Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajian demografi menunjukkan bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah negara menua menjelang tahun 2030 apabila warga emas mencapai 20 peratus daripada populasi penduduk. Dalam keadaan ini, warga emas bukan hanya sekadar penerima bantuan atau sokongan kebajikan, tetapi merupakan aset sosial negara yang membawa bersama pengalaman, nilai dan hikmah yang tidak mungkin dapat diganti oleh generasi muda.

Wanita warga emas khususnya memainkan peranan besar dalam menjaga kestabilan keluarga, memelihara tradisi agama serta membina jaringan sokongan komuniti melalui aktiviti surau, kegiatan kejiranan dan program kemasyarakatan. Mereka ialah individu yang membentuk nilai, menjadi pendidik tidak rasmi dan juga sumber doa yang sering menjadi penyambung suasana harmoni dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, aktiviti spiritual, fiqh dan kesihatan kepada golongan ini bukan sekadar program pengisian atau aktiviti kebajikan, sebaliknya pelaburan sosial yang menjamin institusi kekeluargaan yang terus kukuh, memelihara nilai masyarakat dan meneruskan keharmonian komuniti dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Dalam memahami keperluan ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Dana Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) telah melaksanakan Program Bimbingan Fiqh Kehidupan Sejahtera Wanita Warga Emas, iaitu sebuah usaha untuk menyantuni golongan emas melalui bimbingan fiqh kehidupan, sokongan kerohanian, kesedaran kesihatan dan perhubungan sosial yang memulihkan keyakinan diri. Program ini telah dijalankan secara bersiri dalam tempoh enam bulan.

Menyantuni Warga Emas dengan Ilmu

Dalam tradisi masyarakat Melayu, surau bukan hanya menjadi tempat ibadah semata-mata, namun menjadi ruang untuk menimba ilmu dan pusat pertemuan komuniti, terutamanya kepada warga emas. Program yang diadakan oleh UMT ini menghidupkan kembali peranan surau untuk menyediakan ruang pembelajaran yang selesa dan mesra kepada warga emas.

Sesi perkongsian kisah wanita hebat dalam Islam dan juga sesi zikir serta terapi al-Quran membuka lembaran baharu kepada peserta. Mereka bukan sahaja mendapat motivasi dari kisah sahabiah para isteri Rasulullah, bahkan turut sama mengulang zikir ayat suci, di samping menyerap makna dan fungsinya dengan tenang. Sesi ini amat serasi dengan jiwa warga emas kerana dapat memberikan ketenangan dan ketenteraman dalam meniti kehidupan di penghujung usia. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah ar-Ra‘d (13:28) yang bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Selain pengisian di surau, peserta wanita warga emas turut dibawa ke kampus UMT untuk merasai pengalaman mengikuti kuliah di dalam dewan kuliah universiti. Bagi sebahagian peserta, inilah pertama kali mereka duduk di kerusi bertingkat sebuah dewan kuliah moden. Ada yang tersenyum melihat suasana pembelajaran yang begitu tersusun, ada yang terharu memandang skrin kuliah yang besar dan jelas sehinggakan ada yang berkata, “Tidak sangka pada usia begini kami dapat merasai duduk di dalam dewan kuliah.”

Pengalaman ringkas tetapi bermakna ini membuka mata mereka bahawa ilmu sentiasa memanggil dan tidak pernah meninggalkan sesiapa pun, walaupun pada usia emas, mereka masih dialu-alukan dalam dunia ilmu.

Fiqh Kehidupan yang Memudahkan

Satu daripada kekuatan program ini ialah pencerahan fiqh yang disampaikan secara praktikal mengikut keupayaan warga emas. Sering kali mereka berasa serba salah untuk solat dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Melalui penjelasan tentang persoalan rukhsah dalam solat seperti solat duduk, tayamum, najis yang dimaafkan dan batas-batas keuzuran, banyak peserta yang akhirnya memahami bahawa Islam itu memudahkan, bukan membebankan. Selain solat, turut diterangkan hukum hakam fiqh berkaitan dengan ibadah puasa dan zakat khusus berkaitan dengan wanita warga emas.

Menjaga Tubuh sebagai Amanah

Usia emas membawa bersama perubahan kesihatan yang signifikan. Ceramah kesihatan memperkenalkan proses penuaan, penyakit lazim, pemakanan sihat dan aktiviti rehabilitasi ringan. Perbincangan disampaikan dengan bahasa yang lembut dan bersahaja, mengingatkan bahawa menjaga tubuh merupakan amanah kepada Allah SWT. Mereka turut diajar melakukan aktiviti senaman minda untuk menguatkan ingatan.

Merancang Masa Hadapan dengan Tenang

Pengurusan harta pusaka sering menjadi isu penting bagi warga emas. Program ini membantu peserta memahami konsep hibah, wasiat dan faraid. Perbincangan ini memberi ruang kepada peserta untuk berbincang secara terbuka tentang perancangan masa hadapan keluarga.

Komuniti sebagai Tulang Belakang

Kejayaan program ini tidak akan tercapai tanpa sokongan daripada komuniti empat buah surau di Daerah Kuala Nerus, Terengganu, iaitu Surau al-Muttaqin Sepetir Rendang, Surau at-Taqwa Kubang Badak, Surau Darul Salam Alor Damat dan Surau al-Ikhlas Gong Awang Lib. Jawatankuasa surau membantu menyediakan ruang, pemilihan peserta dan mencipta suasana yang selesa dan mesra sepanjang program.

Penutup

Program ini mengingatkan bahawa menghargai warga emas bukan sekadar memenuhi keperluan mereka, tetapi mengembalikan tempat mereka sebagai guru kehidupan. Setiap senyuman, setiap pertanyaan dan setiap linangan air mata para peserta menunjukkan bahawa mereka sebenarnya dahagakan ruang untuk berkongsi, belajar dan didengari.

Apabila mereka duduk bersama, berkongsi kisah hidup dan belajar memahami ibadah dalam keadaan uzur, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu, tetapi juga sokongan emosi. Di saat mereka melakukan senaman ringan sambil tersenyum, kita melihat bahawa kekuatan tidak semestinya hadir melalui tubuh, namun kadangkala hadir melalui semangat dan kesabaran yang telah lama mereka miliki.

Inisiatif seperti ini perlu diperluas ke seluruh negara. Pemerkasaan warga emas merupakan jambatan yang menghubungkan masa lalu dengan masa hadapan dan melalui usaha kecil yang konsisten, kita sedang membina masyarakat yang lebih penyayang, lebih beradab dan lebih harmoni.

Peserta belajar memahami ibadah dalam keadaan uzur.
Peserta mendengar ceramah berkaitan dengan ibadah puasa dan zakat khusus berkaitan dengan wanita warga emas.
Peserta turut diajar melakukan aktiviti senaman minda untuk menguatkan ingatan.
Program ini membantu peserta memahami konsep hibah, wasiat dan faraid.

Penghargaan

Program ini dilaksanakan dengan sokongan Universiti Malaysia Terengganu melalui Dana Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) Tahun 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi