Oleh Zaili Mohamad
22 November 2022, 18:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ekosistem ialah suatu sistem terdiri daripada komponen yang mempunyai peranan, fungsi dan kemajuan tersendiri serta berkaitan rapat antara satu sama lain. Contoh komponen ekosistem perniagaan ialah pengeluar, pembekal, pengedar dan pelanggan. Dalam ekosistem perniagaan setiap komponen mempunyai semangat “leadership” (kepimpinan) tersendiri kerana kesemua entiti itu berfungsi ke arah entiti yang lebih besar (entiti induk), iaitu syarikat utama yang mempunyai syarikat pengeluar dan pengedar yang menjurus kepada memenuhi keperluan entiti yang lebih besar. Ekosistem juga bersifat dinamik kerana mampu berinteraksi dan berkomunikasi,contohnya perniagaan secara digital kini. Perubahan dan perkembangan teknologi terbaharu telah membawa perubahan dalam sistem ekonomi hari ini.

Ekonomi Islam pula,mempunyai objektif tersendiri dan matlamatnya luhur bukan untuk mengaut keuntungan. Berbeza daripada ekonomi konvensional yang mementingkan materialisme, ekonomi Islam merupakan aset berharga bagi sesebuah negara. Adalah penting bagi setiap masyarakat Islam mendalami ilmu ekonomi Islam bagi mengetahui jenis kegiatan ekonomi yang biasa dijalankan dalam Islam dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana ekonomi Islam mempunyai nilai tinggi serta prinsip yang menjaga keadilan sosial serta menolak konsentrasi kekayaan berfokus kepada satu pihak sahaja. Lebihan diagihkan secara adil dan saksama, menggalakkan pengaliran wang yang tidak berkembang kepada masyarakat serta mempunyai prinsip persaudaraan yang menjaga kepentingan antara satu sama lain.

Penggabungan ekosistem dan ekonomi Islam akan menyebabkanseluruh komuniti ekonomi Islam bekerja dalam rangka kerja syariah Islam. Perubahan ini akan menjurus kepada pematuhan syariah.Masjid menjadi asas untuk menggerakkan ekonomi Islam dan operasi ekosistem berjalan dalam komuniti dan masyarakat.

Koperasi kariah masjid platform yang mampu menggerakkan ekosistem ekonomi Islam. Penekanan ini pada dasarnya adalah kerana kini, masjid hanya beroperasi sebagai institusi yang menjalankan aktiviti ibadah sahaja dan tidak dikembangkan untuk meningkatkan sosioekonomi setempat. Melalui koperasi, kariah masjid dapat mengembalikan fungsi masjid seperti zaman awal kegemilangan Islam yang mana peranan masjid pada ketika itu, meliputi pelbagai aspek. Masjid bukan sahaja menjadi tempat penyebaran syiar Islam tetapi berperanan utama sebagai tempat membina keyakinan,aktiviti ekonomi, politik, pendidikan dan pembangunan masyarakat, penghubung manusia dengan Allah SWT, sesama manusia dan alam sekitar untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Pada era globalisasi ini,koperasi kariah masjid harus berperanan menjana dan memajukan ekonomi umat Islam dengan menggalakkan jemaah masjid menjadi anggota koperasi, yang secara tidak langsung akan membentuk komuniti tersendiri dalam kalangan mereka sebagai pembuat keputusan, pengeluar, pembekal, pemborong, penjual dan pengguna yang terlibat dalam pelbagai aspek kegiatan ekonomi. Hal ini akan menjana kegiatan ekonomi umat Islam melalui penglibatan anak kariah yang menawar dan memberikan perkhidmatan bersekutu dengan masjid.

Koperasi kariah masjid juga berperanan untuk memenuhi tuntutan syariat dan sosioekonomi serta budaya masyarakat setempat. Melalui koperasi, masyarakat dapat bersatu padu membangunkan ekonomi umat Islam. Bagi mencapai kegemilangan masjid pada abad ini, sokongan padu umat Islam amat diperlukan. Mereka harus bergiat aktif sebagai pengeluar dan pengguna. Cara ini akan mewujudkan ekosistem ekonomi Islam yang mantap melalui kebersamaan pelibatan anak-anak kariah dalam pembangunan masjid. Di samping itu, koperasi berperanan mengeratkan perpaduan dan kerjasama antara umat Islam. Apabila ramai anak kariah masjid menjadi anggota koperasi, maka akan berlaku peningkatan aktiviti muamalat Islam yang menggunakan perkhidmatan masjid. Secara tidak langsung, hal ini akan mengeratkan perpaduan selari dengan peranan masjid yang pelbagai dan mampu mendorong pembentukan perpaduan dan kerjasama antara anak kariah yang menjadi anggota koperasi.

