1 November 2022, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Lawatan ke Kem 5 Briged Task Force Royal Thai Army dapat menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Thailand.

Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Tentera Darat Malaysia Siri 33/2022 buat julung-julung kalinya mengadakan program antarabangsa apabila komander dibawa melawat ke Kem 5 Briged Task Force Royal Thai Army di Sadoa, Thailand.

Kehadiran mereka disambut baik dan taklimat turut disampaikan oleh kepimpinan tertinggi Divisyen ke-5 Infrantri Royal Thai Army, Mejar Jeneral Woradet Detrugsa yang diiringi Pegawai memerintah Senior Colonel, Tanitpon Hongwilai dan Kolonel Jatuporn Taneepat.

Dalam pada masa itu, lawatan kem tersebut turut disertai Duta besar Malaysia, Dato’ Jojie Samuel dan Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia-Bangkok, Brigedier Jeneral Samsul Rizal Musa yang juga ketua penyelaras bagi lawatan itu dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan juga Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Thailand di Kuala Lumpur.

Selain dapat menjalinkan hubungan yang lebih baik antara komander dengan pegawai tentera negara jiran tersebut, lawatan itu juga memberikan gambaran yang lebih dekat berhubung rutin dan persekitaran bekerja di kem tentera di Thailand.

Malah, program itu juga dapat menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Thailand.

Semua komander yang hadir perlu berusaha keras bagi meningkatkan martabat Askar Wataniah agar sentiasa dihormati dan disegani oleh masyarakat.

Dengan usaha yang jitu, Askar Wataniah akan terus berkembang sejajar dengan Pembangunan Jangka Panjang Tentera Darat iaitu Army For Next Generation (Army 4NextG) dan Pelan Strategik Hala Tuju Askar Wataniah 2022–2030.

Bukan itu sahaja, kemuncak program pada kali ini adalah majlis sembah mengadap ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid yang disusuli dengan undangan menghadiri Majlis Santapan DiRaja yang diadakan di Balai Bankuasi Istana Arau pada jumaat malam.

Pada sidang kali ini, negeri Perlis menjadi tuan rumah SKAW yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diberi pujian majoriti peserta dengan perancangan dan perlaksanaan yang baik sebagai penanda aras bagi penganjuran siri persidangan yang akan datang.

Rejimen 504 Askar Wataniah melalui Timbalan Komandernya Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan seluruh warganya juga turut mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri serta pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan termasuklah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pihak swasta serta formasi setempat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.