15 November 2022, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 10 Oktober 2022 lalu, pemenang bagi Hadiah Sveriges Riksbank 2022 dalam Kajian Ekonomi bagi Memperingati Alfred Nobel (The 2022 Sveriges Riksbank Prize in Economic Sciences in Memory of Alfred Nobel) telah pun diumumkan. Anugerah ini diberikan kepada tiga orang ahli ekonomi, iaitu Ben S. Bernanke, Douglas W. Diamond dan Philip H.Dybvig dalam sebuah majlis di Royal Swedish Academy of Sciences di Stockholm.

Jawatankuasa Hadiah Nobel Ekonomi menjelaskan bahawa pengiktirafan ini diadakan bagi menghargai sumbangan ketiga-tiga orang pemenang tersebut dalam “mempertingkat tahap pemahaman dunia tentang peranan bank dalam ekonomi, terutamanya sewaktu krisis kewangan berlaku, serta langkah untuk mengawal pasaran kewangan”. Tore Ellingsen, Pengerusi Jawatankuasa bagi Hadiah Disiplin Ekonomi, menambah, “Sudut pandang para penerima hadiah pada kali ini telah menambah keupayaan untuk mengelakkan daripada krisis yang serius dan jamin keluar (bailout) yang mahal. Hadiah Nobel Ekonomi turut merangkumi ganjaran wang sejumlah 10 Juta Swedish kronor untuk dikongsi secara sama rata antara pemenang.

Pengiktirafan ini umumnya disambut baik oleh sebahagian besar komuniti ahli akademik, termasuklah beberapa orang pemenang Hadiah Nobel Ekonomi yang sebelumnya. Misalnya Paul Krugman, penerima Hadiah Nobel Ekonomi Tahun 2008 yang menyebutkan bahawa model ekonomi Diamond-Dybvig-Bernanke menjernihkan ketaksaan teori masalah serbuan bank (bank run) secara menyeluruh.

Meskipun begitu, sebahagian pemikir ekonomi lain, terutamanya dalam tradisi ekonomi Heterodoks dan revisionis, mengkritik pemilihan pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pada tahun ini. Sidang Editorial Wall Street misalnya mengkritik pemilihan Ben Bernanke sebagai pemenang dengan alasan beliau gagal menjangka dan menguruskan krisis kewangan tahun 2008 yang akhirnya mengakibatkan kemelesetan besar pada peringkat global.

Adam Tooze, sejarawan ekonomi tersohor dengan karyanya Crashed: How a Decade of Financial Crises Changed the World (2018), menyifatkan pemilihan pemenang Hadiah Nobel Ekonomi “sekadar mengiktiraf dimensi terlemah dalam pemikiran makroekonomi moden”. Steve Keen, penganalisis ekonomi bermazhab heterodoks, mengibaratkan Hadiah Nobel Ekonomi 2022 seperti “menganugerahkan tukang bakar atas sumbangannya sebagai pemadam kebakaran.” Tambah beliau lagi, pengiktirafan ini hanya akan “mengekalkan cara fikir yang salah tentang bank dan krisis kewangan, seterusnya membungkam model-model perbankan dan krisis kewangan lain yang lebih realistik”.

Tentunya pemilihan pemenang bagi setiap kategori Hadiah Nobel tidak pernah lekang daripada kritikan. Selepas krisis kewangan yang melanda dunia pada tahun-tahun sebelumnya telah membuka ruang perbahasan dan penilaian semula tentang fungsi dan peranan sebenar sistem perbankan dan pasaran kewangan dalam ekonomi global. Kritikan-kritikan yang dilontarkan ini sebenarnya hanyalah lanjutan daripada persoalan yang timbul daripada krisis sebelumnya.

Ketiga-tiga orang pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pada tahun ini mempunyai latar yang akademik yang agak berbeza. Douglas W. Diamond memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Yale University dan kini menjawat jawatan sebagai Profesor, Merton H. Miller mempunayi kepakaran dalam bidang Kewangan di Universiti Chicago. Philip H. Dybvig pula merupakan pemegang kerusi Boatmen’s Bancshares dalam bidang perbankan dan kewangan di Universiti Washington. Douglas Diamond dan Philip Dybvig menulis kertas kajian berjudul “Bank Runs, Deposit,Insurans and Liquidity” (1983) yang merangka model teoritikal tentang peranan bank dalam ekonomi serta punca mereka terdedah dengan masalah serbuan bank (bank run).

Penerima Hadiah Nobel Ekonomi ketiga, Ben S. Bernanke, barangkali lebih dikenali berbanding dengan dua orang ahli ekonomi tersebut. Beliau merupakan mantan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) ke-14 (2006 – 2014) dan bertanggungjawab menangani masalah krisis ekonomi pada tahun 2008 di AS. Sebelum menjawat jawatan sebagai Pengerusi Rizab, Bernanke merupakan ahli ekonomi yang mula dikenali melalui kertas kajian beliau, Nonmonetary Effects of the Financial Crisis in the Propagation of the Great Depression” (1983). Kertas kajian inilah yang menyumbang kepada pemilihan beliau untuk Hadiah Nobel Ekonomi tahun ini.