Bukan itu sahaja, koperasi kariah masjid juga berperanan menjadikan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan kebajikan yang bukan sahaja dapat menyebarkan ilmu keagamaan tetapi pelbagai aspek keilmuan lain seperti ilmu kepenggunaan dan kemahiran dalam pelbagai sektor. Apabila anggota bermaklumat dan berpengetahuan, mudah untuk mereka memahami dan melibatkan diri dalam ekosistem ekonomi Islam dalam skop yang lebih besar dan mantap. Koperasi kariah masjid juga boleh mengambil peluang membangunkan aset-aset masjid yang tidak digunakan dengan baik untuk manfaat umat Islam.

Dalam konteks ekonomi Islam, koperasi kariah masjid boleh memainkan peranan membantu negara-negara Islam yang bergolak untuk mencapai pendamaian. Koperasi boleh memperhebatkan lagi peranan untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat dalam dan luar negara melalui penglibatan secara langsung dalam misi bantuan kemanusiaan dan pembangunan. Usaha ini dapat direalisasikan apabila koperasi kariah masjid bekerjasama dengan negara Islam lain yang memiliki sumber yang cukup dan kukuh serta mampu mengendalikan operasi bantuan kemanusiaan dan kemiskinan dengan pantas, misalnya kerjasama dengan Perbadanan Operasi Umat Islam Turki yang mempunyai kekuatan sumber dan keanggotaan. Organisasi negara kita amat digalakkan untuk bergabung atau bekerjasama dengan organisasi besar supaya dapat menjana serta menyelenggarakan sumber daripada 57 buah negara umat Islam majoriti dan 112 buah negara umat Islam minoriti.

Masyarakat Islam tiada kesedaran dan kurang cakna tentang keperluan memperkasakan ekonomi umat Islam. Dalam menyedarkan umat Islam,koperasi kariah masjid berperanan mengadakan program kesedaran tentang kepentingan memperkuatkan ekonomi umat Islam melalui khutbah, kursus, latihan dan seminar bagi membolehkan mereka bertindak. Dalam hal ini, Jabatan Agama Islam perlu berkerjasama dan menyokong usaha ini dengan menyelitkan hal-hal berkaitan ekonomi umat Islam dalam khutbah dan ceramah agama.

Pengurusan masjid juga perlu dilengkapkan dengan kefahaman ekonomi Islam secara maksimum.  Kepimpinan masjid wajib memahami dan menyedari serta memainkan peranan dalam mempertingkatkan pembangunan ekonomi Islam melalui penglibatan ahli jawatankuasa masjid dan ahli jawatankuasa koperasi untuk pembangunan ummah.  Antara cara paling mudah dan efektif ialah dengan melaksanakan jualan harga patut, pasar tani, ekspo dan pameran serta memperbanyakkan penglibatan masjid dalam aktiviti ekonomi dan sosial. Bazar Jumaat merupakan platform yang boleh digunakan umat Islam untuk memulakan penglibatan dalam kegiatan ekonomi Islam.

Selain itu, koperasi perlu melaksanakan kempen keanggotaan untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat, kariah masjid Islam dan bukan Islam menjadi anggota koperasi bagi menjamin kelestarian ekosistem Islam. Hal ini kerana koperasi kariah masjid tidak terhad kepada orang Islam sahaja malah terbuka untuk semua termasuk bukan bumiputera. Hal ini dapat mempromosikan produk-produk koperasi atau produk keluaran Muslim yang akan menggalakkan pembelian produk keluaran umat Islam.

