Oleh Normasiska Noor
16 Oktober 2022, 14:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Penjenayah siber turut menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa mereka.

Sejak belakangan ini, banyak kisah menakutkan tular di media sosial berhubung dengan kes penculikan kanak-kanak. Sejauh manakah kes penculikan itu benar-benar berlaku sememangnya sukar dipastikan. Hal ini dikatakan demikian kerana ada juga segelintir pihak yang cuba menularkan berita palsu dengan menyebarkan kenyataan media lama pihak berkuasa atau sengaja mewujudkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Apa-apa pun alasannya, hal ini bukanlah bermaksud tidak ada kes culik di negara ini. Pada April lalu, Bukit Aman mengumumkan sebanyak 1509 orang kanak-kanak dan remaja dilaporkan hilang di negara ini sejak tahun 2020. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, daripada jumlah itu sebanyak 1424 orang ditemukan semula, manakala 85 orang lagi masih hilang. Katanya, kebanyakan kes kanak-kanak yang dilaporkan hilang tidak semuanya ditemukan dengan selamat. Hal ini dikatakan demikian kerana ada kes yang dilaporkan memerlukan kertas siasatan dibuka selain ada juga kes yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sebagai contohnya, ada kes hanya menemukan jasad mangsa selepas mereka terlibat dalam kemalangan, seperti lemas selepas terjatuh di dalam longkang atau sungai ketika bermain. Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata kanak-kanak perempuan direkodkan sebagai mangsa hilang tertinggi, iaitu melibatkan 1113 orang, manakala 396 orang ialah kanak-kanak lelaki.

“Kes kehilangan paling tinggi membabitkan kanak-kanak berusia 13 tahun hingga 17 tahun, iaitu sebanyak 1330 orang diikuti dengan lapan tahun hingga 12 tahun (138 orang) dan setahun hingga tujuh tahun (41 orang). Alasan dan punca yang sering dikaitkan dengan kehilangan mereka adalah disebabkan lari dari rumah kerana terpengaruh dengan rakan sebaya dan ingin hidup bebas daripada keluarga,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

Menurutnya lagi, kes tertinggi direkodkan pada tahun 2020, iaitu sebanyak 817 orang kanak-kanak dilaporkan hilang, namun sebanyak 803 orang mangsa berjaya ditemukan dan 14 orang lagi masih hilang. Pada tahun 2021 pula, direkodkan sebanyak 569 kes kehilangan kanak-kanak, daripada jumlah itu sebanyak 531 orang mangsa ditemukan, manakala 38 orang lagi masih hilang. Pada tahun 2022, sebanyak 123 kes lagi direkodkan pada dua bulan pertama tahun ini yang mana sebanyak 90 orang kanak-kanak berkenaan ditemukan semula, manakala sebanyak 33 orang lagi masih dilaporkan hilang.

Tidak dinafikan bahawa apabila berlaku kes kehilangan kanak-kanak, ibu bapa dan keluarga pastinya akan terjejas dari pelbagai aspek. Bukan itu sahaja, seluruh komuniti juga akan terkesan. Di luar negara, menurut statistik The Federal Bureau of Investigation (FBI), terdapat sebanyak 29 758 rekod orang hilang aktif melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang dilaporkan pada akhir tahun lalu. Hal ini merupakan angka yang amat menakutkan. Bayangkan anak anda keluar bermain dan tidak kembali buat selama-lamanya. 

Kes orang hilang tidak mengenal mangsa dan tempat. Di mana- mana sahaja kes kanak-kanak hilang boleh berlaku. Mungkin kita menganggap sesuatu tempat itu paling selamat untuk mereka, walhal keadaannya adalah sebaliknya. Sudah tentu kita tidak dapat menjangka atau meramal sebarang bentuk jenayah, walau bagaimanapun, sebagai ibu bapa atau penjaga, mencegah anak hilang atau menjadi mangsa penculikan daripada berlaku merupakan tanggungjawab utama kita. Berikut panduan yang boleh diajarkan kepada kanak-kanak untuk mengelak daripada sebarang bentuk jenayah:

  1. Pendedahan tentang Keselamatan Siber

Mengajar kanak-kanak tentang keselamatan siber, termasuk keselamatan menggunakan telefon pintar mungkin memainkan peranan yang lebih besar dalam mencegah penculikan daripada pendekatan tradisional dengan memberikan amaran kepada mereka tentang bahayanya mendampingi atau didampingi orang asing. Ajar anak-anak dan seluruh ahli keluarga untuk menjauhkan diri daripada orang yang tidak dikenali khususnya menerusi laman media sosial.

Ibu bapa perlu mengawasi aktiviti yang dilakukan oleh anak mereka di dalam media sosial.

Tidak dinafikan kanak-kanak pada hari ini gemar berkongsi kehidupan dan pemikiran mereka secara dalam talian, dan orang asing yang berbahaya itu mungkin tidak mendekati mereka di jalan atau di pusat beli-belah tetapi mereka terancam apabila penjenayah “memasuki” kehidupan kanak-kanak semasa mereka sedang leka mengakses media sosial. Mereka mungkin tidak menyedari bahawa penjenayah siber kini berselindung di balik dunia maya. Oleh itu, ajar mereka tentang kepentingan keselamatan asas media sosial dan jangan lupa bahawa perkongsian berlebihan boleh mendatangkan keburukan kepada mereka.

