Oleh Nik Azman Nm
24 Jun 2023, 19:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jalinan hubungan diplomatik antara China dengan Arab menyaksikan perkembangan yang sangat positif. Situasi ini turut mendapat perhatian dunia khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Jika sebelum ini, China berhasil memulihkan hubungan diplomatik antara Iran dengan Arab Saudi, kini peranan China semakin menyerlah dan meluas melalui perdagangan ekonomi terbukanya ke beberapa buah negara yang sebelum ini rapat dengan AS dan Eropah.

Dalam perkembangan terbaharu, Reuters melaporkan, negara Barat terutamanya AS menerima tamparan hebat apabila usaha mereka untuk mengekang pembangunan ekonomi China yang semakin kabur dan tersasar jauh selepas Arab Saudi secara terbuka memilih Beijing untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang.

Dalam Persidangan Perniagaan Arab-China ke-10 yang berlangsung Jun 2023, Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dan bukannya ingin bersaing dengan China. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan menghiraukan sebarang syak wasangka Barat terhadap hubungan Riyadh yang semakin akrab dengan Beijing.

Sebagai pengeksport minyak utama dunia, hubungan dua hala Arab Saudi dengan pengguna tenaga terbesar dunia itu membabitkan perjanjian hidrokarbon. Kerjasama antara Riyadh dengan Beijing juga semakin rapat dalam bidang keselamatan dan teknologi tinggi di tengah-tengah ketegangan hubungan politik yang mencetuskan kebimbangan AS.

“Saya sebenarnya tidak mengendahkannya kerana sebagai ahli perniagaan, kami akan mengambil peluang yang datang kepada kami. Kami tidak perlu berdepan dengan sebarang pilihan yang ada kaitan sama ada dengan kami atau dengan yang lain,” jelas Putera Abdulaziz ketika ditanya mengenai kritikan terhadap hubungan dua hala itu.

Ratusan usahawan dan pelabur China termasuk penggubal dasar dari 26 buah negara menuju ke Riyadh untuk menghadiri persidangan berkenaan yang diadakan hanya beberapa hari selepas lawatan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Hari pertama persidangan menyaksikan pemeteraian 30 peratus perjanjian pelaburan bernilai A.S.$10 bilion merentasi pelbagai sektor termasuklah dalam bidang teknologi, tenaga, pertanian, hartanah, mineral, rantaian bekalan, pelancongan dan penjagaan kesihatan.

Menurut Kementerian Pelaburan, kerajaan Arab Saudi turut menandatangani perjanjian dengan beberapa buah delegasi China membabitkan projek usaha sama penyelidikan automotif, pembangunan, pembuatan dan jualan, pembangunan pelancongan dan aplikasi, selain pengeluaran gerabak serta roda kereta api.

Acara selama dua hari itu dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan dan Luar Arab Saudi dengan kerjasama Sekretariat Agung Liga Arab, Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China dan Kesatuan Dewan Arab. Dalam usaha meningkatkan lagi hubungan perdagangan dengan China, Arab Saudi turut mengumumkan kebangkitan semula Laluan Sutera di luar acara itu.

Menteri Pelaburan, Khalid Al-Falih berkata, negara itu boleh berfungsi sebagai pintu masuk China ke dunia Arab sejajar dengan visi mempelbagaikan ekonomi dan menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan kemahiran golongan belia.

Jelasnya, momentum hubungan antara kedua-dua negara juga meningkatkan prospek untuk mencapai hasil terbaik dalam perjanjian perdagangan bebas antara China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang didominasi Arab Saudi sejak 2004. Tambahnya, sebarang perjanjian perlu melindungi industri Teluk yang sedang berkembang apabila rantau itu mula mempelbagaikan pelaburan ke arah sektor ekonomi bukan minyak.

Pada Mac 2023, syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Saudi Aramco mengumumkan dua perjanjian utama untuk meningkatkan pelaburan di China, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal utama minyak mentah di negara itu. Langkah itu merupakan perjanjian terbesar yang diumumkan sejak lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Arab Saudi pada Disember tahun lalu apabila beliau menggesa perdagangan minyak dalam mata wang yuan, yakni satu langkah yang akan melemahkan penguasaan dolar AS.

