Oleh Abdullah Yusoff
26 Oktober 2022, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Murid Pendidikan Khas dari Perspektif Perubatan

Pasukan atau individu dalam bidang perubatan dan kesihatan merupakan kumpulan profesional yang penting dalam membangunkan sistem pelaksanaan pendidikan khas. Pengkategorian Kanak-kanak Berkeperluan Khas (KKBK) dilakukan oleh ahli perubatan berasaskan pada ciri kanak-kanak daripada perspektif perubatan. Kumpulan murid tersebut diklasifikasikan sama ada mengalami ketidakupayaan penglihatan seperti buta dan rabun, ketidakupayaan pendengaran seperti pekak, ketidakupayaan pertuturan seperti lambat bertutur, ketidakupayaan fizikal seperti kudung dan masalah pembelajaran seperti autistik dan sindrom Down atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan tersebut seperti buta-pekak serentak.

Pengesahan sama ada seseorang kanak-kanak itu perlu belajar di sekolah pendidikan khas juga dilakukan oleh ahli perubatan dan kesihatan. Menurut Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), murid tersebut perlu disahkan atau diperakukan oleh mana-mana pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau swasta. Ketidakupayaan yang dialami menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti pendidikan secara biasa dan ditempatkan dalam aliran dikenali pendidikan khas.

Keadaan fizikal, deria, mental, emosi, sosial, kesihatan atau tingkah laku merupakan ciri-ciri yang dinilai terhadap seseorang kanak-kanak. Kebisaannya, ahli perubatan akan menilai kanak-kanak berasaskan kecacatan/kekurangan yang dimiliki berdasarkan ciri-ciri perubatan. Kemudiannya kanak-kanak tersebut dikategorikan dalam kumpulan KKBK. Sebab-sebab atau punca kecacatan dan kekurangan diberi fokus utama dan cadangan-cadangan untuk mengatasi kecacatan turut diberikan.

Dari segi sejarah, sebelum 1980-an, pendidikan khas di Malaysia bermula dengan memberikan tumpuan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran. Kemudian selaras dengan perkembangan pendidikan khas luar negara, pendidikan bermasalah pembelajaran dimulakan pada tahun 1987 yang menjurus kecacatan yang ada kepada kanak-kanak. Konsep kanak-kanak masalah pembelajaran menjurus kepada kanak-kanak yang mengalami kesukaran dan kesukaran mengikuti pembelajaran di kelas kanak-kanak biasa.

Secara spesifik kanak-kanak autisme, terencat akal, kepelbagaian kecacatan, kelewatan pertumbuhan dan perkembangan, gangguan emosi, masalah pembelajaran khusus dan mana-mana kanak-kanak yang tidak boleh mengikuti persekolahan biasa dengan syarat boleh belajar dan mengurus diri sendiri boleh mendaftar di kelas pendidikan khas. Sebelum itu, kanak-kanak tersebut perlu mendapat pengesahan oleh pengamal perubatan, kesihatan dan psikologi melalui borang khas yang mempunyai beberapa aspek penilaian terhadap seseorang kanak-kanak.

Setelah semakan terhadap kanak-kanak yang mengikuti persekolahan dalam “aliran” pendidikan khas dilakukan pada tahun 2015, Bahagian Pendidikan Khas (2015) mengkategorikan murid pendidikan khas seperti berikut:

  • Ketidakupayaan Penglihatan
  • Ketidakupayaan Pendengaran
  • Ketidakupayaan Pertuturan
  • Ketidakupayaan Fizikal
  • Masalah Pembelajaran
  • Ketidakupayaan Pelbagai
·  Autism (Autisme)

·  Deaf-blind (Buta-pekak)

· Hearing impairments including deafness (Masalah pendengaran/pekak)

· Mental retardation (Terencat akal)

· Multiple disabilities (Kepelbagaian kecacatan)

· Orthopedic impairment (Kecacatan orthodopedik)

· Other health impairments (Kecacatan kesihatan lain)

· Emotional disturbance (gangguan emosi)

· Specific learning disabilities (masalah pembelajaran khusus)

· Speech or language impairments (Kecacatan pertuturan atau berbahasa)

· Traumatic brain injury (Kecederaan otak traumatik)

· Visual impairments including blindness (kecacatan penglihatan dan buta)

· Developmental delay (Kelewatan pertumbuhan dan perkembangan)

Kanak-kanak ini dilabel atau dikategorikan berdasarkan kecacatan yang dialami oleh mereka. Hal ini bermakna kanak-kanak dikategorikan berdasarkan ciri-ciri umum tertentu yang sama, yang dikongsi oleh kumpulan kanak-kanak tersebut. Sebagai contoh, kanak-kanak yang dikategorikan sebagai bermasalah pendengaran atau pekak berkongsi ciri-ciri ketidakupayaan mendengar bunyi (bahasa atau bukan bahasa) dan bermasalah dalam menggunakan bahasa pertuturan. Pengkategorian tersebut memiliki kelemahan dari segi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kerana setiap kanak-kanak secara fitrahnya berbeza walaupun dalam kategori yang sama. Perdebatan tentang hal ini masih berterusan kerana mempunyai baik buruknya bukan sahaja dalam melaksanakan pendidikan tetapi terhadap kehidupan kanak-kanak pendidikan khas apabila mereka dewasa kelak.

