Oleh Firdaus Mul
16 Oktober 2022, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 yang telah disytiharkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menerusi Perutusan Khas, menunjukkan bahawa Parlimen ke-14 telah pun melabuhkan tirainya dan memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

PRU merupakan satu proses wajib bagi sesebuah negara yang menginginkan kerajaan sendiri, seperti yang dinyatakan oleh Ramlah Adam (2003) dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Perkembangan Pilihan Raya Era Pra-Merdeka 1955 yang menjelaskan bahawa pilihan raya merupakan satu daripada asas berkerajaan sendiri dan mengisi kemerdekaan sesebuah negara. Ia adalah satu proses dan satu sistem yang membolehkan rakyat negara bangsa tersebut memilih pemimpin dan parti yang membentuk kerajaan. Pilihan raya merupakan merupakan satu daripada asas utama dalam pengamalan sistem demokrasi negara yang telah merdeka. Yakni segala keputusan dan ketentuan mandat untuk menerajui kepimpinan negara diberikan secara khas kepada rakyat selaku pengundi ketika proses pilihan raya dijalankan. Perkara ini selari dengan hak kebebasan memilih yang telah diberikan. 

Di negara ini, pilihan raya secara asasnya dibahagikan kepada dua jenis, PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK). PRU terbahagi kepada dua peringkat, pertama PRU peringkat persekutuan dan kedua PRU peringkat negeri. Parti-parti politik yang memenangi pilihan raya dan memperoleh majoriti akan membentuk kerajaan. Selepas itu, kerajaan yang dibentuk akan terbubar atau dibubarkan sendiri selepas tamat tempoh lima tahun. Bagi PRK pula berlangsung sekiranya berlaku kematian, perletakan jawatan, hilang kelayakan dan pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihanraya. Kemudian, untuk memastikan kelancaran dan ketelusan pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditubuhkan, iaitu pada 4 September 1957 mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pilihan raya bukanlah sesuatu yang asing lagi di negara ini, pelaksanaannya telah bermula seawal negara belum mencapai kemerdekaan. Pada fasa yang pertama, pilihan raya dilaksanakan di peringkat tempatan atas dasar tuntutan rakyat Tanah Melayu kepada British, yakni sebagai satu latihan persiapan bagi pengamalan sistem demokrasi berparlimen. Rentetan itu, terlaksananya beberapa pilihan raya awal, antaranya termasuklah pilihan raya pada Disember 1951, yang dilaksanakan pada peringkat tempatan bagi Majlis Bandaran Georgetown (Tanjung), Pulau Pinang dan kemudiannya dilaksanakan di beberapa buah bandar utama yang lain. Pada ketika itu juga telah lahir Parti Perikatan gabungan UMNO dan MCA, Parti Radikal Pulau Pinang, dan Parti Buruh Pulau Pinang. Pada tahun 1952 pula, Pilihan Raya  Majlis Bandaran diadakan di beberapa buah lokasi lain seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Melaka dan Seremban. Kemenangan demi kemenangan yang dicapai oleh parti-parti politik tempatan memberikan mesej yang cukup jelas kepada British bahawa pemimpin sedia ada berjaya meraih sokongan penduduk dan boleh mentadbir Tanah Melayu.  Bertitik tolak daripada itulah, sinar kemerdekaan mula menyinari setiap inci Tanah Melayu. Penyataan ini disokong dengan pendapat yang ditulis oleh Sulastry Yurni Ahmad & Nidzam Sulaiman (2008) dalam satu artikel bertajuk Kedudukan Barisan Nasional Dalam Pilihan Raya Malaysia: Berakhirnya Era Hegemoni dan telah diterbitkan dalam Prosiding Seminar Politik Malaysia oleh Pusat Penerbitan Universiti (UPENA). Sulastry Yurni Ahmad dan Nidzam Sulaiman (2008) menyatakan bahawa; “Mandat rakyat Tanah Melayu untuk mentadbir negara sendiri masih tidak dapat dicapai sekiranya PRU tidak diadakan dengan mendapat keizinan daripada pihak British. Pada awalnya, atas desakan rakyat Tanah Melayu, Inggeris terpaksa memenuhi kehendak rakyat untuk mengadakan pilihan raya pada peringkat tempatan sebagai latihan bagi demokrasi berparlimen. Peringkat awal pilihan raya ini diperkenalkan pada peringkat tempatan bagi Majlis Bandaran yang pertama diadakan di Majlis Bandaran Georgetown (Tanjung), Pulau Pinang pada bulan Disember 1951. Seterusnya diperkenalkan di beberapa buah bandar utama yang lain”.

Sistem demokrasi semakin berkembang dan mekar di Tanah Melayu sekitar tahun 1955. Menerusi Perjanjian Tanah Melayu 1948, Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan akhirnya dibubarkan bagi memberikan laluan dan ruang kepada kerajaan untuk mengadakan PRU buat pertama kalinya bagi memilih ahi-ahli untuk mewakili rakyat dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Sebagai hasilnya, pada PRU yang berlangsung sekitar Julai 1955, Parti Gabungan UMNO, MCA dan MIC berjaya merangkul kemenangan besar dengan memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bahkan menurut Portal Rasmi Parlimen Malaysia, selepas kemenangan tersebut YTM Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan beliau membentuk Kabinet atau Jemaah Menteri Pertama Tanah Melayu. Peristiwa ini menjadi detik bersejarah dan berharga buat negara, hal ini dikatakan demikian kerana selepas kemenangan tersebut telah membawa YTM  Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan (1956) ke London untuk menuntut kemerdekaan. Bahkan menurut   Parlimen Malaysia, hasil rombongan tersebut terbentuknya satu Perlembagaan bagi Tanah Melayu (1957), sehingga YTM Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Perdana Menteri yang pertama dengan Jemaah Menteri sebanyak 12 orang sekali gus pada tahun tersebut Tanah Melayu mencapi kemerdekaan.

