Oleh Aisyah A.
3 November 2022, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan diadakan pada 12 November 2022 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Pauh Putra melibatkan seramai 215 penerima.

Pada masa yang sama, Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang ke-16 melibatkan hampir 2800 penerima ijazah akan diadakan pada 21 hingga 24 November 2022 dan disusuli dengan Istiadat Konvokesyen ke-17 pada 26 hingga 29 November 2022 melibatkan 3000 penerima di Dewan Ilmu, UniMAP Pauh Putra.

Majlis istiadat akan disempurnakan oleh baginda selaku Canselor dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan penyerahan ijazahnya pada sepanjang bulan ini tentunya dihadiri oleh ribuan pengunjung yang terdiri ahli keluarga penerima ijazah dari seluruh pelosok negara.

Oleh sebab itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalakkan pengusaha dan operator lokasi utama pelancongan menarik, hotel, inap desa dan kedai makan yang popular di negeri Perlis untuk mempromosikan produk masing-masing melalui media sosial atau medium promosi berkesan yang lain sepanjang bulan November 2022 ini.

Dalam penganjuran tersebut, Tuanku Raja Muda menegaskan agar tahap kebersihan, susun atur dan keceriaan setiap premis, serta tempat awam dilipat gandakan. Baginda juga menyentuh berkenaan kemesraan perkhidmatan dengan menasihati agar setiap penyampai perkhidmatan untuk sentiasa mengukir senyuman dan menawarkan bantuan kepada pengunjung selain menawarkan harga barangan yang kekal berpatutan.

Memandangkan negara sedang dalam musim tengkujuh, setiap pengusaha juga mesti mengambil kira faktor cuaca supaya segala perancangan berjalan lancar dan alternatif yang diatur juga berkesan demi keselesaan pengunjung dan juga memudahkan warga kerja masing-masing memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Selain Perlis, Istiadat Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-34 akan berlangsung pada 6 hingga 10 November 2022 di Dewan Mu’adzam Shah universiti berkenaan di Sintok, Kedah yakni jaraknya tidak berapa jauh dengan negeri Perlis dan kebiasaannya, pengunjung akan mengambil peluang untuk “terus lajak” ke negeri Perlis bagi menikmati pelbagai makanan yang lazat, serta melawat tempat-tempat menarik yang baharu seperti Tasik Timah Tasoh, Gua Wang Burma dan Banjaran Nakawan di samping berbelanja di Padang Besar.

Bukan sahaja majlis konvokesyen yang diadakan di negeri Perlis ini, Kejohanan Woodball Terbuka Perlis (Perlis Open) 2022 anjuran Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Perlis juga akan berlangsung bermula 25 hingga 27 November 2022 di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP Pauh Putra.

Kemasukan pelancong ke negeri Perlis akan mampu memperkenalkan tempat menarik dan membantu usahawan kecil untuk meningkatkan pendapatan masing-masing dengan hasil jualan yang diusahakan, terutamanya melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok, yakni maklumat ini boleh dicapai oleh pengguna dengan hanya satu klik.

Namun begitu, sebagai pengunjung, kebersihan di sesuatu tempat perlu dijaga dengan baik bagi mengekalkan tarikan pelancong lain dan keselesaan kepada mereka, di samping mengekalkan pendapatan kepada para pengusaha di tempat tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.