Oleh Sakinah Sahwati
8 Oktober 2022, 18:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bajet 2023: Keluarga Malaysia, Makmur Bersama, merupakan tema Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan, pada Jumaat, 7 Oktober 2022. Belanjawan 2023 dipandu oleh 3R, yang bermaksud Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis.

Menurut Tengku Zafrul, tumpuan tersebut membuktikan bahawa sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu segera bertindak untuk mendepani setiap cabaran global yang mendatang dan pada masa yang sama bertanggungjawab untuk membina masa hadapan yang cerah buat anak- anak generasi legasi. Maka itu, untuk menuju ke arah Malaysia yang lebih baik, Belanjawan 2023 akan dipacu elemen 3R.

“Belanjawan 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan menyedia bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan semua segmen masyarakat,” ucap Tengku Zafrul, semasa membentangkan Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2023 menurutnya, adalah bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan kerajaan untuk tempoh jangka masa panjang. Belanjawan 2023 juga katanya adalah bertanggungjawab untuk membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang. Maka itu, Belanjawan 2023 ialah reformis yang mengambil peluang merubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mampan di samping membina industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik.

“Belanjawan ini tidaklah dirangka untuk golongan tertentu sahaja, tetapi kesemua buah fikir yang dikumpul, telah diteliti dan diadun menjadi satu – iaitu sebuah Belanjawan 2023 hasil daripada ilham Keluarga Malaysia. Oleh sebab itu, lebih daripada 100 inisiatif rakyat akan direalisasikan sebagai sebahagian daripada usaha holistik yang terkandung dalam naskhah besar ini. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menzahirkan segala idea dan pandangan. Dengan tekad: ‘Keluarga Malaysia: Makmur Bersama’ dan seiring dengan agenda Belanjawan 2023 yang responsif, bertanggungjawab dan reformis, belanjawan ini akan memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan dapat dicapai,” ucap Tengku Zafrul.

Yang lebih menarik perhatian, seperti belanjawan sebelumnya. Belanjawan 2023 sekali lagi menyaksikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi kementerian yang menerima peruntukan yang tertinggi dalam belanjawan negara.


Menurut Tengku Zafrul, pendidikan ialah pelaburan yang terbaik bagi membina masa hadapan negara yang cerah. Maka itu, menerusi Belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan terbesar, iaitu sebanyak 55.6 bilion berbanding dengan 52.6 bilion ringgit pada tahun 2022. Daripada peruntukan besar itu, kerajaan pada tahun hadapan bukan sahaja akan terus mengekalkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), tetapi tutut meningkatkan jumlah BAP.

“BAP selama ini telah meringankan beban ibu bapa berpendapatan RM3000 ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Bermula pada tahun ini, kadar BAP telah dinaikkan kepada RM150 berbanding dengan RM100. Bagi tahun 2023, sukacita diumumkan bahawa BAP akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya. Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak yang bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak 450 ringgit. Bantuan ini akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah. Peruntukan yang disediakan untuk BAP adalah sebanyak RM825 juta, iaitu jauh melebihi peruntukan pada tahun ini, iaitu RM450 juta,” ucap Tengku Zafrul.

BAP ialah bantuan sekali beri yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada setiap awal tahun (pembukaan sesi persekolahan). Bantuan ini diberikan kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya dari kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3000 dan ke bawah. Walau bagaimanapun, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2023, pemilihan atau kriteria kelayalan penerima BAP telah dihapuskan. Hal ini bermaksud, semua murid layak menerima BAP pada tahun hadapan.

Selain BAP, kerajaan turut membawa khabar gembira kepada penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).  Menurut Tengku Zafrul, RMT yang telah dilaksanakan sejak tahun 1979 adalah bertujuan untuk memastikan murid daripada keluarga susah mendapat khasiat makanan yang diperlukan.

“Seperti yang saya umumkan semasa Belanjawan 2022, kerajaan telah menambah baik RMT dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari persekolahan anak-anak. Maka itu, bagi terus menambah baik program ini, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak RMT daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3.00 kepada RM4.00 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Kenaikan kadar ini akan berkuat kuasa pada bulan ini juga,” ujar Tengku Zafrul.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 itu, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa sejumlah RM777 juta disediakan untuk program RMT, iaitu peningkatan signifikan berbanding dengan RM280 juta  pada tahun 2020, jumlah tesebut menurutnya adalah berdasarkan peluasan penerima dan kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu pada setiap hari. Dengan itu, lebih daripada 800 ribu orang murid serta 7300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan ini.

Selain itu, Belanjawan 2023 juga menyaksikan pada tahun hadapan, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid sekolah. Jumlah ini merupakan peningkatan yang amat ketara berbanding dengan peruntukan RM1.7 bilion pada tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaaan Cina  dan Tamil serta sekolah agama,” ucap Tengku Zafrul.

Sejumlah RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan sebanyak 123 projek di Sabah dan 182 projek di Sarawak.


“Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, kerajaan pada tahun 2023 akan mula membina sebanyak lima buah sekolah baharu dengan kos sebanyak RM430 juta melibatkan SMK Nabalu Sabah; SMK Dudong Sarawak; SK Paya Dusun Terengganu; SK Cyberjaya 2; dan SMK Denai Alam Selangor,” ucap Tengku Zafrul.

Menyambut baik pengumuman Belanjawan 2023 yang menyaksikan KPM terus menerima peruntukan terbesar negara, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa peruntukan sebanyak RM1.1 bilion untuk kerja selenggara dan membaik pulih sekolah bawah KPM merupakan peningkatan yang amat signifikan, iaitu tambahan sebanyak RM250 juta berbanding dengan peruntukan keseluruhan pada tahun 2022, iaitu sebanyak RM850 juta.

“Dengan peruntukan ini, KPM akan dapat menyediakan persekitaraan sekolah yang kondusif untuk seluruh warga sekolah,” ujar Datuk Dr. Radzi.

Tambahnya lagi, sewaktu beliau mula menjejakkan kaki di KPM, beliau bertekad agar isu bangunan daif sekolah di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak akan dapat ditangani dengan cekap dan menyeluruh. Ujarnya, pendidikan sememangnya amat dekat dengan jiwa beliau. Apabila beliau diberikan amanah untuk menerajui KPM, tumpuannya adalah untuk menambahbaik struktur dalam ekosistem pendidikan bagi melonjakkan kualiti pendidikan negara. Perubahan demi perubahan dilaksanakan bagi memastikan anak-anak generasi pewaris negara mendapat pendidikan yang terbaik.

“Dalam Belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan terbesar, iaitu sebanyak RM55.6 bilion. Peningkatan sebanyak RM3 bilion berbanding dengan yang diterima pada tahun ini, iaitu sebanyak RM52.6 bilion. Setiap sen daripada peruntukan yang diterima akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk generasi pewaris negara,” ucap Datuk Dr. Radzi, menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.