Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Nerus – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sekolah (BBS) bekerjasama dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) dalam mengadakan Bengkel Penataran Buku Teks dan Perolehan Buku Sokongan Pendidikan. Bengkel ini bermula pada 2 hingga 3 November 2022.
Bengkel ini yang bertujuan memberikan pendedahan tentang peluang kerjasama penerbitan buku bercetak dan bahan sokongan digital bertemakan pendidikan berjaya menghimpunkan para guru dan pendidik dalam kalangan pensyarah di IPGKDRI.
Dalam bengkel tersebut, para peserta telah diberi bimbingan berkaitan dengan proses penulisan buku teks dan buku sokongan pendidikan, di samping sesi perkongsian bersama-sama dengan editor mata pelajaran. Kemuncak sesi ini ialah pembentangan hasil contoh penulisan oleh para peserta.
Pengarah IPGKDRI, Dr. Hajah Narita Mohd Noor dalam ucapan alu-aluannya menyeru para pensyarah IPGKDRI untuk berani menyahut cabaran dengan membukukan hasil penyelidikan yang dijalankan. Selain itu, beliau turut berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, dalam ucapan penutupan bengkel tersebut, Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, menyatakan komitmen DBP untuk meneruskan kerjasama ini bagi sesi akan datang.
Bengkel ini diharapkan memberikan manfaat kepada kedua-dua buah institusi. DBP sebagai penerbit sentiasa mengambil inisiatif memantapkan pasukan penerbitannya selaras dengan perubahan semasa, khususnya dalam aspek pendigitalan. Selain itu, bengkel ini merupakan jalinan strategik usaha memperkukuh kepakaran khususnya melibatkan pakar bidang subjek (SME) oleh editor dan pensyarah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang pendidikan.
Tambah beliau lagi, usaha jerayawara perbengkelan dan pencarian pasukan penerbitan, khususnya pencarian penulis buku teks perlu dilaksanakan secara giat ke seluruh negara bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam kalangan pendidik.