Oleh Safinah Saupi
30 September 2022, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Golongan muda merupakan aset penting bagi koperasi yang bukan sahaja untuk pembaharuan generasi keanggotaan dan pemimpin masa depan koperasi, tetapi juga kerana mereka mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk inovasi dan keusahawanan serta lebih cenderung untuk bekerja dengan teknologi baharu dan umumnya mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding dengan anggota koperasi yang lebih berusia.

Golongan belia telah menunjukkan semangat yang tinggi dan mengambil bahagian secara aktif dalam gerakan koperasi pada peringkat awal. Kemunculan koperasi di Eropah mempunyai banyak kaitan dengan penyertaan belia sebagai anggota dan kesediaan golongan muda untuk bekerja di koperasi. Di rantau Asia juga, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa sebahagian besar belia berminat dan aktif dalam koperasi. Hal ini ditunjukkan di beberapa buah negara membangun, apabila golongan muda (bawah 30 tahun) merupakan sebahagian daripada golongan yang paling aktif terlibat dalam gerakan koperasi.

Di Jepun, gerakan koperasi pengguna telah dibangunkan di persekitaran universiti dengan pelajar muda mengambil bahagian secara aktif. Di India, daripada peringkat awal lagi, koperasi di institusi pendidikan tinggi merupakan antara koperasi pengguna yang paling berjaya. Pada hari ini, keadaan nampaknya telah berubah sama sekali, sehinggakan gerakan koperasi semakin dikenali sebagai gerakan orang tua.

Rantau Asia Pasifik merupakan satu daripada empat buah wilayah serantau yang menganggotai Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) kerana Malaysia dan rakan-rakan lain negara ASEAN merupakan sebahagian daripadanya. Rantau ini menempatkan sebahagian besar belia di dunia, iaitu lebih separuh daripada golongan muda dunia berumur antara 15 dan 24 tahun. Namun begitu, penyertaan belia dalam koperasi tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Asia Selatan khususnya, menyumbang bahagian terbesar populasi belia di dunia dengan parameter yang lebih luas, iaitu kira-kira 26 peratus daripada populasi belia dunia dan mentakrifkan belia sebagai mereka yang berumur antara 15 dan 35 tahun. Walau bagaimanapun, taburan populasi belia di rantau ini adalah sangat tidak sekata. Di Asia Timur, populasi belia dikatakan sekitar 17 peratus, manakala sekitar 18 peratus di Asia Tenggara dan Pasifik.,

Dianggarkan rantau Asia-Pasifik mengandungi 60 peratus daripada populasi belia dunia, atau 750 juta berumur dari 15 hingga 24 tahun. Di India sahaja mempunyai 234 juta orang belia, iaitu jumlah tertinggi di dunia (mewakili 19 peratus daripada jumlah penduduk negara itu), diikuti oleh China dengan 225 juta (mewakili 17 peratus daripada jumlah penduduk). Sebagai perbandingan, Jepun hanya mempunyai 12 juta orang muda atau 10 peratus daripada populasi. Bangladesh dan Filipina kedua-duanya juga mempunyai populasi belia yang sangat tinggi, iaitu sekitar 20 peratus daripada jumlah penduduk. China dan Indonesia merupakan dua lagi negara yang mana populasi belia membentuk sebahagian besar daripada jumlah penduduk. Bahagian Asia yang maju, khususnya negara seperti Jepun, Korea, New Zealand dan Australia tidak menikmati kelebihan ini, kerana penduduknya semakin menua dan kekurangan tenaga buruh merupakan masalah biasa bagi negara-negara ini.

Secara keseluruhannya belia di rantau ini menikmati pelbagai faedah melalui pertumbuhan ekonomi yang pantas. Walau bagaimanapun, secara perbandingan dengan negara maju, majoriti belia di negara Asia masih menghadapi pelbagai cabaran. Antara cabaran tersebut termasuklah dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan kesihatan.

