22 September 2022, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbufdin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menzahirkan titahnya bagi menyempurnakan pelancaran buku Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu bertempat di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Yang berikut diperturunkan titah baginda.


Salam Sejahtera.

Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika dihasilkan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dr. M. Kamal Hassan sebagai sumbangan menyokong kempen memerangi rasuah yang digerakkan oleh Rasuah Busters, bermula pada tahun 2021. Penulis memilih menukilkan pada halaman pembukaan buku, kata-kata Penyair Mesir, Ahmad Shauqi Bey, petikan:

Bangsa-bangsa akan kekal selagi akhlak mereka utuh; apabila akhlak mereka sudah rosak, mereka pun akan musnah

2. Terdapat elemen keselarian kata-kata Ahmad Shauqi dengan ayat 53 Surah Al-Anfal yang bermaksud:

 … sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan Nya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri,…” (Surah Al-Anfal 8:53)

Juga dengan ayat 11, Surah Ar-Rad yang bermaksud:

… Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…”.  (Surah Ar Rad 13:11)

3. Dalam prakata buku, terkandung catatan yang mencerminkan rasa jijik, marah dan muak penulis dengan dua fenomena dalam masyarakat Muslim di Malaysia masa kini:

Pertama: Korupsi politik dan kemunafikan parti-parti politik Melayu dan ahli politik.

Kedua: Perpecahan dan fragmentasi politik dalam masyarakat Muslim yang telah membawa negara kepada keadaan paling memalukan dengan politik yang tidak bermoral dan tidak beretika, di samping perpecahan masyarakat Muslim yang parah.

Kata penulis, “Budaya politik, sistem politik, tingkah laku politik Melayu yang sudah menjadi korup ditambah pula dengan perpecahan dalaman yang semakin melebar memerlukan langkah-langkah transformasi yang komprehensif, asasi dan segera…

…langkah-langkah transformasi itu mestilah berlaku pada tahap yang paling asasi – iaitu pada tahap kesedaran kerohanian, moral dan etika (yang terbit dari hati/kalbu) para pemimpin, pengikut, kader-kader dan penyokong politik…

Satu paradigma transformasi kepimpinan yang baharu mesti diwujudkan kerana sistem dan paradigma kepimpinan yang lama, pada hemat saya (penulis), telah ternyata gagal dengan akibat-akibat yang sangat negatif ke atas umat Islam dan negara Malaysia”

4. Penulis memilih dua kata kunci, korupsi dan kemunafikan, secara berani, mengaitkan dua kata kunci tersebut dengan politik Melayu, sebagai tajuk buku. Orang Melayu, untuk sekian lama, dikenali dengan budaya berkias, bertamsil, beribarat dan bergurindam. Kerana mahu menjaga hati dan perasaan, orang Melayu lazimnya amat berhati-hati ketika mahu menyuarakan teguran, malah bersedia memukul anak sendiri meskipun marahnya pada menantu. Sesungguhnya, pendekatan penulis, merupakan pendekatan baharu di luar norma – di luar kotak budaya bangsa. Penulis berkemungkinan menghadapi risiko tidak disenangi oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu, terutama yang terasa pedasnya cili. Namun penulis bersedia menghadapi risiko tersebut kerana mahu bangsanya disentakkan, agar bangun dari lena dan leka; semoga segera sedar bahawa bangsanya dan negaranya sedang menghadapi virus penyakit yang sangat memudaratkan; jauh lebih berbahaya daripada serangan virus COVID-19.

5. Beta memilih menumpukan huraian mengenai rasuah. Rasuah ditakrifkan sebagai perbuatan salah guna kuasa untuk memperkaya atau memberikan kelebihan kepada individu, anggota keluarga, dan kenalan rapat ketika seseorang itu diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mentadbir urus sumber awam. Profesor Emiratus Dr. Petrus van Duyne, penyelidik tersohor jenayah ekonomi, penyeludupan wang dan rasuah dari Tilburg University mentakrifkan rasuah secara saintifik:

“Corruption is an improbity or decay in the decision-making process in which a decision-maker consents to deviate or demands deviation from the criterion which should rule his or her decision-making, in exchange for a reward or for the promise or expectation of a reward, while these motives influencing his or her decision-making cannot be part of the justification of the decision.”

