Oleh Sakinah Sahwati
27 Februari 2023, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak untuk menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Pelantikan serta-merta ini dibuat sebagai usaha menangani masalah penderaan dan masalah sosial yang melibatkan kanak-kanak di negara ini. Menurut Perdana Menteri, pelantikan pesuruhjaya itu merupakan satu cabang khas yang mempunyai autonomi di bawah Suhakam.

Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak untuk bersama-sama menangani kes penderaan kanak-kanak di negara ini.

Penderaan dan masalah sosial yang terkait dengan kanak-kanak bukanlah isu yang asing di negara ini. Penderaan yang mengakibatkan trauma, kecacatan kekal dan kematian sering berlaku dan dilaporkan oleh akhbar dan media sosial. Meskipun pelakunya berjaya diberkas oleh pihak berkuasa, dihadapkan ke mahkamah dan sudah pun menjalankan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan, namun penderaan kanak-kanak masih terus dilaporkan seolah-olah kes yang berlaku tidak memberikan pengajaran yang besar jauh sekali dapat menghentikan keganasan terhadap kanak-kanak. Hal itu belum mengambil kira kes yang tidak dilaporkan dan kes lain seperti pengabaian kanak-kanak, sindiket pekerja bawah umur, jenayah yang kanak-kanak, sindiket yang menjadikan kanak-kanak pengemis dan eksploitasi seksual, serta kes lain yang berkaitan.

Siapakah kanak-kanak? Mengapakah mereka terus menjadi mangsa golongan dewasa? Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, pengabaian merujuk kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

Penderaan kanak-kanak merupakan satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk terus berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-kanak 2001 berlaku apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan terhadap tubuh kanak-kanak itu.

Penderaan emosi pula berlaku apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan yang lambat.

Penderaan seksual pula terjadi apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang terbabit atau orang lain.

Sementara itu, keganasan merujuk sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak, manakala eksploitasi merujuk pelibatan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

PENDERAAN KANAK-KANAK, ANGKARA SIAPA?  

 Pada September 2022, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan sebanyak 1055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan untuk tempoh Januari hingga Jun 2022. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 578 kes melibatkan penderaan fizikal; penderaan seksual (417 kes); dan penderaan emosi (60 kes). Daripada pecahan itu, sebanyak 706 orang ialah kanak-kanak perempuan dan 349 orang merupakan kanak-kanak lelaki.

Persoalannya siapakah pihak yang bertanggungjawab dalam kes penderaan dan pengabaian yang dilaporkan? Banyak pihak pastinya menuding jari ke arah pengasuh, ibu angkat atau bapa angkat sebagai pihak pendera. Walau bagaimanapun sangkaan itu tidak 100 peratus tepat kerana daripada statistik yang dikeluarkan oleh JKM, jumlah tertinggi individu yang bertanggungjawab mendera atau mengabaikan kanak-kanak ialah ibu kandung dan bapa kandung kanak-kanak yang terlibat. Pada tahun 2022 (Januari hingga Mei), dilaporkan bahawa sebanyak 536 kes penderaan dan pengabaian dilakukan oleh ibu kandung, diikuti 316 kes oleh bapa kandung. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding dengan kes penderaan dan pengabaian yang dilakukan oleh ibu angkat (10 kes); bapa angkat (10 kes); dan pengasuh (105 kes).

Menurut JKM, antara faktor utama yang menyumbang kepada keganasan terhadap kanak-kanak termasuklah kecuaian ibu bapa dan penjaga sama ada secara sengaja atau tidak; faktor kewangan khususnya keluarga yang tinggal di kawasan bandar dengan pendapatan kecil yang menyukarkan ibu bapa membesarkan anak-anak mereka; masalah pengasuh yang tidak menghadiri kursus pengasuhan kanak-kanak menyebabkan mereka tiada pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan anak kecil; dan kekurangan aktiviti dan pemantauan kanak-kanak yang turut menyumbang kepada penderaan serta pengabaian. Hal ini dikatakan demikian kerana kecuaian dan kemalangan lebih mudah berlaku apabila kanak-kanak tidak disediakan dengan aktiviti perkembangan secara berjadual atau mereka ditinggalkan bersendirian tanpa pemantauan.

DASAR PERLINDUNGAN KANAK-KANAK NEGARA

Seperti di negara lain, Malaysia turut memiliki dasar perlindungan untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian dan penderaan. Dasar ini  dikenali sebagai Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara.  Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

Dasar Perlindungan Kanak-kanak merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selaras dengan CRC dan Akta Kanak-kanak 2001. Dasar ini memberikan tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan, dan pembangunan bagi melindungi kanak-kanak. Secara khususnya, Dasar Perlindungan Kanak-kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak.