Gerakan koperasi Malaysia perlu memainkan peranan menggerakkan ekosistem ekonomi Islam untuk melibatkan lebih ramai masyarakat Islam dalam pembangunan ekonomi. Hal ini bagi mencapai hasrat kerajaan untuk melibatkan 30 peratus atau lebih umat Islam dalam ekonomi melalui koperasi. Kadar pegangan ekonomi umat Islam adalah dalam lapan peratus yang mana masih rendah. Antara cadangan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan umat Islam dalam ekosistem ekonomi Islam ialah dengan menambah infrastruktur untuk mempromosi dan memasarkan produk Islam. Hal ini kerana tanpa kemudahan pasaran, produk umat Islam sukar untuk dipasarkan, dicari dan seterusnya tidak laku. Walaupun terdapat 60 peratus majoriti pengguna Islam tetapi kebanyakannya gagal menggunakan produk sendiri. Kesannya komuniti Islam gagal mencapai matlamat membentuk ekosistem ekonomi Islam. Bukan itu sahaja, mentaliti umat Islam juga merupakan antara cabaran utama dalam mencapai matlamat membentuk ekosistem ekonomi Islam.

Seterusnya usaha juga perlu dipertingkatkan bagi mempromosi produk keluaran Muslim supaya umat Islam sedar tentang kewujudan dan seterusnya menggunakan produk tersebut. Umat Islam seharusnya, membeli produk keluaran Muslim kerana pembelian ini dapat menguatkan ekonomi umat Islam. Kelemahan orang Islam hari ini ialah mereka lebih gemar membeli produk bukan keluaran Muslim. Melalui koperasi, usaha ini dapat menggalakkan masjid menjadi pembekal dan penjual produk-produk keluaran Muslim. Hal ini bagi memudahkan umat Islam mendapat barangan halal.

Majoriti negara Islam memiliki kepakaran tetapi malangnya sangat bergantung pada konsep kutipan derma. Cara ini menyebabkan ekonomi negara Islam terjejas dan membawa peningkatan kemiskinan, pengangguran dan kebergantungan tinggi pada pihak luar. Usaha ke arah menggerakkan ekonomi Islam adalah amat penting dan dapat dilaksanakan menggunakan tiga asas ekonomi, iaitu zakat, wakaf dan sedekah.

Pembinaan ekosistem ekonomi Islam masjid di bawah “aktiviti kemanusiaan” dalam memberi khidmat bantuan kecemasan dapat menjamin kekuatan ekonomi melalui pembelian dan penyaluran barangan. Majoriti negara Islam kini tidak mampu untuk menyumbang kepada ekonomi umat Islam kerana mengutamakan kepentingan peribadi dan keluarga. Kelemahan ekosistem ekonomi Islam memberi impak kepada sumbangan kemanusiaan yang menjadi cabaran utama dalam pembangunan Islam. Penyelesaian mudah isu ini adalah dengan penubuhan koperasi yang akan menjadi tunjang ekonomi umat Islam dalam meningkatkan guna tenaga, pengalaman dan kepakaran luar bagi menikmati kekayaan bersama seiring perkembangan ekosistem Islam hari ini.

Koperasi kariah masjid boleh menjadi pusat pengedaran lebih 80 peratus produk keluaran syarikat Islam di seluruh Malaysia. Meskipun begitu, ekosistem koperasi kariah masjid belum lagi mampu untuk membawa syarikat bertaraf antarabangsa terlibat dalam ekosistem ini. Hal ini disebabkan masyarakat Islam kurang keprihatinan terhadap umat Islam yang lain. Umat Islam harus prihatin dan peka terhadap produk keluaran umat Islam tempatan dengan membeli dan menyokong kegiatan ekonomi Islam. Selain itu, masyarakat Islam juga harus  melibatkan diri dalam aktiviti  jualan dan pembelian produk keluaran Islam melalui masjid sebagai tempat penjualan atau menyediakan kemudahan infrastruktur seperti “Malakat Mall’ untuk memberi peluang kepada usahawan Muslim memasarkan produk atau jenama tempatan.

Pemerkasaan ini diharapkan dapat membawa perubahan besar kepada negara-negara Islam dan jati diri masyarakat yang amat diperlukan bagi menjamin perkembangan ekosistem Islam. Hal ini kerana walaupun dengan perancangan rapi oleh agensi-agensi kerajaan Islam mahupun pihak yang ingin membantu mencapai kelestarian, ekosistem Islam tidak akan tercapai jika masyarakat itu sendiri tidak turut serta dalam perubahan ini. Isu ini memerlukan tindakan proaktif semua pihak tanpa mengira usia dan gelaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.