Transparency International menggariskan misi:

“Corruption undermines good government, fundamentally distorts public policy, leads to the misallocation of resources, and particularly hurts the poor. Controlling it is only possible with the cooperation of a wide range of stakeholders in the integrity system, including most importantly, the state, civil society, and the private sector.”

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon pada September 2007 menyatakan:

“Corruption undermines democracy and the rule of law.  It leads to violations of human rights. It erodes public trust in government. It can kill.”

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa menyampaikan titah.

6. Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik. Rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara. Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa.

7. Sesuatu penyakit akan dapat dirawat jika pesakit menyedari badannya berpenyakit, mengakui dia menghidap penyakit, bersedia membenarkan tubuh badannya diuji, diperiksa dan dinilai, terbuka menerima nasihat, teguran dan preskripsi, serta lebih utama, bersedia menerima rawatan walaupun terpaksa mengambil ubat yang pahit. Rasuah ialah penyakit dalam masyarakat, penyakit bersifat barah, penyakit yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.

8. Daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. Kini, Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

9. Oleh yang demikian kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata. Penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur – secara ikhlas, secara objektif – secara fakta, dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah. Kita wajib bersifat berani mengakui, realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan berulang kali teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee).

10. Di samping itu, bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku. Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku. Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sifat responsif, segera melakukan pembetulan bukan sahaja dapat membendung salah laku tadbir urus, malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

11. Rasuah bukan fenomena baharu. Dokumen tertua menyentuh subjek rasuah ditemui terkandung dalam Arthasastra, tulisan BC Kautilya di India, pada tahun 300 sebelum Masihi. Kautilya, mengenal pasti 40 kaedah salah guna wang yang dilakukan oleh pegawai awam untuk kepentingan peribadi. Ditemui dalam nota Kaultitya catatan berikut:

Just as it is impossible not to taste honey or the poison that finds itself at the tip of the tongue, so it is impossible for a government servant not to eat up, at least, a bit of the king’s revenue.  Just as a fish underwater cannot possibly be found out either as drinking or not drinking the water, so government work cannot be found out (while) taking money (for themselves).

12. Di negara China, dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi mengenal pasti konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang melakukannya. Hakikat yang wajib direnungi dan difahami, godaan berunsur rasuah berkembar dengan penciptaan manusia. Godaan berunsur rasuah merupakan godaan pertama yang dihadapi oleh manusia pertama ciptaan Ilahi. Rasuah berjaya bertapak, apabila amanah dipinggirkan. Kealpaan pertama meminggirkan amanah, dikisahkan untuk dijadikan peringatan dan pengajaran dalam ayat 115 Surah Taha yang bermaksud:

 Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat” (Surah Taha 20:115)

Perintah yang dimaksudkan terkandung dalam ayat 35 Surah al-Baqarah yang bermaksud:

Dan kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana-mana sahaja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah 2:35)

13. Ketika Allah Subhanahu Wata’ala murka kepada Nabi Adam Alaihissalam kerana terpengaruh dengan godaan Iblis, Baginda berada dalam kesenangan syurga, dilimpahi nikmat yang dijamin oleh Ilahi seperti maksud yang terkandung dalam ayat 118 dan 119 Surah Taha:

“Sesungguhnya kamu tidak akan kelaparan di dalamnya dan tidak akan bertelanjang.

Dan sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga dan tidak akan ditimpa panas matahari.” (Surah Taha 20:118-119)

14. Nabi Adam Alaihissalam terpedaya dengan godaan Iblis sedangkan Allah Subhanahu Wata’ala telah memberikan peringatan dalam ayat 117 Surah Taha bahawa “Iblis ialah musuh”. Baginda tertewas oleh janji palsu Iblis untuk memberikan kuasa, janji palsu “pengekalan kuasa”, seperti yang terkandung dalam ayat 120 surah berkaitan yang bermaksud:

Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam! Mahukah aku menunjukkan kepada mu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?” (Surah Taha 20:120)

15. Betapa dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk mendapatkan kuasa. Nafsu yang gila akan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan akal. Pengukuhan iman ialah benteng pertahanan yang wajib dibina untuk meningkatkan daya tahan insan tergelincir kerana tarikan kebendaan, tarikan kemewahan, serta tarikan pangkat dan tarikan jawatan. Insan wajib diperingatkan firma Allah yang terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa dan ayat 12-14 Surah al-Qiaamah yang bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan” (Surah al-Anbiya 21:35).

