28 Oktober 2022, 21:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gendang Pilihan Raya umum ke-15 (PRU-15) yang dipalu menyebabkan mana-mana parti politik kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Hampir semua jentera kepartian kini menggunakan formula masing-masing untuk meraih kemenangan bagi membentuk kerajaan.  PRU15 dijangka berlangsung dalam keadaan sengit kerana pertandingan pada kali ini melibatkan empat penjuru, iaitu Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Gerakan Tanah Air. Boleh dikatakan majoriti rakyat yang akan menentukan pemilihan kelak untuk menerajui kerajaan datangnya daripada generasi Z dan generasi Y.

Generasi Z kini memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan mana-mana gabungan parti yang akan bertanding dalam PRU-15. Statistik kependudukan Malaysia kini menunjukkan bahawa terdapat 32.6 juta orang penduduk Malaysia. Daripada jumlah itu, hampir 70 peratus penduduk Malaysia ialah kaum Bumiputera diikuti oleh kaum Cina (23 peratus) dan kaum India (tujuh peratus). Analisis menunjukkan bahawa generasi Z yang berumur 25 tahun ke bawah merangkumi jumlah yang besar daripada keseluruhan penduduk Malaysia, iaitu sebanyak 25 peratus. Kajian menunjukkan bahawa hampir 80 peratus generasi Z ialah kaum Bumiputra, manakala kaum Cina (15 peratus) dan sebanyak lima peratus pula diwakili oleh kaum India.

Generasi Y merangkumi sebanyak 26 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia dan berumur antara 26 tahun hingga 41 tahun. Generasi Y menunjukkan bahawa hampir 70 peratus diwakili oleh kaum Bumiputra, diikuti oleh kaum Cina sebanyak 23 peratus dan kaum India sebanyak tujuh peratus. Manakala generasi X pula merangkumi 18 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia, iaitu 60 peratus terdiri daripada kaum Bumiputera diikuti oleh kaum Cina sebanyak  30 peratus dan India sebanyak  10 peratus yang berumur antara 42 tahun hingga 57 tahun.

Malaysia akan memilih kerajaan pada 19 November kelak.

Pengenalan dunia pendigitalan dan kecerdasan buatan ke dalam konteks politik negara memberikan satu perubahan radikal ke atas paradigma perspektif politik dalam kalangan generasi Z. Generasi Z kini merupakan bilangan terbesar yang bakal menentukan momentum perubahan politik di negara ini. Kajian menunjukkan bahawa 52 peratus generasi Z diwakili oleh kaum generasi Y (48 peratus) diikuti oleh generasi X (45 peratus). Situasi ini menunjukkan bahawa produk segmen politik generasi Z ini tidak lagi terikat dengan politik lama, iaitu politik etnik, politik agama dan politik baharu. Hampir 80 peratus generasi Z tinggal di bandar, mempunyai sekurang-kurang berpendidikan diploma dan mempunyai pengalaman berhubung dengan dunia ekonomi GIG.

Yang menariknya, majoriti generasi Z pada hari ini lebih melihat kepada segmen produk politik rasional baharu yang terdedah dengan dunia politik media baharu. Walau bagaimanapun, sebahagian besar daripada mereka kurang berminat dengan politik dan lebih terarah kepada dunia tersendiri dalam kumpulan media baharu. Mereka tidak lagi terikat dengan dunia secara fizikal dan perbincangan tentang situasi yang berlaku di negara ini adalah lebih luas dan terbuka berbanding dengan generasi Y dan generasi X. Bukan mudah untuk membawa satu nada yang seiring dengan pemikiran generasi Z dalam erti kata mempunyai persamaan sokongan parti ke atas parti tertentu. Masing-masing dalam generasi Z ini terarah kepada luahan sebagai netizen yang mampu membina sebuah dasar kerajaan tanpa disedari oleh ahli Parlimen yang dilantik sebagai ahli badan legislatif.

