14 Oktober 2022, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pepatah lama berbunyi, “guru ibarat lilin yang membakar diri menerangi orang lain” sentiasa segar dalam ingatan sebagaimana 19 tahun yang lalu, iaitu pada saat penulis berinteraksi dengan murid  semasa membimbing mereka. Guru akan tersenyum riang tatkala mendengar anak murid mengungkapkan ucapan “terima kasih, cikgu”. Pada setiap tahun, tanggal 16 Mei menjadi hari yang meraikan para pendidik yang bergelar cikgu. Hal ini memerlukan usaha berterusan dalam mengangkat dan mengiktiraf peranan guru khasnya dalam usaha kemenjadian murid.

Penulis telah dijemput untuk menghadiri satu program yang dinamakan sebagai “Leaps of Knowledge: Recreation”, yang telah berlangsung pada 8 Oktober 2022 di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur. Program Leaps of Knowledge ini dianjurkan oleh FrogAsia bersama dengan rakan strategik Teach for Malaysia, pemimpin GSL dan ditaja oleh Yayasan YTL. Program ini membawa tema “Recreation”, iaitu satu hasrat untuk mencipta semula dari aspek yang membawa pembaharuan yang lebih berkesan dalam komunikasi untuk belajar bersama-sama dan membayangkan usaha yang boleh membawa pendidikan ke arah yang lebih baik.

Semasa program tersebut, jelas menampakkan wajah guru yang ceria dan gembira bersama-sama yang berkumpul dalam program itu. Para peserta program juga telah terlibat dalam sesi perkongsian amalan terbaik dalam proses pengajaran dan pembelajaran daripada 10 orang peserta akhir dalam kalangan guru yang menyertai pertandingan “Malaysia Teacher Prize”. Tahniah dan syabas kepada Cikgu Anuthra Sirisena, guru dari SMJK Chung Hwa, Tenom, Sabah yang dinobatkan sebagai pemenang pada tahun 2022.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025  yang digariskan oleh Kementerian pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan Anjakan k-4 untuk memartabatkan profesion keguruan. Anjakan ini sangat penting untuk diberikan perhatian kerana banyak orang yang memilih kerjaya sebagai guru bukan disebabkan oleh minat semata-mata, tetapi sekadar untuk mendapatkan pekerjaan, paksaan ibu bapa, pilihan terakhir dan pelbagai lagi alasan negatif.

Tanpa minat dan komitmen, maka lahirlah murid yang lemah dan tidak berkualiti. Hal ini juga berkaitan rapat dengan elemen kecemerlangan dan keberhasilan murid yang sangat bergantung pada kualiti dan komitmen guru.

Penekanan terhadap kualiti dan komitmen guru pula sangat dipengaruhi oleh pengaruh budaya organisasi sekolah. Perkara inilah yang perlu dilihat secara teliti dan bersepadu oleh seluruh warga pendidik sama ada pada peringkat KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, dan Pejabat Pendidikan Daerah mahupun sekolah.

Dengan penjelasan di atas menunjukkan bahawa perlu adanya pendekatan untuk memastikan kualiti guru sentiasa berada pada tahap yang terbaik semasa pengajaran dan pembelajaran. Dari aspek ini, elemen menghargai dan mengiktiraf peranan guru dalam kemenjadian murid menjadi pemangkin utama.

Menurut Maslow (1954), apabila sesuatu keinginan dan keperluan seseorang itu dipenuhi, maka hal ini akan memberikan kepuasan kepada individu  yang berkenaan. Namun begitu, hal yang sebaliknya akan berlaku sekiranya keperluan dan keinginan tersebut tidak dipenuhi.

Menurut Herzberg (1959) pula, kepuasan kerja seseorang individu ditentukan oleh faktor dalaman yang dipanggil pendorong seperti mendapatkan pengiktirafan dan kerja itu sendiri dan juga faktor luaran seperti hubungan personal.

Kerajaan sememangnya prihatin terhadap para guru dan sentiasa  mengiktiraf golongan pendidik. Sebelum ini,  Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, membuat pengumuman semasa Majlis Perhimpunan Khas dengan seluruh warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) iaitu yang Pertama: Guru Besar Gred DG48 (Khas untuk Penyandang) tidak diturunkan sebagai Guru Penolong Kanan atau Guru Biasa di Sekolah Rendah apabila dinaikkan pangkat ke Gred DG52 dan DG54 secara time based berasaskan kecemerlangan (TTBK) dan Gred Guru Besar dan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54.

Selain itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48, diberi peluang untuk dilantik sebagai Guru Penolong di Sekolah Rendah. Justeru, Guru Penolong Kanan di sekolah rendah tidak hanya terhad kepada Gred DG44 sahaja. Sementara itu,  laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah diperluas sehingga Gred DG52 dan DG54. Hal ini demikian kerana 90.68 peratus guru sekolah rendah telah pun berada di Gred Siswazah.

Pengiktirafan ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan serta seluruh Keluarga Malaysia amat memahami dan menghargai jasa serta semangat juang tinggi guru-guru demi melahirkan insan-insan yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Demi meneruskan hasrat murni untuk menghargai, meraikan dan menaikkan nama guru di Malaysia, program “Malaysia Teacher Prize” menjadi satu platform terbaik sebagai satu model kesepaduan, iaitu “Quadruple and quintuple innovation helix framework” yang menekankan kerjasama pihak institusi pendidikan, industri, kerajaan dan komuniti.

Usaha ini amat dialu-alukan dengan pelibatan pelbagai pihak yang turut serta memberikan nilai tambah dalam mentransformasikan pendidikan negara. Kepada guru yang berjaya terpilih  perlu menjadikannya satu pendorong untuk terus membawa pembaharuan dalam usaha mendidik murid.

Pengarah Pemimpin GSL, Samuel Isaiah menjelaskan bahawa “Sekiranya kita dapat mencari lebih banyak individu seperti ini, kita dapat meningkatkan lagi kualiti dalam bidang perguruan dan pendidikan di negara ini secara amnya”. Usaha untuk membuat perubahan ini bukannya melibatkan kerja secara individu sahaja, namun perlu digabungjalinkan dengan semua pihak yang berkepentingan dalam memacu perubahan landskap pendidikan negara. Ibarat pepatah Melayu, “kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah”. Marilah kita sama-sama merealisasikan gagasan utama untuk anak-anak murid Keluarga Malaysia berteraskan pendidikan untuk semua.

Penulis, mantan Penganalisis Kanan, Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan, KPM. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.