Seperti yang dilaporkan oleh FBI, majoriti kanak-kanak pada hari ini hilang bukan disebabkan mereka dibawa keluar dari jalan atau keluar dari tempat awam. Kebanyakan mereka yang hilang disebabkan terpikat dengan pemangsa secara dalam talian dan kemudiannya secara sukarela berlakulah pertukaran e-mel atau nombor telefon. Dalam hal ini, pastikan anak anda belajar untuk tidak mempercayai sesiapa atau apa-apa sahaja yang mereka temukan secara dalam talian. Tiada sebab mengapa anda tidak perlu menyemak peranti mudah alih atau desktop anak anda untuk melihat sendiri perkara yang mungkin berlaku.

  1. Ajar Anak Anda Peraturan Semak Dahulu

Peraturan semak dahulu hendaklah sentiasa menjadi sebahagian daripada gelembung keselamatan kanak-kanak. Tidak kira sama ada mereka mengenali orang itu, anak-anak harus sentiasa mengelak daripada sebarang undangan atau godaan orang yang tidak dikenali. Mereka perlu diingatkan untuk menyemak dahulu dengan ibu bapa atau penjaga mereka tentang sesuatu undangan yang mereka terima. Tidak kira sama ada undangan itu datang daripada individu yang dikenali atau orang yang tidak dikenali – peraturan nombor satu dalam hidup ialah mereka hendaklah menyemak terlebih dahulu. Hal ini bermakna, sentiasa bercakap dengan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan, tidak kira bagaimana dan di mana undangan dibuat.

  1. Buka Mata dan Telinga Anda

Jangan biarkan diri anda terganggu apabila anda keluar membeli-belah dengan anak-anak anda. Kanak-kanak kecil boleh berlari dengan mudah dan hilang di balik rak pakaian dan paparan lorong kedai. Anda juga harus berusaha untuk sentiasa menyedari sesiapa sahaja yang mungkin kelihatan mengambil berat terhadap anak-anak anda. Kanak-kanak juga wajib diajar sejak kecil untuk mengingati maklumat penting mereka sekiranya mereka tersesat atau terpisah dengan ibu bapa mereka. Mereka sepatutnya boleh menyebut nama penuh, alamat dan nombor telefon ibu bapa mereka.

4.  Cara Bertindak Balas terhadap Cubaan Penculikan

Apabila kelihatan seperti seseorang cuba membawa anak anda ke suatu tempat secara paksa, kanak-kanak perlu tahu cara untuk bertindak balas. Ajar anak anda untuk menjerit ketika berhadapan dengan keadaan cemas. Dua perkataan yang perlu keluar daripada jeritan mereka ialah “tolong!” atau “panggil polis!” Tidak salah dan merugikan untuk membekalkan anak dengan wisel untuk ditiup agar dapat menarik perhatian orang ramai ketika anak anda dalam keadaan cemas. Percayalah, jeritan dan bunyi wisel boleh membantu menakutkan sesiapa sahaja yang mungkin cuba menculik mereka.

  1. Bendera Merah

Kanak-kanak harus diajar bagaimana untuk mengesan masalah. Satu perkara yang mereka harus tahu ialah apabila sesiapa sahaja yang bertanya kepada mereka sama ada mereka boleh “menyimpan rahsia,” hal itu harus diklasifikasikan sebagai bendera merah. Apabila seseorang cuba membuat anak anda berdiam diri tentang sesuatu, dia harus melihatnya sebagai petanda yang jelas untuk memberitahu anda mengenainya. Berusahalah untuk meyakinkan anak anda bahawa berkongsi sesuatu rahsia dengan ibu bapa dan ahli keluarga merupakan kewajipan yang harus mereka lakukan.

  1. Mengenal Pasti Orang Dewasa yang Boleh Dipercayai

Jika apa-apa berlaku kepada anak anda, seperti tersesat atau ada individu yang cuba memujuk mereka, mereka harus tahu cara untuk berhubung dengan orang dewasa yang boleh dipercayai. Di pasar raya atau pusat beli-belah misalnya, mereka harus mencari pekerja dengan tanda nama atau pengawal keselamatan. Di luar kawasan tersebut, misalnya di sekolah, mereka perlu mencari pengawal keselamatan, guru atau polis.

  1. Wujudkan Saluran Komunikasi Terbuka

Beritahu anak anda bahawa anda tidak akan marah sekiranya mereka memberitahu anda tentang keburukan atau kesalahan yang telah mereka lakukan. Jangan memalukan mereka jika mereka mengakui bahawa mereka telah bercakap dengan seseorang secara peribadi atau secara dalam talian yang sepatutnya mereka elakkan. Anda boleh membantu menghalang orang luar daripada mempengaruhi anak anda dengan memberitahu mereka bahawa anda sentiasa bersedia untuk mereka dan anda sentiasa bersedia untuk mendengar apa-apa yang ingin mereka luahkan. 

Sebagai kesimpulannya, ingatlah bahawa sebagai orang dewasa, kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa culik. Dalam zaman tanpa sempadan yang mustahil untuk pisahkan anak-anak dengan dunia teknologi maklumat dan komunikasi, peranan ibu bapa dan penjaga kini semakin mencabar. Kes penculikan kanak-kanak bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di seluruh negara dan hal tersebut perlu menjadi iktibar kepada semua pihak bahawa jenayah ini sememangnya wujud dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, waima anak kita sendiri!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.