“Pada hari itu, kepada Tuhanmu sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang dia telah tinggalkan.  Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri” (Surah al-Qiaamah 75:12-14)

16. Manusia hendaklah diinsafkan dengan kisah yang dijadikan pengajaran oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Iblis memilih untuk menyesatkan manusia melalui instrumen imbuhan berbentuk kuasa. Hari ini lebih ramai manusia yang telah disesatkan dengan imbuhan keduniaan berbentuk kuasa dan kekayaan. Manusia tanpa sedar, tanpa silu, tanpa malu, tanpa khuatir akan kebarangkalian telah tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik, kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan. Manusia mula mendewakan manusia lain dan bersedia menghambakan diri, menggadai prinsip serta menjual maruah dan harga diri kepada manusia lain kerana wang, kuasa, pangkat dan jawatan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang bermaksud: Akan datang suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima olehnya, sama ada daripada sumber halal atau pun haram.

17. Telah ada manusia yang sanggup bersekongkol dan bersubahat melakukan kemungkaran serta tergamak berbohong, kerana lupa bahawa punca rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan datangnya daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan sebenarnya ialah anugerah dan juga ujian daripada Ilahi. Sedarilah! Sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin dikembari dengan kesetiaan. Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikotakan, malah begitu cepat bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam. Watak sebenar insan akan terpamer apabila telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyap budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

18. Manusia semakin lupa bahawa Allah ialah Tuhan Pemerintah sekalian alam yang Maha Berkuasa, memiliki kerajaan di atas segala kerajaan. Manusia semakin lupa sumber rezeki dan penghidupannya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kerana itu umat Islam sewajibnya menghayati maksud yang terkandung dalam ayat 162, Surah al-An’am:

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam” (Surah al-An’am 6:162).

19. Jadikan pekerjaan sebagai ibadah disempurnakan atas nama dan kerana Allah Subhanahu Wata’ala. Iblis telah berjaya menggelincirkan akidah manusia melalui instrumenkebendaan duniawi berbentuk kuasa dan kemewahan, maka benteng pertahanan manusia hendaklah dibina berpayungkan naungan Ilahi. Kepercayaan kepada Tuhan ialah prinsip pertama Rukun Negara. Insan yang mempercayai Tuhan, menyedari setiap perkara, sama ada niat begitu juga perbuatan, sama ada dilakukan secara terbuka mahupun secara tersembunyi, kesemuanya dalam pengetahuan Ilahi. Firman Allah dalam ayat 11, Surah ar-Rad turut memperingatkan:

Bagi manusia ada malaikat yang selalunya menjaganya bergiliran, dari hadapan dan dari belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. ..” (Surah Ar-Rad 13:11).

20. Profesor Emiratus Kamal Hassan menamakan “Paradigma Kepimpinan Theosentrik” sebagai paradigma baharu berdasarkan model kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam yang antaranya mengandungi ciri-ciri berikut:

Pertama: Berpegang teguh kepada pandangan alam tauhid (ia itu kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah Tuhan Maha Esa, Tuhan yang sebenar, menguasai, mengatur, mengurus, menjaga, memerintah dan menentukan bahawa manusia sebagai hamba Nya harus menyerah dan tunduk kepada kehendak Nya.

Kedua:  Mencari untuk mendapatkan keredaan Ilahi dan kesejahteraan abadi pada hari akhirat dalam syurga Allah Subhanahu Wata’ala.

