Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Lebih 2600 orang Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerima peranti menerusi Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia dalam Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang diadakan di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis semalam.
Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang hadir bagi menyampaikan peranti kepada mahasiswa tersebut berharap agar peranti yang diterima akan dimanfaatkan sebaik-baik mungkin oleh mahasiswa bagi memastikan proses pengajian berjalan dengan lancar. Menurut beliau, peranti ini penting khususnya dalam sesi pembelajaran kerana penggunaan platform digital sebegini seiring dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman.
“Peranti ini akan kekal menjadi milik mahasiswa sepenuhnya sehingga tamat pengajian. Oleh itu, saya berharap agar mahasiswa lebih bersemangat dan berusaha untuk lebih berjaya dalam bidang pengajian masing-masing“ katanya.
Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 ini diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu mahasiswa B40 menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari Internet untuk tujuan pengajian dan penyelidikan dan lain-lain.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; ketua-ketua unit; dan staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar.