23 September 2022, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan menyampaikan beberapa kejayaan KPM dalam sistem pendidikan Malaysia melalui majlis Wadah Aspirasi, semalam.

Putrajaya – “Sebuah generasi yang hebat adalah generasi yang membina generasi yang berikutnya jauh lebih hebat.”

Inilah antara sorotan kata-kata daripada YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan semasa majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan bersama-sama warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Antara perkara yang diketengahkan dalam ucapan beliau ialah peruntukan penyelenggaraan di sekolah. KPM menggunakan formula khusus untuk menyelesaikan perkara itu.

Selain itu, KPM dalam situasi pandemik telah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Disebabkan ada kekangan yang dilalui murid mahupun guru dari segi kegunaan Internet atau ketiadaan peranti, KPM memberikan tanggungjawab kepada guru untuk mengajar mengikut keselesaan guru dan murid,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, pertukaran guru juga diubah semula dan dilakukan penambahbaikan. Kalau dahulu setahun dua kali sahaja permohonan pertukaran boleh dilakukan, tetapi kini permohonan berlangsung secara berterusan. Malah, pertukaran boleh dilakukan sebanyak empat kali setahun.

Pengambilan guru secara besar-besaran juga dilakukan oleh KPM. Seramai 18 702 kekosongan dan lebih daripada 16 000 orang telah diambil sebagai guru.

“Pendekatan ini berjaya kerana kita menggunakan kaedah kluster, iaitu seseorang guru boleh sahaja mengajar subjek lain mengikut kluster yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Beliau menambah, KPM bergerak sebagai satu kementerian untuk menyelesaikan masalah berkaitan ketidakseimbangan antara seksyen dengan bahagian, maka pelbagai masalah boleh diselesaikan.

Bahagian berkaitan infrastruktur juga banyak diselesaikan. Sebagai contohnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra yang terbengkalai dan telah disiapkan untuk kemudahan masyarakat sekitar.

“Pembinaan sekolah baharu juga dilakukan dengan pemilihan tapak, iaitu sekolah di kawasan yang penduduk padat seperti Klang, Hulu Langat dan beberapa tempat di negeri Johor dan Pulau Pinang,” tambahnya.

Dalam ucapan itu, beliau turut menambah bahawa semua bahagian dalam KPM bergerak sebagai satu pasukan.

Tanggungjawab dan amanah yang dipegang sangat besar. Malah, kita tidak akan merasa penat kerana segala yang dilakukan akan memberi impak yang besar.

Sumber foto: KPM

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.