-peguam menyatakan penolakan terhadap penubuhan Malayan Union.

Hasilnya, operasi MU hanya sempat berlangsung selama dua bulan dan terdapat dua perkara yang dilaksanakan, iaitu (1) membentuk sebuah kesatuan yang menggabungkan sembilan buah negeri Melayu, termasuklah Pulau Pinang dan Melaka dalam satu unit pentadbiran. Manakala, Singapura pula diasingkan kerana kepentingannya sebagai sebuah pelabuhan bebas.

Seterusnya, (2) Ratu England melantik seorang Gabenor British untuk mengetuai MU yang berpusat di Singapura. Sebagai ketua kerajaan, kuasa eksekutif dan perundangan berada di tangannya. Hasil perjuangan parti politik UMNO menentang MU, Majlis Perundangan tidak sempat ditubuhkan, hanya Majlis Penasihat yang menjadi medium Gabenor untuk menjalankan tugas.

Hak perundangan merupakan satu perkara baru dan tidak pernah berlaku di era sebelum perang. Jika dikaji, hak perundangan Pesuruhjaya Tinggi berbanding dengan Raja-raja Melayu dilihat lebih anjal. Bermaksud, jika terdapat rang undang-undang yang tidak dipersetujui oleh para baginda, Pesuruhjaya Tinggi boleh menggunakan sekurang-kurangnya dua cara sekiranya mahukan rang undang-undang itu dilaksanakan.

Dr. Suffian Mansor, Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah dan Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr. Suffian pula memulakan sesi beliau bertajuk Perlembagaan Persekutuan 1963 dengan menyatakan bahawa, hal ini bukan sebuah perkara baharu, malah merupakan hasil pindaan daripada Tanah Melayu pada tahun 1957. Pada asalnya, British ingin menggabungkan semua wilayah jajahannya di Asia Tenggara di bawah satu kesatuan. Namun begitu, setelah Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957, British telah mengubah dasar tersebut dan kerana pengaruh komunis yang begitu besar, maka terhasilnya idea pembentukan Malaysia. Ancaman komunis juga membuat British enggan melepaskan Sabah dan Sarawak secara serentak tanpa meyakinkan pemimpin Borneo terlebih dahulu pembentukan Malaysia tidak akan menjejaskan kuasa pemimpin-pemimpin di kedua-dua negeri.

Oleh itu, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan dibentuk dan pemimpin di Semenanjung dan Borneo bersetuju sistem persekutuan akan digunakan kerana dapat menjamin hak-hak negeri. Selain itu, dipersetujui juga Sabah dan Sarawak akan menyertai Malaysia sebagai negeri dan pembentukan Suruhanjaya Cobbold bagi meninjau reaksi rakyat Sabah dan Sarawak untuk menyertai pembentukan Malaysia, yang pada akhirnya bersepakat untuk diberi hak keistimewaan kepada mereka.

Terdapat banyak isu dan cabaran lain yang ditempuhi pemimpin-pemimpin dan Raja-Raja Melayu dalam membentuk Malaysia dan selepas pembentukan. Namun begitu, dengan kebijaksanaan mereka mengatasi dan menguruskan setiap masalah dengan mengambi kira kemaslahatan setiap rakyat menjadikan Malaysia yang aman damai pada hari ini dapat dicapai.

Sempena sambutan Hari Malaysia 16 September 1963, rakyat Malaysia perlu mengenang kembali segala pengorbanan yang dilakukan oleh semua pemimpin supaya kemerdekaan hari ini dapat dikekalkan dalam suasana yang berbilang kaum.

Hadirin yang hadir ke program pada hari ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.