Oleh Sakinah Sahwati
22 Mac 2023, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan ditawarkan di luar negara, namun ada yang “bertopengkan” sindiket penipuan pekerjaan.

Sukar mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan menjadi punca utama ada dalam kalangan rakyat di negara ini yang mengambil keputusan untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara. Jika keputusan itu tepat dan pekerjaan yang diperoleh sah dari segi undang-undang di negara yang terlibat, hal itu sudah pastinya menggembirakan apatah lagi hajat untuk mendapatkan gaji yang lumayan menjadi kenyataan.

Walau bagaimanapun, tidak semua pencari kerja yang menanam impian bekerja di luar negara dengan gaji yang lumayan bernasib baik dengan benar-benar memperoleh pekerjaan yang dijanjikan. Hal ini dikatakan demikian kerana, ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan. Lebih malang apabila mereka terjerat dalam sindiket penipuan pekerjaan yang menjerumuskan mereka ke kancah jenayah yang lain.

Kisah menakutkan yang diceritakan oleh seorang mangsa sindiket penipuan pekerjaan, iaitu rakyat Malaysia yang diseludup ke Myanmar, namun berjaya melarikan diri membuktikan bahawa sindiket penipuan pekerjaan ini amat membimbangkan, perlu dibendung, dan seharusnya membuka mata banyak pihak untuk lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk bekerja di luar negara.

Remaja berusia 20 tahun itu menceritakan bagaimana dirinya melalui penderitaan selama empat bulan dengan dipaksa bekerja di sebuah bangunan empat tingkat yang dipagari dengan tembok berkawat besi dengan hanya ada satu sahaja laluan keluar dan masuk  ke bangunan tersebut. Remaja tersebut bersama-sama 15 orang lagi warganegara Malaysia yang berusia antara 18 tahun hingga 26 tahun turut dikawal selama 24 jam oleh kumpulan lelaki yang lengkap bersenjata.

Pada awalnya kami dijanjikan tawaran menarik untuk bekerja di Singapura sebagai pengemas hotel. Walau bagaimanapun, hal itu tidak berlaku apabila kami menaiki kapal terbang dari Johor ke Bangkok dan terus dibawa ke sempadan Thailand-Myanmar.

Tambah remaja tersebut, mereka dipaksa bekerja sebagai penipu secara dalam talian  (scammer) untuk menjerat mangsa dengan tumpuan mangsa dari negara Eropah. Mereka direkrut dengan cara menawarkan pelbagai barangan dan hadiah dengan harga yang murah sebelum meminta mangsa menekan pautan palsu. Selepas mangsa mengikut arahan yang diberikan, mereka akan menggodam akaun mangsa dengan memindahkan wang mangsa ke akaun sindiket.

Sepanjang empat bulan menjadi tawanan sindiket tersebut, remaja berkenaan turut menceritakan bagaimana mereka dipukul dan dipaksa makan makanan tidak halal seperti babi dan tikus, selain dipaksa bekerja lebih daripada 15 jam. Bagi mangsa wanita pula, mereka dijadikan hamba seks dan turut dipaksa menggodam akaun secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, penderitaan remaja ini berakhir apabila dirinya dan lima orang lagi rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan pada Disember 2022 berjaya  dibawa pulang dengan bantuan Kementerian Luar Negeri (KLN).

Hal yang demikian juga dengan kisah dua orang remaja berusia awal 20-an yang kononnya mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji yang lumayan di Singapura daripada seorang lelaki yang dikenali menerusi media sosial. Hal itu menjerat remaja tersebut apabila mereka tidak dihantar ke Singapura, sebaliknya ke sempadan Thailand-Myanmar. Setibanya di sana, pasport kedua-dua remaja tersebut dirampas dan mereka di bawa ke Mae Sot dan diseludup melalui jalan tikus dan ditempatkan di KK Garden Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai penipu secara dalam talian.

Nasib yang baik ternyata menyebelahi kedua-dua remaja ini apabila mereka dilepaskan oleh kumpulan sindiket tersebut selepas “menghidu” bahawa gerak-geri mereka berjaya dikesan oleh pihak berkuasa.

Pada hakikatnya, kes yang dipaparkan bukanlah kes pertama membabitkan sindiket penipuan pekerjaan yang didedahkan oleh media di negara ini. Sudah banyak kes demi kes yang menggerunkan dilaporkan dan seharusnya menjadi pengajaran besar untuk rakyat Malaysia agar lebih waspada untuk mempercayai tawaran kerja di luar negara yang menawarkan gaji mencecah lima angka.

