21 Mac 2024, 13:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dakwaan terbaharu rejim haram Israel bahawa terdapat kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) terbabit dalam serangan pada 7 Oktober tahun lalu hanyalah alasan untuk mewajarkan tindakan 17 buah negara termasuklah negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk menghentikan sementara pembiayaan kepada penduduk Palestin.

Antara negara yang menangguhkan bantuan tersebut ialah Austria, Australia, Britain, Estonia, Finland, Jepun, Jerman, Iceland,  Kanada, Itali, Belanda, New Zealand, Perancis dan Switzerland yang turut menyertai Amerika Syarikat (AS), Australia dan Kanada dalam menghentikan sementara pembiayaan sumber sokongan kritikal kepada penduduk Palestin di Gaza.

UNRWA membekalkan bantuan kemanusiaan dan perlindungan untuk pelarian Palestin di Jordan, Lubnan, Syria, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuklah Baitulmuqaddis Timur, sementara menunggu penyelesaian yang adil dalam menentukan nasib mereka.

Menteri Luar Israel, Israel Katz, berkata UNRWA harus digantikan sebaik-baik sahaja pertempuran di Gaza tamat dan mendakwa agensi itu mempunyai hubungan dengan kumpulan DAESH di Gaza. Rejim pengganas Zionis mendakwa bahawa sebanyak 10 daripada mereka menganggotai Hamas dan seorang lagi datang dari Jihad Islam. Laporan turut menyatakan bahawa dua daripada mereka telah meninggal dunia.

Bantuan yang diberikan sebelum ini meliputi sebanyak 78.4 peratus daripada keseluruhan bantuan dana UNRWA (perbelanjaan 2022) yang dianggarkan berjumlah AS$921 juta daripada jumlah keseluruhan sebanyak AS$1.175 bilion.

Tindakan drastik negara-negara tersebut menghentikan bantuan dianggap sebagai tidak wajar memandangkan dakwaan rejim pengganas itu tiada bukti dan kesahihannya. Adakah hal ini merupakan strategi mereka yang sengaja mencari alasan untuk tidak memberikan bantuan kemanusiaan sebagaimana dikehendaki oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam keputusan provisionalnya itu?

Sikap Zionis yang sebelum ini memusuhi UNRWA dikatakan sengaja mencari alasan untuk menghentikan operasinya di Gaza. Jika dakwaan tersebut benar, maka tindakan harus diambil ke atas individu yang terbabit dalam serangan tersebut, bukannya menyasarkan UNRWA yang memberikan bantuan kepada pelarian Palestin termasuklah kepada lebih satu juta penduduk Palestin di Gaza dan sebanyak 13 ribu kakitangannya di Gaza.

Pada Disember 2022, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) telah memutuskan untuk memberikan bantuan melibatkan sebanyak 122 buah negara yang menyokong dan hanya rejim haram Israel membantah serta 10 buah negara yang mengambil sikap berkecuali. Mandat bantuan itu berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2026.

Dalam berhadapan dengan krisis, genosid dan peperangan, UNRWA akan berhadapan dengan masalah dana untuk memberikan bantuan dan mengalami defisit pendapatan bagi memenuhi tanggungjawabnya. Pada masa yang sama, Israel dipercayai sentiasa mencari jalan untuk menggagalkan operasi UNRWA dalam usaha mereka menyalurkan bantuan.

Pada tahun 2018, tekanan daripada rejim pengganas menyebabkan mantan Presiden AS, Donald Trump menghentikan bantuan kepada UNRWA, tetapi Joe Biden telah bertindak menyambungkan bantuan pada tahun 2021.

Selain daripada genosid dan pembersihan etnik, rancangan rejim haram Israel termasuklah bertindak untuk “mengebulurkan” lebih 2.3 juta orang penduduk Palestin daripada mendapat bantuan makanan dan infrastruktur yang lain. Dua hari selepas serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengarahkan supaya Gaza dikepung secara mutlak dengan mengarahkan bantuan bekalan elektrik, makanan bahan api dan lain-lain dihentikan.

Dalam hal ini, tindakan untuk menghentikan bantuan URWA muncul ketika penduduk Palestin di Gaza berdepan dengan ancaman kebuluran. Rejim haram mengetahui penangguhan dana akan terus memburukkan situasi kebuluran yang dialami penduduk Palestin di Gaza. Seorang daripada pegawai tentera mengakui kepada Wall Street Journal pada 13 Februari lepas bahawa “Tanpa UNRWA, tiada bantuan kemanusiaan di Gaza”. Bahkan, serangan terbaharu rejim Zionis ke atas Rafah menyebabkan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin kembali terjejas.

Menurut Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), tindakan tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan laluan penghantaran bantuan kini tidak selamat untuk dilalui, sekali gus menyebabkan bekalan ubat-ubatan, makanan serta pakaian yang ingin disalurkan terkandas di sempadan Mesir.

Malaysia telah menambah bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja UNRWA bagi membantu umat Islam di Palestin yang ditindas oleh Israel. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, tambahan bantuan juga diberikan susulan beberapa buah negara menghentikan sumbangan mereka kepada UNRWA dengan perkara terbabit sudah dimaklumkannya kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dalam perbualan telefon.

Menerusi UNRWA, peduduk yang menjadi pelarian dipercayai masih mempunyai harapan untuk kembali ke bumi Palestin semula. Oleh sebab itulah hal ini menjadikan Israel memberikan alasan untuk menggantikan UNRWA dengan agensi PBB lain seperti UNHCR yang akan menjamin penduduk ditempatkan di negara ketiga dan tidak dapat kembali lagi ke rumah dan tanah air mereka yang telah dijajah dan dikuasai oleh rejim Zionis seperti di Tebing Barat.

Bagi rejim haram, UNRWA harus ditutup sepenuhnya kerana dikatakan sentiasa akan menghidupkan obor perjuangan dalam kalangan penduduk Palestin. UNRWA disifatkan berupaya melahirkan lebih ramai pejuang Palestin. Rejim haram mendakwa bahawa menerusi 706 buah sekolah yang didirikan di bawah dana UNRWA, sejumlah 53,075 menerima pendidikan asas yang dituduh sebagai tempat asas yang mewujudkan “benih” penentangan kepada pejuang yang menentang mereka.

Rejim haram juga mendakwa bahawa guru-guru yang mengajar akan meniup semangat perjuangan kepada mereka untuk membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan. Usaha bersasar rejim haram untuk menutup operasi UNRWA dipercayai agar naratif dan wacana perjuangan mereka terus berjaya disekat, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda pelarian yang ingin membentuk masa depan yang lebih baik untuk Palestin.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.