Kertas kerja yang disediakan oleh Jawatankuasa Hadiah Nobel Ekonomi, “Financial Intermediation and the Economy”, menyebutkan bahawa kajian ketiga-tiga orang pemenang saling berhubung kait dan berlatarkan kemelesetan besar yang melanda dunia sekitar tahun 1930-an. Tempoh ini menyaksikan kemerosotan ekonomi yang paling lama dalam sejarah dunia. Melalui kertas kajian mereka, Douglas Diamond dan Philip Dybvig memperkenalkan “teori kematangan transformasi” bagi menjelaskan langkah institusi bank yang beroperasi melalui deposit permintaan bagi membiayai projek-projek besar terdedah dengan masalah serbuan bank (bank run). Serbuan bank umumnya terjadi apabila sejumlah pelabur atau pendeposit wang di bank menarik wang simpanan mereka secara mendadak atas sebab-sebab tertentu, sekali gus mengganggu proses perbankan sedia ada. Kajian Diamond dan Dybvig menunjukkan bahawa hal ini boleh berlaku bukan hanya disebabkan oleh panik atau pengurangan penawaran wang semata-mata.

Kesimpulan ini diperkukuh oleh kajian empirikal Ben Bernanke yang menunjukkan kemerosotan ekonomi sewaktu kemelesetan besar melarat akibat daripada kegagalan sistem perbankan serta penguncupan kadar pengeluaran pinjaman yang memberikan kesan besar kepada kegiatan ekonomi. Penemuan ini, menurut kertas penjelasan Jawatankuasa Hadiah Nobel Ekonomi, disifatkan sebagai “idea baharu” yang berbeza daripada generasi ahli ekonomi sebelumnya yang melihat kegagalan bank hanyalah sebagai kesan kepada kemerosotan ekonomi. Kajian Bernanke menunjukkan bahawa pengurusan kredit sendiri merupakan antara faktor penting yang menjejaskan pelaburan dalam ekonomi dan pencetus kepada krisis. Sepertimana yang disimpulkan oleh Bernanke sendiri melalui wawancara bersama Brooking Institute pada tahun 2018.

Idea-idea yang disambut oleh Jawatankuasa Hadiah Nobel melalui pemilihan pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pada kali ini menerima kritikan yang hebat daripada sebahagian ahli akademik. Pertamanya, menurut sebahagian besar penganalisis ekonomi, ketiga-tiga pemenang Hadiah Nobel Ekonomi tersebut masih bersandar pada model perbankan yang sudah lapuk. Model ini melihat peranan bank hanya sebagai “pengantara” antara penyimpan wang dengan pelabur. Walhal, realitinya bank mampu memberikan pinjaman kepada pelabur tanpa sebarang simpanan atau deposit. Maksudnya, sistem bank pada hari ini sebenarnya berupaya memunculkan wang secara ex nihilo, iaitu tanpa apa-apa!

Formula “pinjaman bergantung pada deposit” sudah lama ditolak oleh kebanyakan penganalisis ekonomi pada masa ini . Bahkan, hal tersebut turut diakui oleh Rizab Persekutuan AS sepertimana yang tertulis dalam salah sebuah kertas kajiannya, “RIP Money Multiplier”. Pemikiran mazhab ekonomi pasca-keynesian turut membalikkan formula lama tersebut. Pada hakikatnya, aspek pinjamanlah yang mencipta deposit.  Pinjaman merupakan mekanisme utama bagi membiayai operasi syarikat dan pelabur (termasuklah gaji pekerja) dalam ekonomi yang pada akhirnya membuahkan deposit yang tersimpan dalam bank.

Pengkritik seperti Adam Tooze dan Steve Keen pula melihat pengiktirafan terhadap ketiga-tiga pemenang Hadiah Nobel Ekonomi tersebut sebenarnya mengendahkan sumbangan penganalisis ekonomi di luar arus perdana yang sudah sekian lama mencabar model sistem perbankan sedia ada. Tiga orang tokoh ekonomi yang dirujuk dalam hal ini ialah Irving Fisher, Hyman Philip Minsky, dan Charles P. Kindleberger. Seawal tahun 1933 lagi, Irving Fisher, mantan Presiden Persatuan Ekonomi AS pada tahun 1918,  melalui kertas kajian “The Debt-Deflation Theory of Great Depressions” yang berhujah bahawa kemelesetan besar pada tahun 1930-an berpunca daripada pengeluaran pinjaman berlebihan, diikuti dengan deflasi.

Minsky mengembangkan lagi idea ini menjadi Hipotesis Ketidakstabilan Kewangan (Financial Instability Hypothesis). Steve Keen pula merangka sebuah model berdasarkan hipotesis Minsky ini untuk menangkap perilaku bank dalam sesebuah ekonomi secara lebih realistik dan menyeluruh. Melalui model ekonomi Hipotesis Ketidakstabilan Kewangan inilah Steve Keen dan sebahagian kecil penganalisis ekonomi lain, mampu meramal letupan gelembung hartanah (housing bubble) yang mencetuskan krisis kewangan pada tahun 2008, seawal sejak tahun 2005 lagi.

Dari satu sisi, penganugerahan Hadiah Nobel Ekonomi kepada Bernanke, Diamond, dan Dybvig melambangkan satu petanda yang positif dalam mengulangi tanggapan serta model-model sistem perbankan yang sedia ada. Krisis hartanah dan gadai janji subprima mengisyaratkan kegagalan pandangan sarwa ekonomi neoklasik dalam mempersiapkan ahli ekonomi untuk berdepan dengan krisis berskala besar seperti ini. Suatu perubahan besar dan mendasar harus dijalankan dan perbahasan sekitar pemilihan Hadiah Nobel Ekonomi ini diharapkan menjadi pemula kepada perubahan ini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.