Oleh Yohan Kurniawan
31 Oktober 2022, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak akhir-akhir ini, tumpuan rakyat tertumpu pada keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas tokoh tertentu yang terbabit dengan kes rasuah yang pernah menggemparkan Malaysia. Kes ini bukanlah kes terakhir yang melibatkan individu ternama di negara ini kerana selepas ini akan ada lagi individu-individu berprofil tinggi yang akan berhadapan dengan hukuman yang terkait kes rasuah. Fenomena ini sangatlah menyedihkan kerana individu yang menjadi tokoh berpengaruh di negara ini seharusnya menjadi contoh bagi rakyat Malaysia terutamanya terhadap golongan muda selaku generasi penerus kepimpinan di negara ini.

Fenomena rasuah di Malaysia telah lama wujud, iaitu baik dalam skala kecil mahupun besar. Perbuatan rasuah ini berlaku hampir di semua sektor melibatkan institusi kerajaan mahupun swasta. Fenomena ini menjadi budaya buruk yang boleh merosakkan akhlak generasi muda serta meruntuhkan negara pada kemudian hari. Banyak kes rasuah di dunia melibatkan tokoh dan pimpinan negara sehingga membawa kepada kehancuran negara dan kesusahan hidup rakyatnya. Bagi mencegah agar Malaysia tidak menuju ke arah kerosakan, maka pencegahan perlu dilakukan sejak awal. Satu daripada cara untuk mencegah meluasnya budaya rasuah di Malaysia adalah dengan mereformasikan sistem pendidikan, baik secara formal mahupun informal.

Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan dengan antirasuah telah memutuskan supaya kursus Integriti dan Antirasuah menjadi kursus wajib di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bermula  pada tahun hadapan. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali mengatakan bahawa kursus ini akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk pemahaman pelajar mengenai rasuah dan membantu memberikan kesedaran kepada pelajar untuk tidak meminta rasuah dan tidak memberikan rasuah kepada mana-mana pihak. Kursus ini sangat penting bagi pelajar kerana banyaknya godaan yang wujud dalam dunia pekerjaan dan tekanan kehidupan selepas menamatkan pengajian kelak yang mungkin menyebabkan pelajar-pelajar ini mudah terperangkap dalam jerat rasuah.

Usaha kerajaan ini sangat dihargai kerana rakyat mengharapkan budaya rasuah di Malaysia akan semakin berkurangan, sekali gus lenyap pada masa akan datang. Berkaitan dengan pelaksanaan kursus antirasuah di IPT, pertanyaan besar yang muncul termasuklah berkaitan dengan tahap keberkesanan kursus yang hanya diberikan selama satu semester di IPT. Adakah kursus tersebut mampu menimbulkan kesedaran dan mengubah perilaku pelajar terhadap rasuah kerana tempohnya yang pendek?

Berdasarkan data daripada SPRM, didapati sebanyak 275 orang belia yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun ditahan atas kesalahan rasuah membabitkan 231 orang lelaki dan 44 orang wanita sejak 2020. Sebanyak 151 orang belia dituduh di mahkamah atas kesalahan memberi, menerima dan lain-lain kesalahan berkaitan rasuah dengan membabitkan 11 orang berusia dari 18 hingga 23 tahun, dan 140 orang berusia dari 24 hingga 30 tahun. Keadaan ini sangat membimbangkan bagi sebahagian besar rakyat  kerana masa depan negara kita bergantung kepada golongan ini. Sekiranya generasi muda yang terjatuh dalam jenayah rasuah maka dapat dibayangkan keadaan masa depan Malaysia kelak.

Proses pendidikan dan penanaman kefahaman antirasuah merupakan suatu proses yang panjang. Sehubungan dengan itu, tahap keberkesanan kursus antirasuah pada peringkat pengajian tinggi mungkin boleh ditambah baik dalam mengubah minda dan sikap pelajar terhadap rasuah. Para pelaku rasuah semasa ini menyedari bahawa perilaku tersebut adalah salah, tetapi mereka tetap terus melakukannya. Hal ini menunjukkan terdapat perkara yang tidak kena dengan sikap dan minda mereka. Oleh itu, adakah kursus selama satu semester tersebut mampu mengubah keadaan ini?