Umpamanya, kanak-kanak pekak tersebut bukan bermakna mereka mempunyai darjah kepekakan yang sama atau ketidakupayaan menghasilkan bahasa pertuturan yang sama. Ada dalam kalangan kanak-kanak ini yang mempunyai sedikit pendengaran dan boleh menghasilkan pertuturan. Begitu juga dengan kumpulan kanak-kanak yang dikategorikan dalam kumpulan yang lain. Mereka mungkin memiliki persamaan dari segi ciri-ciri umum tetapi tidak sama dari segi ciri-ciri khusus.

Memahami persamaan dan perbezaan ciri-ciri umum dan khusus ini amat penting kerana maklumat ini akan mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap pendidikan kumpulan kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini berbeza dan mempunyai potensi diri yang berbeza sama ada dari segi inter-kumpulan (kategori kecacatan yang sama) atau intra-kumpulan (kategori kecacatan yang berbeza). Oleh itu, guru seharusnya memberi layanan yang terbaik walaupun berbeza kepada setiap kanak-kanak berdasarkan ciri-ciri jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) yang ada pada kanak-kanak bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan kehidupan masa depan mereka.

Dari perspektif perubatan, kanak-kanak pendidikan khas dilihat sebagai mengalami kecacatan kerana pendekatan perubatan mengutamakan pemulihan atau mengubat kecacatan yang dialami. Umpamanya, usaha terhadap kanak-kanak pekak dilakukan untuk memulihkan pendengaran dan melatih mereka bertutur. Begitu juga dengan usaha perubatan yang dilakukan ke atas kanak-kanak buta adalah untuk memulihkan penglihatan mereka dengan menggunakan pendekatan teknologi perubatan terkini yang pesat membangun dari semasa ke semasa.

Manakala dari perspektif pendidikan pula, kanak-kanak pendidikan khas dilihat sebagai satu kumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan yang paling sesuai dengan kebolehan mereka. Oleh itu, mereka yang mempunyai ciri-ciri boleh mengurus diri sendiri dan mempunyai keupayaan untuk menerima pendidikan (educable) seharusnya boleh diterima untuk bersekolah. Dari perspektif pendidikan, antara perkara-perkara yang diberi pertimbangan dalam pelaksanaan pendidikan kepada murid ini ialah:

 

  • Saluran penyampaian (contoh: bahasa isyarat bagai kanak-kanak pekak dan huruf Braille bagi buta)
  • Pedagogi pengajaran dan pembelajaran
  • Peralatan bantuan proses pendidikan (contoh: alat bantuan pendengaran bagai kanak-kanak pekak dan mesin Brailler bagi buta)
  • Bilangan populasi murid dalam satu-satu kelas (di Malaysia 5-7 murid)
  • Guru terlatih dalam pendidikan khas (mengikut kategori murid)
  • Kandungan kurikulum (kebangsaan atau diubah suai atau berbeza daripada kebangsaan)
  • Aktiviti kokurikulum (disesuaikan dengan kategori murid khas)

Wujud perbezaan dari segi matlamat antara perspektif perubatan dengan pendidikan. Perspektif perubatan menekankan kepada pemulihan daripada kecacatan/kekurangan dan pemuliharaan daripada kecacatan/kekurangan yang ada pada seseorang supaya tidak bertambah teruk dengan menggunakan pelbagai kaedah perubatan. Manakala perspektif pendidikan bermatlamat memberi pendidikan sebaik mungkin, yang bersesuaian dengan potensi yang ada pada murid berkeperluan khas dengan mengambil kira bahawa kecacatan yang ada pada seseorang bukan penghalang kepada mereka untuk mendapat dan berjaya dalam pendidikan. Oleh itu, konsep pengubahsuaian kandungan kurikulum dan pembinaan kurikulum baru yang bersesuaian dengan kategori kanak-kanak perlu dilaksanakan.

Sehubungan dengan itu, beberapa istilah digunakan dalam konteks pendidikan yang merujuk pada murid pendidikan khas, yang setiap satu mempunyai konotasi tersendiri seperti berikut:

  • Kanak-kanak istimewa
  • Kanak-kanak luar biasa
  • Kanak-kanak kurang upaya
  • Kanak-kanak cacat
  • Kanak-kanak abnormal
  • Kanak-kanak bermasalah
  • Kanak-kanak terbantut pertumbuhan dan perkembangan

Secara perbandingan, perkembangan pendidikan khas negara pesat membangun berbanding dengan sebelum 1980-an. Pengaruh negara luar banyak membantu meningkatkan kualiti pendidikan tersebut di samping kesedaran yang berlaku dalam pengurusan pendidikan negara. Peranan masyarakat, terutamanya ibu bapa yang mahu akan anak-anak mereka yang tidak boleh mengikuti persekolahan biasa merupakan “kuasa pendesak” bagi memastikan kualiti pendidikan mencapai hasrat yang digariskan dalam falsafah pendidikan khas negara.

Cahaya yang malap di hujung terowong sudah mulai cerah, anak-anak pendidikan khas sudah dan sedang menikmati pendidikan seperti situasi yang berlaku di luar negara yang disesuaikan dengan kemampuan dan budaya tempatan. Hal ini bertitik tolak daripada banyaknya penglibatan dan termeterainya konvensi yang ditandatangani oleh pemimpin negara dan pemimpin pendidikan. Oleh itu, kewujudan pendidikan khas merupakan satu rahmat bukan sahaja kepada kanak-kanak yang memiliki ciri-ciri pendidikan khas, malah juga kepada warganegara Malaysia yang memiliki pelbagai kebolehan dan bakat. Hak mendapat pendidikan terbuka luas kepada semua kanak-kanak dan situasi ini bertepatan dengan slogan “tiada kanak-kanak tertinggal” dalam usaha mendapat pendidikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.