Oleh Zaleha Embong
27 September 2022, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) merupakan satu jawatankuasa sukarela yang dinaungi dan dipantau oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah kawalan Kementerian Perpaduan Negara. KRT ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa. Peristiwa ini bukan sahaja telah memberikan kesan buruk terhadap negara pada ketika itu, malah menimbulkan sikap prejudis dan curiga sehingga menyebabkan hubungan antara etnik semakin renggang. Oleh sebab itu, KRT merupakan inisiatif pihak kerajaan untuk memupuk kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat agar keharmonian dapat dicapai. Peristiwa ini memberikan kesedaran kepada pelbagai pihak akan kepentingan mengurus masyarakat daripada peringkat akar umbi. Ekoran itu, pada 29 Ogos 1975, KRT telah dirasmikan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua di KRT Kampung Kasipillay, Kuala Lumpur. KRT ini diwujudkan di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 (P.U. (A) 279/75)  yang diadakan di bawah Ordinan Darurat 1969.

Pada awalnya, KRT berfungsi untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan kejiranan dan rondaan wajib telah diperkenalkan kepada penduduk yang berusia 18 hingga 55 tahun. Selepas itu, pada tahun 1984, konsep KRT berubah kepada konsep kejiranan yang menjurus kepada program meningkatkan semangat kejiranan dan perpaduan dalam masyarakat setempat. Kemudian, pada tahun 2001, hala tuju KRT beralih kepada konsep pembangunan komuniti sejajar dengan perkembangan semasa. Hala tuju KRT ini diterjemah melalui kelompok KRT yang meliputi Jiran Wanita, Jiran Usia Emas, Jiran Muda dan Tunas Jiran. Pada tahun 2010 pula, KRT telah mengalami fasa transformasi selaras dengan Program Transformasi Kerajaan pada ketika itu apabila Model Transformasi Rukun Tetangga yang berpaksikan kepada lima teras, iaitu perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup diperkenalkan. Program yang dianjurkan oleh KRT berdasarkan teras-teras tersebut. Lima teras ini merupakan antara kerangka yang dikenal pasti mampu mencapai matlamat negara untuk melahirkan masyarakat majmuk yang hidup dalam suasana harmoni.

Perkembangan KRT ini telah menyebabkan masyarakat semakin memahami akan kepentingan organisasi sosial dalam menguruskan masyarakat majmuk secara berstruktur. Oleh itu, kadar pertambahan KRT semakin meningkat saban tahun dan kini terdapat sebanyak 8330 KRT di seluruh negara. KRT mempunyai kelompok komuniti yang berperanan penting dalam membantu meningkatkan tahap kualiti hidup masyarakat KRT. Kelompok ini merupakan tulang belakang dan bertanggungjawab dalam memastikan program dapat dijalankan secara berterusan. Kelompok komuniti diperkenalkan sebagai salah satu langkah memperkasakan KRT melalui penglibatan masyarakat mengikut peringkat umur, iaitu Jiran Wanita, Jiran Muda, Jiran Usia Emas dan Tunas Jiran.

Maka, tahun ini pihak kerajaan telah menyediakan Geran Rukun Tetangga sebanyak RM50 juta bagi memperkukuh peranan KRT dalam komuniti melalui pelaksanaan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga yang merangkumi Gerak Kerja KRT Sejahtera, Gerak Kerja KRT selamat, Gerak Kerja KRT Sihat serta Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah. Sesuai dengan tema Mendepani Cabaran untuk Kesejahteraan Keluarga Malaysia, pelaksanaan inisiatif berdasarkan isu serta cabaran dalam komuniti supaya KRT peka dan prihatin dengan perkembangan semasa, selain sentiasa dekat di hati Keluarga Malaysia.

Yang menariknya, program-program yang diadakan di KRT dilakukan secara terancang dan dipantau oleh JPNIN. Biasanya KRT yang aktif akan merangka dan mengatur program sepanjang tahun. Manakala, penyelia KRT akan bertindak membantu memberikan idea dan nasihat kepada KRT. Setiap program yang dilakukan didokumenkan dan diserahkan kepada JPNIN. Antara program yang dilaksanakan ialah program sambutan perayaan, kemerdekaan, sukan, rekreasi, kebudayaan, gotong-royong, keagamaan, kebajikan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan ekonomi. Pihak JPNIN telah menyediakan modul bagi memudahkan urusan ahli jawatankuasa KRT melaksanakan program secara sistematik dan berterusan. Program yang dianjurkan tersebut bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang berdikari, progresif dan berdaya saing malah mewujudkan suasana harmoni.

Program yang dianjurkan oleh masyarakat KRT boleh dibanggakan kerana mereka melakukannya secara sukarela dan bertungkus lumus menjayakan setiap program. Malah ada dalam kalangan ahli KRT menggunakan kewangan sendiri demi menggerakan program yang dirancang. KRT turut menjalin usaha sama dengan organisasi-organisasi lain bagi mendapatkan sumbangan kewangan. Sebagai contoh, KRT Kg. Gong Baru, Kuala Terengganu telah menerima sumbangan kewangan daripada syarikat Kasut YOU sebanyak RM10 000 setiap tahun. Hal ini bagi menjamin kelangsungan program secara berterusan. Program-program ini telah memberikan impak yang cukup besar kepada hubungan masyarakat. Walaupun berbeza agama, bangsa dan bahasa, mereka dapat menjalin hubungan kerjasama, saling membantu dan mengamalkan sikap bertoleransi. Perkara ini menunjukkan hubungan positif yang boleh mewujudkan rasa kekitaan dan kebersamaan dalam masyarakat. Tanpa program-program sosial sebegini, tentunya sukar untuk memupuk hubungan kejiranan yang baik.

Namun begitu, penglibatan golongan remaja dalam program KRT semakin lama semakin berkurangan kerana mereka lebih cenderung untuk melakukan aktiviti luar bersama-sama dengan rakan mereka. Oleh sebab itu, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh KRT untuk menarik minat golongan remaja dengan menganjurkan program kesukanan dan rekreasi sesuai dengan minat mereka. Sebagai contoh pertandingan futsal, bola sepak, sepak takraw, memancing, sukan tradisional, reka cipta dan sebagainya. Hadiah juga disediakan bagi memberikan semangat dan dorongan kepada golongan remaja untuk menyertai program ini.

Fungsi KRT seharusnya disebar luas bagi memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat dan negara. KRT boleh dijadikan sebagai model pelaksana program sosial terancang kerana keupayaannya memperkasa fungsi masyarakat. Bahkan, KRT boleh dijadikan sebagai aset bernilai dalam negara kerana peranannya dalam memupuk kesepaduan sosial yang dapat mempengaruhi kestabilan sosiopolitik, ekonomi dan kepesatan pembangunan negara.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.