15 Februari 2024, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pilihan Raya Presiden (PILPRES) Indonesia 2024 akan menentukan warisan legasi Presiden Jokowi yang bakal meninggalkan Istana Presiden pada Oktober 2024 kelak serta bentuk kerajaan baharu yang akan dipilih oleh rakyat. Hal ini akan menjadi penentu bagi penerusan agenda pembangunan atau perubahan hala tuju dasar di bawah kepimpinan baharu yang dipilih oleh rakyat Indonesia.

Jokowi diiktiraf secara meluas disebabkan peranan pentingnya dalam memupuk pengembangan dan kemajuan ekonomi Indonesia yang mempunyai populasi melebihi 275 juta orang. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama beliau turut menghadapi kecaman berhubung dengan kelemahan yang dilihat dalam aspek pembaharuan masyarakat, khususnya perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia, pemeliharaan kebebasan bersuara, kemajuan hak wanita serta perlindungan hak golongan minoriti.

Tanggal 14 Februari 2024 (semalam) menyaksikan penyertaan aktif seluruh pengundi di 38 wilayah Indonesia, iaitu dari Aceh hingga Papua, yang melaksanakan tanggungjawab mereka dalam PILPRES bagi meraikan sebuah negara demokratik Indonesia. Suara rakyat Indonesia yang diterjemahkan melalui proses pengundian bakal menentukan susuk Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia bagi tempoh kepimpinan selama lima tahun ke depan, iaitu dari 2024 hingga 2029 yang akan memikul mandat dalam membangun dan memimpin negara.

Gandingan Prabowo-Gibran sebagai calon nombor 02 dikatakan mendapat sokongan yang meyakinkan daripada rakyat Indonesia.

Tiga pasangan calon utama PILPRES 2024, iaitu Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD, masing-masing mewakili ideologi berbeza, iaitu dari konservatisme agama hingga progresivisme reformis. Ketiga-tiganya bersaing untuk memenangi hati sejumlah 205 juta pengundi yang layak, termasuklah sejumlah 66.8 juta pengundi muda dengan peluang perubahan yang berpotensi, selain impak transformatif yang berupaya mengejutkan negara “Harimau Asia yang Sedang Tidur” ini.

Pasangan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar membawa ideologi populisme konservatif dengan memasukkan unsur nasionalisme dan agama ke dalam ranah politik. Mereka cuba memajukan agenda yang cenderung ke arah regresif. Anies-Muhaimin mendapat sokongan daripada kumpulan Islam garis keras seperti Barisan Pembela Islam (FPI) untuk melindungi nilai konservatif, hak budaya dan norma Masyarakat Indonesia supaya terpelihara daripada anasir asing yang dianggap boleh memudaratkan akhlak dan nilai ketimuran masyarakat Indonesia. Sebagai sebuah negara dengan penduduk Islam terbesar di Asia Tenggara, isu budaya dan agama sering timbul sebagai perbahasan hangat dalam kempen PILPRES di Indonesia.

Pengislaman garis keras Gabungan Anies-Muhaimin adalah percubaan untuk menyemarakkan nilai-nilai populisme konservatif dalam menegakkan tradisi yang juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembela hak asasi manusia dan kumpulan masyarakat sivil yang lain. Di sebalik beberapa keraguan mengenai pendirian politiknya, Anies juga diiktiraf sebagai penyokong kepelbagaian, mempamerkan ciri-ciri mesra bandar dan menyesuaikan dirinya dengan pendirian propersamaan, antidiskriminasi dan toleransi dalam kesederhanaan Islam.

Gandingan Prabowo-Gibran pula membawa aspirasi “juara prorakyat” yang menyeru kepada kesaksamaan ekonomi dengan mengetengahkan pendekatan ideologi nasionalis konservatif. Pendirian politik Prabowo pada awalnya bersifat lebih lembut terhadap retorik agama, namun telah mengalihkan tumpuannya kepada inisiatif kebajikan dengan menyasarkan kepada petani dan pekerja bagi meraih sokongan rakyat Indonesia. Penyesuaian politik Prabowo ini telah mengakibatkan beliau dilabel  sebagai pengganti Jokowi dan bukannya sebagai tokoh pembaharu yang tulen.

Pengalaman politik Prabowo yang luas, ditandai dengan nilai pragmatisme telah memupuk pemahaman yang bernuansa bagi memenuhi pelbagai keperluan Indonesia dan cabaran getir pada era yang penuh dengan ketidaktentuan ini. Pengalaman luasnya itu membolehkan beliau membina jaringan sokongan dari individu yang setia untuk mengetuai kempen politiknya. Beliau menggunakan pendekatan klientelistik, iaitu membolehkan beliau mendedikasikan lebih banyak masa untuk memupuk hubungan dengan rakyat terbanyak. Prabowo juga tidak terkecuali daripada isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia, dasar pertahanan negara, kebajikan pegawai tentera serta ancaman keselamatan semasa menjawat posisi penting di era pemerintahan Presiden Jokowi.

PILPRES Indonesia memberikan satu set cabaran yang unik bagi barisan calon yang ingin mendapatkan pencalonan dan menjalankan kempen dengan berjaya. Isu teras ialah hubungan kompleks yang wujud antara calon dengan parti yang mereka wakili. Calon-calon sering meletakkan cita-cita politik peribadi mereka mengatasi kesetiaan kepada parti serta sering menukar-nukar gabungan parti bagi meningkatkan peluang mereka dalam pilihan raya. Kecenderungan ini mengeruhkan lagi hubungan kerjasama dalam parti kerana calon parti secara bersama melihat antara satu sama lain sebagai pesaing dan bukannya rakan sekerja yang berusaha ke arah mencapai matlamat bersama.

Di samping itu, calon juga lebih menumpukan pada kempen individu dan bukannya menyelaraskan parti gabungan mereka dalam menyampaikan mesej dan inisiatif yang lebih luas kepada rakyat. Mereka merangka gabungan parti dalam apa-apa jua cara sekalipun bagi memaksimumkan faedah dan potensi mereka untuk tawaran pilihan raya yang lebih bersifat peribadi. Bagi sesetengah calon pula, mereka bergerak sejajar dengan kempen antirasuah nasional dalam usaha untuk meningkatkan imej mereka pada mata rakyat. Walau bagaimanapun, penekanan utama calon-calon adalah menjalankan kempen yang persuasif bagi meraih undi terbanyak, iaitu dengan mempromosikan kelebihan mereka yang secara tersiratnya tidak mempunyai hubungan yang sangat bermakna dengan platform rasmi parti gabungan mereka.

Menentang Anies-Muhaimin dan Prabowo-Gibran ialah duo Ganjar-Mahfud yang digambarkan sebagai “Marhaenisme” yang berdedikasi untuk kepentingan proletariat. Ganjar, seorang pembaharu dari Jawa Tengah, menyokong kumpulan masyarakat sivil yang progresif. Ganjar menyeru reformasi holistik untuk memenuhi janji perlembagaan hak asasi manusia dan keadilan sosial. Terdapat banyak cita-cita yang dimpikan Ganjar untuk rakyat Indonesia termasuklah untuk memperkasakan hak wanita, melindungi masyarakat yang tertindas dan menamatkan diskriminasi dalam semua bentuk.

Semasa menjadi Gabenor Jawa Tengah, Ganjar melaksanakan Program “Agenda 18”, iaitu sebuah rancangan pembangunan menyeluruh untuk wilayah itu yang dipuji oleh banyak pihak sebagai progresif dan selaras dengan keperluan penduduk. Ganjar optimis tentang usaha untuk meningkatkan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana, menegakkan neutraliti geopolitik Indonesia, serta menggunakan kedua-dua pendekatan kemanusiaan dan teknokratik. Beliau memperjuangkan demokrasi inklusif, memperjuangkan pembasmian rasuah dan mematuhi semua undang-undang secara konsisten dengan nilai progresif. Beliau mengiktiraf signifikasi rakyat terhadap kehidupan kontemporari. Ganjar juga tidak terlepas daripada kritikan terhadap penguatkuasaan undang-undang semasa pentadbiran Jokowi sebagai sebahagian daripada kerajaan penyandang.

PILPRES Indonesia 2024 menjadi medan pertempuran untuk ideologi yang berbeza menerusi nasionalisme agama, nasionalis konservatif dan progresivisme reformis. Keputusan pilihan raya kelak akan menentukan trajektori politik Indonesia sama ada berpotensi membawa Indonesia ke arah negara demokrasi yang terpimpin atau sikap tidak bertoleransi terhadap kepelbagaian. Pengundian yang dibuat oleh rakyat Indonesia merupakan satu pilihan yang jelas, iaitu untuk menegakkan janji keadilan dan kesaksamaan sebagai teras negara atau terus diselubungi oleh himpitan budaya dan tradisi yang sempit. Maka demikian, rakyat Indonesia harus bijak memilih Presiden yang berpegang teguh pada prinsip keterbukaan, toleransi serta keadilan yang termaktub dalam Pancasila dan “Bhinneka Tunggal Ika” – Perpaduan dalam kepelbagaian.

 

Penulis ialah penyelidik falsafah politik di Universiti Sains Malaysia yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik. Beliau berkelulusan Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dan pernah diundang sebagai Delegasi ke Sidang Kemuncak Keamanan Global 2024, Humanitarian Affairs Asia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.