Ketiga:  Kesedaran tentang akauntabiliti secara langsung kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

21. Dalam usaha melaksanakan perjuangan murni, yakinlah dan percayalah kepada kebesaran kuasa Ilahi. Hadapilah cabaran dengan semangat gigih dan hadapilah ujian dengan hati yang cekal. Semaikan kesedaran dan bina kekuatan. Tumpukan usaha kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya. Para aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah, hendaklah memiliki semangat kental, menyamai semangat para pemuda Ashabul Kahfi, kerana sifat gigih mereka mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah yang zalim, Allah Subhanahu Wata’ala telah memberikan mereka perlindungan; mereka ditidurkan selama lebih 300 tahun, seperti yang diperihalkan dalam ayat 18 ke ayat 21 Surah al-Kahfi.

22. Dalam gerakan melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, jangan sama sekali berputus asa memohon petunjuk dan kekuatan daripada Ilahi. Teruskan usaha dan teruskan berdoa memohon kemenangan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Berdoa itu merupakan sebahagian daripada ibadat yang disyariatkan Islam. Allah sangat suka hamba Nya berdoa memohon dan mengharap kepada Nya. Orang yang senantiasa berdoa kepada Allah, menandakan orang itu menyedari kelemahan dirinya. Para pejuang yang mahu menegakkan kebenaran berlandaskan seruan Ilahi, hendaklah sentiasa melazimkan ibadah berdoa agar perjuangan mencapai kejayaan. Berpandukan fahaman, bahawa doa memiliki peranan istimewa dalam hidup insan, Beta telah menitahkan di negeri Perak, untuk dilengkapkan khutbah pada setiap solat Jumaat dengan dua doa berikut:

Pertama: Ya Dzal Jalali Wal Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah.  Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kedua:  Ya Malikul Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

23. Ketika menghadapi mudarat yang melanda negara akibat perlakuan rasuah, kita memerlukan lebih ramai para murabbi tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah. Para murabbi berperanan amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian dan moral. Para murabbi perlu menegaskan pentingnya ummah memiliki sifat-sifat ikhlas kerana ummah yang ikhlas itu, tidak akan dapat didampingi atau dipengaruhi oleh Iblis seperti yang tersurat dalam ayat 39 dan ayat 40 Surah al-Hijr yang bermaksud:

Iblis berkata, “Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, (maka) aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan aku akan menyesatkan mereka semuanya”

“Kecuali hamba-Mu yang ikhlas (dibersihkan daripada sebarang syirik) dalam kalangan mereka” (Surah al-Hijr 15:39-40)

24. Melalui buku yang dihasilkan, Profesor Emeritus Kamal Hassan menyeru akan pentingnya dibina kekuatan dalaman – kekuatan rohani untuk memerangi rasuah. Buku “Korupsi dan Kemunafikan Politik Melayu” tidak akan mencapai tujuannya jika sekadar ditulis, diterbitkan, dilancarkan, dibeli dan diedarkan. Buku ini perlu dikembari dengan usaha bersungguh, berterusan dan berskala besar, menyampaikan mesej bahaya rasuah dan pentingnya rasuah dihapuskan, serta menyebarkan mesej pentingnya tanggungjawab diamanahkan kepada orang yang bebas daripada rasuah. Kandungan buku ini amat perlu disebarkan mesejnya ke setiap kota, mukim dan desa, dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat biasa yang tidak berpendidikan tinggi.

25. Beta menzahirkan penghargaan kepada Profesor Emeritus Tan Sri M. Kamal Hassan yang telah memenuhi satu tuntutan fardu kifayah, menghasilkan “Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu”, juga dizahirkan penghargaan kepada penerbit, Emir Research dan kepada Dato’ Hussamuddin Haji Yaacub serta rakan-rakan Rasuah Busters.

26. Ya Allah! Ya Rabbulalamin! Peliharalah negara yang telah Engkau kurniakan kepada kami ini daripada kemusnahan kerana perlakuan rasuah, dan berpandukan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud, “Jikalau Allah menginginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka Allah akan memberi bangsa itu pemimpin yang baik”; kami pohonkan kepada Mu Ya Allah, kurniai kami pemimpin yang baik, pemimpin yang amanah, jujur dan ikhlas.

27. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan buku tulisan M. Kamal Hassan, Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika.


Demikianlah titah baginda pada majlis pelancaran yang diadakan pada 22 September 2022. Semoga titah baginda ini dijadikan pedoman oleh seluruh Keluarga Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!