Dalam pendidikan, halangan untuk akses pendidikan kekal berterusan disebabkan oleh jurang perbezaan bandar dan luar bandar, peningkatan ketidaksamaan sosioekonomi dan penyisihan berterusan kanak-kanak kurang upaya yang menyumbang kepada sebilangan besar belia tidak bersekolah. Sistem pendidikan dan latihan yang tidak sepadan dengan keperluan industri juga menyebabkan pengangguran belia. Di Indonesia dan Filipina, sebagai contoh, kira-kira 25 peratus belia tidak mendapat pendidikan, pekerjaan atau latihan.

Dari segi pembangunan ekonomi rantau, Asia Pasifik berada di barisan hadapan. Namun begitu, pada peringkat global terdapat pula krisis pekerjaan belia. Golongan belia didapati berisiko sebanyak tiga kali lebih besar untuk menganggur berbanding orang dewasa. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan lebih 73.6 juta orang belia sedang mencari pekerjaan.

Aspek kesihatan merupakan satu lagi bidang penting yang turut menimbulkan beberapa cabaran kepada golongan belia. Limpahan pertumbuhan dan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menyebabkan akses kepada kesihatan meningkat. Walau bagaimanapun, isu kekurangan zat makanan, akses wanita kepada kesihatan, kematian bayi, perkahwinan awal dan masalah kesihatan wanita, peningkatan kadar jangkitan HIV dalam kalangan belia, peningkatan kos perkhidmatan perubatan terus memberikan kesan kepada belia di rantau ini. Di Asia Selatan, masalah ini lebih meruncing dengan kemudahan kesihatan secara amnya di bawah paras kualiti diperlukan. Kemalangan, ketagihan dadah dan alkohol, masalah kesihatan mental merupakan beberapa isu lain yang meningkatkan risiko kesihatan belia di rantau ini.

Bagi mengatasi cabaran-cabaran ini, koperasi merupakan satu daripada platform ideal untuk belia. Terdapat banyak bukti dan hujah yang menunjukkan bahawa koperasi boleh menangani pelbagai keperluan belia dengan berkesan. Sebagai organisasi berasaskan prinsip, koperasi berteraskan komitmen sosial dan memenuhi keperluan anggota merupakan suatu kemestian. Pengangguran merupakan cabaran paling kritikal yang dihadapi oleh belia,. Oleh itu, koperasi boleh menjadi sumber penting untuk golongan belia mendapat pekerjaan. Dianggarkan bahawa koperasi di seluruh dunia menyediakan pekerjaan kepada 280 juta orang penduduk dunia.

Koperasi juga boleh menjadi bidang keusahawanan penting untuk golongan muda menjalankan perniagaan secara kerjasama dengan berkongsi modal, idea, pemilikan, penggunaan dan risiko. Koperasi ialah pilihan ideal yang menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan berpatutan bagi penjagaan kesihatan. Dalam kes negara Bangladesh, koperasi menyediakan perkhidmatan pengurusan risiko bagi mengurangkan kebergantungan anggota dalam pembiayaan penjagaan kesihatan. Terdapat juga kajian yang menunjukkan keupayaan koperasi membantu belia mengakses keperluan kesihatan dan menyediakan ruang untuk belia berkhidmat kepada orang ramai.

Koperasi dilihat dan terbukti menyokong pendidikan dalam pelbagai cara tanpa diskriminasi. Koperasi di institusi pendidikan tinggi yang berkhidmat untuk komuniti kampus merupakan perkara biasa di wilayah Asia Pasifik. Koperasi universiti di Jepun, dianggap sebagai satu contoh luar biasa yang menyediakan perkhidmatan sokongan pembelajaran dan kerja sambilan kepada mahasiswa yang juga belia negara itu. Terdapat contoh institusi pendidikan koperasi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada belia dengan tumpuan kepada akses, ekuiti dan kualiti. Hal ini membuktikan koperasi boleh memperkasakan belia dalam pelbagai cara. Koperasi tidak hanya menyediakan peluang penyertaan, malah turut meningkatkan belia dengan kemahiran kepimpinan, kewangan, pengurusan perniagaan dan memenuhi pelbagai keperluan terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi.