Kekeliruan mula berlaku dalam wacana perbahasan tentang sejarah pilihan raya, dan antara yang paling kerap dipersoalkan termasuklah bilakah tahun sebenar pilihan raya mula berlangsung di negara ini? Apakah tahun 1951 atau 1959? Untuk menjawab persoalan ini memerlukan sokongan fakta yang berautoriti. Pertama, pilihan raya bermula pada tahun 1951. Seperti yang dinyatakan sebelum ini akibat daripada desakan atau tuntutan daripada rakyat Tanah Melayu pada ketika itu, sistem pilihan raya telah diperkenalkan oleh pihak British, dan pada fasa permulaan pelaksanaannya hanya melibatkan peringkat Majlis Bandaran/Perbandaran. Walau bagaimanapun pilihan raya yang berlangsung pada ketika itu tidak menepati prinsip First Fast The Post (FPTP) seperti yang masih dikekalkan hingga ke hari ini. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahmad Kamal Arifin, Mohammad Khairul Anuwar & Aqilah Johar (2021) dalam artikel yang bertajuk Pilihan Raya Persekutuan Tanah Melayu 1948-1959, dan Pengenal Fast Past the Post dan pendapat Sulastry Yurni Ahmad & Nidzam Sulaiman (2008) dalam satu artikel bertajuk Kedudukan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Malaysia : Berakhirnya Era Hegemoni.

Pada awalnya, pilihan raya lebih kepada satu latihan atau pendedahan terhadap pengamalan sistem demokrasi kepada rakyat di Tanah Melayu. Pada tahun 1955, yakni menyaksikan kemenangan terbesar Parti Perikatan yang memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingan. Kejayaan tersebut membawa kepada pertambahan Ahli Majlis Perundangan Persekutuan sebanyak 98 orang. Menurut Parlimen Malaysia, sebanyak 52 orang yang dipilih melalui PRU (menggantikan 50 orang ahli tidak rasmi), sebanyak 35 orang ahli yang dilantik mewakili kepentingan tertentu, dan sebanyak 11 orang terdiri daripadaa menteri besar dan wakil-wakil negeri. 

Pada tahun 1959, satu PRU diadakan dan pada ketika itu juga sistem Parlimen dua Dewan yang mengandungi institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Dewan Rakyat dan Dewan Negara dibentuk. Pembukaan Parlimen pertama oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong I, Tuanku Muhammad, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Pada ketika itu juga berlangsungnya mesyuarat pertama, penggal pertama pada 11 September 1959. Bahkan, yang lebih menariknya lagi PRU tahun 1959 merupakan pilihan raya pertama yang dikendalikan oleh SPR Malaysia, dan melibatkan 104 buah kerusi di Dewan Rakyat dan 282 kerusi di Dewan Undangan Negeri.  PRU tersebut merupakan kesinambungan pembubaran (Jun 1959) Majlis Perundangan Persekutuan yang menjalankan tanggungjawab sebagai Dewan parlimen. Hal ini membawa maksud, bahawa pelaksanaan sistem pilihan raya telah berlangsung seawal sebelum merdeka lagi. Namun begitu, jika perhitungan yang melibatkan pelibatan SPR dan Sistem Dewan Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), pastinya bermula pada tahun 1959. Kemudian diikuti dengan PRU pada tahun 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, seterusnya dan hingga ke hari ini. 

Kelangsungan sistem pilihan raya yang dilaksanakan di negara ini, membuktikan bahawa kesuburan pengamalan Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia. Rakyat sentiasa diberikan peluang dan mandat yang besar untuk menentukan pemimpin dan parti yang bakal menerajui kepimpinan negara. Walaupun, beberapa tahun lalu wujud ketidakstabilan politik sehingga mengundang pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali, namun situasi itu akan berjaya dikekang pada dekad ini dengan penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti. Hal ni pastinya membawa dimensi baharu dalam sistem berpolitik di negara ini sekali gus memberikan nafas baharu kepada sistem politik negara dan kepercayaan rakyat (selaku pengundi) terhadap mandat dan amanah yang diberikan ketika proses pilihan raya. Bahkan undi 18 tahun yang dilaksanakan baru-baru ini juga bakal merancakkan lagi PRU-15 melalui pertambahan pengundi muda secara automatik. Oleh itu, dalam menjamin kesuburan landskap politik di negara ini, pastinya memerlukan kerjasama dan peranan semua pihak. Baik di sisi rakyat, blok pembangkang atau blok kerajaan. Tanggungjawab keluar mengundi perlu dilaksanakan, dan calon pemimpin yang memenangi pilihan raya perlu menunaikan segala perkara yang telah dijanjikan. Begitu juga mereka yang memenangi pilihan raya tetapi berada di  blok pembangkang. Jadilah pembangkang yang prihatin dalam proses semak dan imbang untuk setiap pelaksanaan kerajaan. Pada akhirnya nanti, keberhasilan kerjasama dan peranan yang dimainkan oleh semua pihak bukan sahaja dapat mengekalkan kesuburkan demokrasi berparlimen malah berupaya mengekalkan identiti politik matang di negara ini dan secara tidak langsung akan terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.