Oleh Jamil Hashim
31 Oktober 2022, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jenayah penipuan dalam talian melibatkan pengguna media sosial yang dilaporkan semakin berleluasa pada peringkat global dan di negara ini dengan kerugian berjumlah ribuan juta ringgit dikhuatiri turut menyasarkan golongan remaja dan pelajar di Malaysia. Di Malaysia sendiri, kes penipuan jenayah siber semakin meningkat sejak 2019 hingga bulan Julai lalu dengan mencatatkan 63 723 kes melibatkan kerugian berjumlah RM2 025.8 juta.

Di samping khalayak dewasa, fenomena ini juga berpotensi melibatkan remaja dan pelajar kerana mereka merupakan pengguna utama media sosial terutamanya melalui telefon bimbit dan pelbagai peranti mudah alih yang kini turut menjadi keperluan dalam proses pembelajaran pada peringkat menengah dan pengajian tinggi. Sebagai pengguna media sosial, mereka berpeluang mengakses pelbagai laman sosial popular termasuk Facebook, Whatsapp dan Instagram yang turut digunakan oleh penjenayah untuk menipu dan menjerat mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani.

Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut bimbang dengan penularan fenomena ini dan menasihatkan golongan remaja dan ibu bapa agar memberikan perhatian terhadap kes ini.  Mereka dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai taktik manis yang digunakan penjenayah untuk memancing dan memikat pengguna

“Hal ini khusus berkaitan dengan urusan jual beli dalam talian, pinjaman mudah atau skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang besar tetapi sebenarnya tidak pernah wujud, malah sesetengahnya menyatakan tawaran yang tidak masuk akal,” jelas Tan Sri Acryl Sani. Beliau turut bimbang dengan sikap pengguna yang terlalu mudah percaya dan terpengaruh dengan pelbagai tawaran tersebut.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pameran “Pencegahan Jenayah Kewangan dalam Talian” bersama-sama Gabenor Bank Negara, Tan Sri Shamsiah Mohd. Yunus di Kuala Lumpur pada 26 September 2022. Pameran secara maya anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bertemakan “Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya”. Pameran itu mendedahkan pelbagai taktik penipuan oleh penjenayah, tips pencegahan dan panduan untuk mangsa penipuan membuat aduan kepada pihak berkuasa. Pengguna boleh melihat sendiri pameran ini dengan melayari laman sesawang Muzium dan Galeri Seni Bank Negara melalui www.museum.bnm.gov.my.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Shamsiah Mohd. Yunus.

Selain memaklumkan kepada masyarakat umum mengenai jenayah itu, Tan Sri Nor Shamsiah berharap pengguna termasuk pelajar dan remaja juga sentiasa berusaha meningkatkan kewaspadaan bagi mengelakkan diri daripada diperdaya dan menjadi mangsa penjenayah kewangan termasuklah tidak terlalu percaya dan berusaha mengawal nafsu daripada mudah terpengaruh dengan iklan jualan barangan dalam talian yang menawarkan pelbagai ganjaran yang memikat hati tetapi sebenarnya tidak benar dan tidak pernah wujud.

“Syarikat palsu yang tidak berdaftar itu kebiasaannya menawarkan jualan sesuatu barangan  pengguna termasuklah pelbagai peranti, komputer riba, telefon bimbit, kamera dan peralatan sukan dengan harga yang menarik dan meminta pelanggan memasukkan jumlah wang tertentu sebagai syarat tempahan, tetapi pada kebiasaannya setelah lama ditunggu, produk yang dipesan tidak pun sampai ke tangan mereka,” jelas beliau. Selain barangan, mereka juga gemar mengiklankan produk penjagaan kesihatan, pakej percutian dan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan tetapi sebenarnya palsu.

Bagi mengelakkan masyarakat daripada mudah terpedaya dan menjadi mangsa, Tan Sri Nor Shamsiah berkata, Bank Negara menyarankan semua pengguna agar sentiasa berpegang kepada kata kunci 3S iaitu, Soal, Sekat dan Sebar. Pertama, ‘soal’ setiap perkara yang meragukan serta ‘sekat’ diri daripada melakukan langkah seterusnya seperti yang diarahkan sekiranya melibatkan transaksi kewangan yang mencurigakan, dan seterusnya ‘sebar’ maklumat kepada keluarga dan rakan untuk dikongsi bersama-sama serta melaporkan kepada pihak berkuasa melalui saluran yang disediakan untuk tindakan selanjutnya.

Kata kunci 3S: Soal, Sekat dan Sebar.

Memandangkan kebanyakan golongan muda dan pelajar turut memiliki pelbagai peranti mudah alih, beliau menasihatkan ibu bapa agar turut memantau, mengawasi dan menasihati anak masing-masing agar tidak mudah terpengaruh dengan penipuan ini. Bagi beliau, pendekatan dua hala dengan sifat saling memperingatkan dan memberikan nasihat sebegini lebih baik agar masing-masing sentiasa berwaspada.

“Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun kebanyakan ibu bapa memiliki telefon mudah alih dan peranti yang lain, tetapi tahap pemahaman mereka tentang penggunaannya masih sederhana dan dikhuatiri dimanipulasikan oleh penjenayah untuk mengambil kesempatan,”  ulas Tan Sri Nor Shamsiah. Beliau turut menyeru generasi muda yang terdedah kepada pelbagai maklumat mengenai taktik penjenayah ini melalui peranti elektronik mereka  agar memaklumkannya kepada ahli keluarga masing-masing terutamanya ibu bapa sendiri  mengenainya supaya lebih berhati-hati.

Hubungi talian BNMTELELINK sekiranya menjadi mangsa penipuan siber.

Sama ada ibu bapa atau generasi muda sendiri, sekiranya terlibat sebagai mangsa penipuan, mereka bolehlah membuat aduan dan laporan di balai polis berhampiran serta segera menghubungi bank yang berkaitan.  Mereka juga perlu memaklumkan ke Pusat Aduan “Scam” melalui nombor telefon 03-2610 1599 atau 03-2610 1559. Pengadu juga boleh menghubungi BNMLINK melalui telefon 1-300-88-5465 atau membuat aduan secara bertulis kepada BNMTELELINK, Bank Negara Malaysia, Peti Surat 10922, 50929 Kuala Lumpur.

Selain perlu berhati-hati bagi mengelakkan penipuan, Bank Negara dan PDRM juga turut mengingatkan masyarakat agar berwaspada dengan tidak mendedahkan maklumat peribadi mereka termasuk nombor akaun bank dan kata laluan yang diminta oleh penjenayah melalui taktik halus. Mereka juga kebiasaannya akan diminta memindahkan sejumlah wang tertentu melalui akaun “keldai” yang berselindung di sebalik nama dan nombor akaun pengguna lain yang sebenarnya juga ditipu. Hal ini bagi mengelakkan identiti diri mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

Yang paling penting, pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat semakan dan memastikan kesahihan serta sentiasa berusaha melindungi diri mereka daripada diperdaya dan terus meningkatkan kewaspadaan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah kewangan melalui siber.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.