Golongan belia memerlukan koperasi untuk penyelesaian banyak masalah dan gerakan koperasi memerlukan belia untuk berkembang maju dalam dekad yang akan datang. Belia yang mengambil bahagian secara aktif dalam koperasi membantu mengembangkan kualiti kebersamaan, kolektivisme dan menyumbang untuk satu sama lain. Koperasi menyediakan pilihan unik kepada belia untuk menangani isu mereka melalui bantuan kendiri. Pada masa yang sama, gerakan koperasi mempunyai banyak manfaat jika belia mengambil bahagian secara besar-besaran dalam koperasi. Pergerakan sosioekonomi koperasi dapat diperkukuh dan koperasi lebih bertahan lama dengan pelibatan orang muda. Koperasi mendapat idea baharu, sumber manusia yang memahami dan dapat mengendalikan teknologi moden serta pemimpin masa hadapan yang memperkaya gerakan koperasi untuk berada di tahap yang lebih baik.

Pelan Strategik ICA membayangkan bahawa koperasi menjadi entiti ekonomi paling pesat berkembang dalam dekad akan datang. Pelan tersebut menekankan tentang identiti koperasi dan pelbagai cara untuk membawa koperasi ke hadapan dalam institusi ekonomi global. Hasrat ini hanya dapat direalisasikan dengan penglibatan golongan muda yang menunjukkan minat dan mengambil bahagian dalam koperasi sebagai anggota dan pekerja. Dalam pengertian ini, belia menjadi sumber penting bagi membantu kelestarian gerakan koperasi. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melihat belia sebagai sumber utama untuk mengekalkan kelestarian koperasi pertanian. Anggota dan pemimpin muda telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan kebanyakan koperasi wanita di India. Pada masa yang sama, isu belia perlu ditangani dengan cekap dan bersungguh-sungguh dan ini tidak berlaku melalui institusi arus perdana. Zaman belia ialah zaman peralihan daripada pergantungan kepada ibu bapa atau keluarga kepada hidup berdikari dan autonomi. Satu daripada peralihan utama yang perlu dilalui oleh golongan belia ialah perjalanan daripada pendidikan dan latihan ke pasaran buruh. Adalah penting untuk koperasi membuat intervensi yang berkesan pada peringkat ini agar dapat meyakinkan belia.

Koperasi juga perlu mengetahui apa-apa yang dicari oleh generasi belia sekarang. Suatu tinjauan yang dijalankan menunjukkan 84 peratus belia mengatakan bahawa mereka mahu menjadikan dunia ini lebih baik dan menganggap mereka bertanggungjawab untuk berbuat demikian. Golongan muda pada hari ini mengharapkan gaya pengurusan dan budaya korporat yang berbeza. Laporan itu juga menyatakan bahawa belia pada hari ini menginginkan kemajuan pesat, kerjaya yang pelbagai dan menarik serta maklum balas berterusan, kerja yang berbaloi dan usaha diiktiraf. Koperasi merupakan sebuah organisasi bersifat demokratik, didorong oleh agenda sosial dan bersikap telus dan memberikan ruang yang lebih besar untuk belia melibatkan diri dan memenuhi keperluan mereka. Malah, koperasi mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan keperluan golongan belia. Bentuk perusahaan koperasi menyediakan peluang kepada orang muda untuk mencipta pekerjaan mereka sendiri, peluang pekerjaan dengan perusahaan berasaskan nilai dan mengambil bahagian sebagai pemilik koperasi di mana suara mereka didengari.

Berdasarkan senario semasa di rantau Asia, belia secara amnya tidak tertarik kepada koperasi sama ada daripada segi pekerjaan mahupun menjadi anggota yang aktif. Walaupun terdapat sebilangan besar belia dalam koperasi secara amnya, tidak ada bukti yang menunjukkan golongan belia memilih untuk menjadi anggota koperasi. Sikap tidak peduli belia terhadap koperasi merupakan satu kerugian kepada belia dan juga gerakan koperasi.

Usaha keras perlu dilakukan untuk mengasimilasikan belia dalam sektor koperasi. Strategi khusus untuk mewujudkan kesedaran dan meyakinkan belia dengan gerakan koperasi perlu dirancang. Usaha tambahan juga perlu dilakukan untuk melobi dan berunding dengan kerajaan untuk melaksanakan dasar dan perundangan yang kondusif bagi memberikan peluang kepada belia menyertai koperasi. Apabila kebersamaan itu difahami, belia dan koperasi akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghargai satu sama lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.