 

Faktor Terjebak Sindiket Penipuan Pekerjaan 

Daripada perkongsian pengalaman mangsa, kesemua mereka yang terlibat mengambil keputusan untuk bekerja di luar negara selepas tertarik dengan tawaran yang diberikan, iaitu gaji lumayan yang mencecah puluhan ribu dan pelbagai kemudahan yang menarik, antaranya termasuklah disediakan tempat tinggal yang selesa, disediakan makan dan minum, tiket penerbangan percuma, kemudahan cuti dan perubatan yang menarik.

Menurut Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim,

Tawaran kerja dengan gaji lumayan yang mencecah antara AS$2000 hingga AS$4000 (RM9000-18 000), selain tidak cakna dengan berita semasa menjadi antara punca ratusan rakyat Malaysia terjerat dengan sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.

Tambahnya lagi, tawaran berkenaan biasanya disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp. Beliau turut membahagikan mangsa penipuan pekerjaan kepada dua kategori, iaitu yang pertama yang mempunyai sijil seperti diploma, manakala yang kedua ialah golongan muda yang berusia belasan tahun hingga mereka yang berumur lingkungan 30-an dan tidak memiliki sebarang kelayakan pendidikan.

Sindiket penipuan pekerjaan akan menawarkan jawatan yang “menarik”, namun semua itu indah khabar dari rupa.

“Kategori pertama ini akan sampai di Kemboja lengkap dengan surat tawaran kerja seolah-olah daripada syarikat sebenar, tetapi selepas tiba di negara berkenaan mereka akan dipaksa bekerja dengan sindiket. Walau bagaimanapun, kategori ini sedikit sahaja bilangan mangsanya, iaitu membabitkan satu atau dua kes”.

Tambahnya lagi, kategori kedua melibatkan mangsa yang paling ramai dan biasanya mereka ini tidak berpelajaran atau yang terdesak kerana berhadapan dengan masalah ekonomi, masalah keluarga dan sebagainya. “Kita nampak trend ini meningkat selepas pandemik COVID-19, sebab ramai yang hilang pekerjaan maka sindiket mengambil kesempatan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Pada September 2022, kerajaan menerusi KLN berjaya menyelamatkan dan membawa pulang sebanyak 15 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja. Kejayaan itu menjadi tumpuan media tempatan dengan pelbagai pengalaman hitam yang dilalui oleh mangsa yang terlibat turut didedahkan kepada umum.

Usaha tersebut bukanlah usaha pertama yang dilakukan oleh kerajaan dalam menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi sindiket penipuan pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana hingga 21 September 2022, sebanyak 301 kes sindiket penipuan pekerjaan dilaporkan membabitkan empat buah negara, iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan di bawa pulang ke tanah air. Sementara itu, sebanyak 34 orang mangsa lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki sebanyak 99 orang masih dikesan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Menurut Menteri KLN, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, KLN amat prihatin dan memandang serius mengenai nasib warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Beliau turut mengadakan perbincangan secara maya bersama-sama Duta/Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos, dan Thailand bagi memperincikan langkah-langkah yang lebih lanjut dalam menggiatkan usaha menyelamatkan warganegara Malaysia yang terbabit.

 

Semak dan Rujuk Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja

Setiap tawaran pekerjaan khususnya di luar negara yang menawarkan gaji lumayan yang mencecah puluhan ribu perlu disemak terlebih dahulu kesahihannya dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud, berkata langkah itu dapat membantu untuk mengesahkan kesahihan ejen pekerjaan yang membuat tawaran pekerjaan bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan dan pemerdagangan manusia.

“Tawaran gaji yang lumayan serta meragukan dan membabitkan syarikat yang tak dikenali atau kukuh, kita perlu selidik dengan teliti terlebih dahulu latar belakang penawar pekerjaan ini. Rakyat negara ini perlu berhati-hati. Isu penipuan pekerjaan luar negara membabitkan sindiket yang menyasarkan rakyat negara ini kini juga semakin membimbangkan,” katanya.

Keseriusan kerajaan menangani isu ini mengakibatkan negara dianggarkan terpaksa menanggung kerugian sehingga RM500 juta pada setiap tahun. Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, paling menyedihkan apabila  duit simpanan mangsa yang terpedaya turut tergadai. Maka itu, rakyat Malaysia diingatkan supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan pekerjaan ke luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.