Proses pendidikan antirasuah sebaik-baiknya perlu diajarkan secara berperingkat, iaitu sejak peringkat sekolah rendah sehingga ke tahap pengajian tinggi. Pada peringkat tadika, kanak-kanak telah diajarkan asas nilai-nilai moral seperti perbuatan baik atau buruk, dan perkara yang benar atau salah. Asas nilai moral ini akan menjadi dasar pembelajaran pendidikan kursus antirasuah pada peringkat pendidikan yang selanjutnya. Sekiranya pendidikan antirasuah ini diajarkan sejak sekolah rendah, maka apabila mereka menyambung pelajaran sehingga ke peringkat pengajian tinggi, kursus ini akan menjadi mantap dan dapat memberi pengukuhan terhadap sikap antirasuah sehingga dapat menjadi budaya yang wujud dalam diri setiap pelajar di Malaysia. Kejayaan program pendidikan antirasuah ini menjadi tanggungjawab bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Integrasi daripada ketiga-tiga institusi tersebut akan memperkukuh dan memperkasakan proses pendidikan antirasuah dalam kalangan pelajar pada masa hadapan.

Kejayaan proses pendidikan antirasuah ini dipengaruhi juga oleh kematangan tahap perkembangan moral dan kognitif pelajar, serta kaedah pengajaran yang digunakan. Dua orang pakar Psikologi ternama, Jean Piaget dan Lawrence Kohlberg mendakwa bahawa perkembangan moral manusia bersifat universal, bermaksud semua individu tanpa mengira bangsa akan melalui tahap perkembangan moral yang sama dan perkara yang mendasari setiap tahap perkembangan moral ialah konsep moral yang sama seperti kewajipan, keadilan dan tanggungjawab. Berdasarkan teori perkembangan kognitif daripada Jean Piaget dan teori perkembangan moral daripada Lawrence Kohlberg tersebut, dapat disimpulkan bahawa kemampuan kognitif yang dimiliki oleh individu akan mempengaruhi perkembangan moralnya.

Pendidikan antirasuah ini bukan hanya memberikan pengetahuan kepada pelajar, malah  tujuan utamanya adalah untuk menanamkan pemahaman dan budaya antirasuah dalam diri dan minda pelajar. Bagi mencapai tujuan ini, maka proses pendidikan antirasuah yang diajarkan kepada pelajar sekolah rendah sehingga pengajian tinggi perlu merangkumi aktiviti mental yang aktif seperti kemampuan berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Kaedah pengajarannya perlu berbentuk dinamik seperti kombinasi antara kaedah ceramah (15%), simulasi (30%), kajian kes (25%) dan praktikal (30%).

Selain bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan menanamkan budaya serta perilaku antirasuah dalam diri pelajar di Malaysia, tujuan lain pendidikan antirasuah adalah untuk menimbulkan perasaan malu apabila terlibat dengan aktiviti rasuah dalam kalangan pelajar, memiliki harga diri yang tinggi, dan mewujudkan sikap bertanggungjawab serta bermaruah dalam diri pelajar Malaysia. Bagi memastikan pendidikan antirasuah ini benar-benar difahami dan dihayati oleh semua pelajar di negara ini, maka dicadangkan mata pelajaran antirasuah ini dapat dipertimbangkan sebagai satu daripada mata pelajaran wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa hadapan.

Terdapat beberapa perkara penting yang perlu mendapat perhatian bagi kejayaan proses pendidikan antirasuah dalam kalangan pelajar di Malaysia, iaitu kurikulum pengajaran, kaedah pengajaran, dan pengukuran hasil pengajaran. Kurikulum dan kaedah pengajaran ini penting supaya pembelajaran dapat diterima dan difahami oleh pelajar. Pengukuran hasil pengajaran juga penting bagi menilai apakah objektif pembelajaran sudah tercapai, dan untuk mengetahui kaedah pengajaran yang digunakan sama ada tepat dan dapat diterima oleh pelajar.

Untuk mencapai objektif pendidikan antirasuah dalam kalangan pelajar di Malaysia, dicadangkan konsep pendidikan antirasuah pada pelbagai peringkat pendidikan merangkumi erkembangan moral, kognitif yang dtambah dengan integrasi kurikulum untuk setiap peringkat umur melalui kaedah pengajaran dan pengukuran hasil pembelajaran yang pada akhirnya dipercayai mampu mencipta kejayaan dalam pendidikan antirasuah di Malaysia.

Pada akhirnya, dapat disimpulkan bahawa pendidikan antirasuah yang berkonsepkan integrasi daripada pendidikan sekolah rendah sehingga pengajian tinggi sangat diperlukan pada masa ini dan akan datang bagi menanamkan kesedaran dan pemahaman serta mengubah sikap dan pola fikir belia di Malaysia untuk tidak berkompromi terhadap amalan rasuah. Pemahaman ini juga penting bagi meningkatkan maruah dan martabat Malaysia di mata dunia sebagai satu daripada sebuah negara yang bersih dan bebas daripada rasuah.


Prof. Madya Dr. Yohan Kurniawan, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.