 

Antara objektif yang terkandung dalam dasar ini termasuklah: 

    1. Meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama;
    2. Mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak;
    3. Menggalakkan organisasi yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak untuk mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak dalam organisasi masing-masing;
    4. Melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi;
    5. Menetapkan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung dengan kanak-kanak;
    6. Meningkatkan khidmat sokongan bagi menangani pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak; dan
    7. Meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menambah baik perlindungan terhadap kanak-kanak.

PINDAAN SEMULA AKTA

Banyak pihak menuntut agar penjenayah terkait kanak-kanak dikenakan hukuman berat seperti yang diamalkan di kebanyakan negara maju.

Selain Dasar Perlindungan Kanak-kanak yang boleh dijadikan garis panduan oleh semua pihak, suara lain yang sering kedengaran adalah tuntutan terhadap kajian dan semakan semula Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pindaan akta mungkin boleh dilakukan selepas melihat kekurangan atau kelonggaran dalam pelaksanaan akta berkenaan dalam melindungi kanak-kanak.

“Saya berpandangan bahawa rangka Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 perlu ditambah baik dan kita akan fokuskan untuk membuat beberapa pindaan. Saya berharap sesuatu kes itu boleh diselesaikan dalam masa setahun dan ketika ini ada beberapa kelonggaran yang perlu dikemas kini,” ujarnya pada Januari lalu.

Tambahnya lagi, antara aspek yang perlu dilihat semula termasuklah mewujudkan mahkamah khusus bagi kanak-kanak. Mahkamah itu perlu diberi pembaharuan yang lebih sesuai dan selesa supaya tidak ditakuti oleh kanak-kanak ketika dipanggil memberikan keterangan yang boleh memberikan kesan kepada siasatan atau pendakwaan sesuatu kes.

Antara negara yang memiliki mahkamah kanak-kanak dan sistem undang-undang yang terbaik dalam menjamin hak kanak-kanak untuk mendapatkan keadilan termasuklah Belgium, Portugal, Spain, Finland, Belanda, Luxembourg, Kenya, Iceland, Latvia, United Kingdom, Argentina, Norway, Brazil, Kanada, New Zealand dan Poland.

Pada hakikatnya, tiada sesiapapun yang dibenarkan untuk menafikan hak kanak-kanak. Maka itu, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak adalah perjanjian penting oleh negara yang telah berjanji untuk melindungi hak kanak-kanak. Konvensyen ini menerangkan siapa kanak-kanak, hak mereka dan tanggungjawab kerajaan yang tidak boleh diambil daripada kanak-kanak.

Antara hak kanak-kanak yang digariskan di bawah konvensyen ini termasuklah tiada diskriminasi, iaitu semua kanak-kanak mempunyai semua hak ini, tidak kira siapa mereka, di mana mereka tinggal, bahasa yang mereka tuturkan, agama mereka, apa-apa yang mereka fikir, bagaimana rupa paras mereka, jantina mereka, jika mereka mempunyai kecacatan atau sebaliknya, kaya atau miskin, dan tidak kira siapa ibu, bapa atau keluarga mereka atau apa yang dipercayai atau dilakukan oleh ibu, bapa atau keluarga mereka. Tiada kanak-kanak harus dilayan secara tidak adil atas apa juga sebab!

Selain itu, kepentingan terbaik kanak-kanak juga perlu diutamakan, iaitu apabila orang dewasa membuat keputusan, mereka harus memikirkan bagaimana keputusan mereka akan mempengaruhi kanak-kanak. Semua orang dewasa harus melakukan yang terbaik untuk kanak-kanak. Kerajaan harus memastikan kanak-kanak dilindungi dan dijaga oleh ibu bapa mereka, atau oleh orang lain. Kerajaan harus memastikan bahawa orang dan tempat yang bertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak wajib menjalankan tugas mereka dengan baik.

Sebagai kesimpulannya, tiada penafian bahawa kanak-kanak merupakan modal insan yang penting kepada negara. Modal insan ini seharusnya dibangunkan pada tahap yang optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif. Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting yang harus (wajib) menjadi perhatian semua pihak, tanpa berkecuali.

Keputusan Perdana Menteri melantik Pesuruhjaya Kanak-kanak untuk menganggotai Suhakam dan cadangan kajian semula Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 sedikit banyak memberikan harapan baharu terhadap usaha yang lebih meyakinkan untuk membela hak kanak-kanak di negara ini. Langkah awal ini juga seharusnya memberikan isyarat yang jelas kepada sesiapa sahaja yang memiliki anak dan berhadapan dengan kanak-kanak agar meletakkan hak kanak-kanak di tempat yang teratas kerana sesiapa sahaja yang ingkar, dengan apa-apa cara sekalipun mereka tidak akan terlepas daripada hukuman yang lebih berat dan setimpal dengan perbuatan jenayah yang mereka lakukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.