Kerasionalan politik generasi Z juga tidak sama dengan politik rasional yang dihujahkan oleh para sarjana Barat disebabkan generasi Z mempunyai kepelbagaian pengisian rasional politik yang ada kalanya bercampur dengan politik konvensional. Percampuran ini membawa kepada satu lagi konsep baharu dalam politik rasional di negara ini. Kerasionalan generasi Z dalam melihat satu pandangan politik mereka dalam dunia tersendiri turut dikongsi bersama dalam dunia alam maya. Perkongsian di alam maya jauh lebih luas dan tidak terbatas dalam dunia pergaulan dalam kalangan generasi Z. Situasi ini seolah-olah menggambarkan dalam teori domino bahawa satu cetusan pandangan bakal memberikan impak kepada mereka yang terlibat dalam dunia perkongsian alam maya yang menjangkaui ratusan mahupun ribuan perkongsian dalam hanya tempoh satu minit.

Berbanding dengan politik baharu yang digunakan sejak tahun 1999 sehingga wujudnya satu konsep Malaysia Baharu pada tahun 2019 adalah jauh berbeza daripada politik rasional. Politik baharu menekankan konsep tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan berakauntabiliti. Namun begitu, dalam konsep politik rasional ini menekankan keupayaan kerajaan dalam memenuhi aspirasi rakyat yang sedang melalui beberapa krisis seperti ekonomi dan kehidupan. Hal ini memerlukan satu fokus tindakan kerajaan dalam merangka dasar yang lebih fleksibel dengan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu semasa yang melingkari kehidupan rakyat terutamanya melibatkan generasi Z. Disebabkan hal itu, pelbagai kaedah digunakan oleh kerajaan pada hari ini dalam menyempurnakan tugasan kepada rakyat dan tidak lagi berdasarkan kepada satu kaedah dalam mencari penyelesaian.

Sejak tahun 2016, sebanyak 95 peratus penduduk Malaysia mendapat liputan Internet 3G dan 64 peratus pula mendapat liputan Internet 4G. Pada masa ini, boleh dikatakan hamper 95 peratus  penduduk Malaysia menikmati liputan Internet 4G ke atas. Generasi Z merupakan generasi pertama yang mendapat kemudahan liputan Internet 3G ke atas berbanding dengan generasi X dan generasi lain. Malahan Generasi Z dikatakan sebagai generasi yang mula diperkenalkan teknologi telefon android dan kemudahan liputan Internet seawal usia kanak-kanak lagi. Pendedahan kepada telefon android ini hampir meliputi 99 peratus keseluruhan generasi Z dengan capaian Internet melebih 95 peratus. Situasi ini menyebabkan keseluruhan generasi Z menjadi pengguna tegar media sosial baharu seperti Facebook, Tiktok, Instagram dan lain-lain. Buat pertama kali boleh dikatakan keseluruhan kehidupan generasi Z adalah dalam dunia media sosial yang mempunyai kumpulan interaksi sosial tersendiri tanpa mengenal sempadan sehingga menyebabkan mereka merasai pengalaman perubahan politik yang berlaku antara zaman kejatuhan BN pada tahun 2018 sehinggalah kepada pemerintahan zaman PH selama 22 bulan. Generasi Z juga merasai kehidupan buat pertama kali pemerintahan kerajaan Malaysia bukan di bawah BN dan melihat sendiri manifesto yang dijanjikan oleh PH sebelum PRU-14.

Generasi Z merupakan generasi yang mempunyai kesedaran dalam isu politik negara terutamanya krisis politik, ekonomi dan sosial yang berlaku sejak 9 Mei 2018. Generasi Z juga diberikan ruang untuk terlibat sebagai pengundi buat pertama kali selepas Akta Undi 18 tahun ke atas dilaksanakan. Malahan Akta Pembangunan Belia dan Persatuan Belia juga dirombak dengan mengumunkan golongan belia ialah golongan yang berumur 30 tahun ke bawah. Hal ini bermakna keseluruhan umur generasi Z memainkan peranan yang amat besar dalam masa depan politik negara kelak.

Generasi Z secara ringkasnya dipengaruhi oleh empat faktor, iaitu keterlibatan dalam dunia elektronik, berpendidikan, bersifat keusahawanan ekonomi GIG dan mempunyai daya kuasa sebagai pengkritik yang proaktif. Sebarang aktiviti politik masa kini dianggap sebagai realiti sebenar yang akan terpampang dalam dunia media sosial baharu. Maka, parti politik masing-masing perlu memperkasakan kepolitikan generasi Z yang merupakan aset dan tunjang utama masa depan politik di negara ini.

Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah, Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.