Dalam hal ini, tentu AS merasa kurang senang apabila melihat semakin kuatnya hubungan China-Arab Saudi mutakhir ini. Mengimbas kembali, Presiden AS dan China sama-sama mengunjungi Arab Saudi pada tahun 2022. Presiden AS, Joe Biden mengunjungi Arab Saudi pada Julai 2022, manakala Presiden China, Xi Jinping mengunjungi Arab Saudi pada 8 hingga 9 Disember 2022.

AS harus menerima fakta bahawa iklim geopolitik dan ekonomi pada saat ini telah berubah secara total. AS tidak boleh lagi melihat Arab Saudi seperti dua atau tiga dekad lalu. Sebaliknya, Arab Saudi juga tidak boleh melihat AS sama seperti dua atau tiga dekad lalu. Perubahan geopolitik dan ekonomi merupakan faktor terpenting yang mendorong hubungan China-Arab Saudi semakin akrab. Selanjutnya, AS harus menerima kenyataan bahawa China menjadi saingannya di Arab Saudi. Arab Saudi masih memerlukan AS, terutamanya dalam soal keamanan kerana sebahagian besar persenjataan Arab Saudi masih dibekalkan dari AS. Selain itu, AS masih memiliki banyak pangkalan tentera di kawasan Teluk, seperti Pangkalan Armada di Bahrain dan Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar.

Namun begitu, kepentingan ekonomi Arab Saudi pada amsa ini ini adalah di Asia Timur, iaitu bersama-sama China, bukan lagi ke AS dan Eropah. Eksport minyak Arab Saudi di empat buah negara Asia iaitu China, Jepun, Korea Selatan dan India, pada tahun 2020 mencapai 66 peratus daripada keseluruhan eksport minyak Arab Saudi ke seluruh dunia. China kini menjadi pengimport minyak terbesar dari Arab Saudi. China kini mengimport minyak lebih dari 3 juta barel per hari dari Arab Saudi dan negara Arab Teluk lain.

Import Arab Saudi dari China pada 2021 mencapai sasaran 20 peratus daripada keseluruhan import Arab Saudi dari seluruh dunia. Ada pun nilai import Arab Saudi dari AS pada tahun 2021 hanya berjumlah sekitar 10 peratus yang didominasi senjata dan produk teknologi canggih daripada keseluruhan import Arab Saudi, namun hubungan perdagangan China-Arab Saudi tahun 2021 mencapai sasaran sekitar 67 dolar AS.

Aspek geoekonomi di Arab Saudi dan Timur Tengah kini terus membuka arena persaingan antara AS-China di Arab Saudi. Hal ini tentunya tidak mudah bagi Arab Saudi kerana mereka harus melihat kemungkinan terburuk yang boleh mencetuskan kemarahan AS. Misalnya, AS memberikan pensyaratan sedemikian rupa kepada Arab Saudi untuk mendapatkan persetujuan penjualan senjata canggih buatan AS ke Arab Saudi.

Pada 5 Oktober 2022, Arab Saudi dan Rusia berserta negara yang bergabung dalam Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) bersepakat memangkas pengeluaran minyak sebesar 2 juta barel per hari mulai November tahun lalu.

Dalam wawancara dengan CNN pada 11 Oktober 2022, Presiden AS, Joe Biden menegaskan akan ada balasan terhadap Arab Saudi. Sejumlah anggota Dewan Parlimen dan Senator AS, khususnya dari Parti Demokrat meluahkan kemarahan dan mendesak Rumah Putih untuk mengkaji semula hubungan dua hala dengan Arab Saudi.

Menteri Luar Arab Saudi, Raja Faisal Farhan telah mengatakan, keputusan OPEC semata-mata dibuat atas pertimbangan ekonomi kerana keputusan itu diambil secara sebulat suara oleh para anggotanya.

“Para anggota OPEC bertindak secara bertanggungjawab dan mengambil keputusan yang tepat,” katanya kepada televisyen Arab Saudi, Al-Arabiya. Kedutaan Arab Saudi di Washington juga mengeluarkan pernyataan bahawa relasi AS-Arab Saudi adalah “hubungan yang strategik” serta “meningkatkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah”.

Melalui pernyataan itu, Riyadh seolah-olah ingin mengingatkan Washington agar tidak bersikap emosional dan berfikir dengan lebih mendalam sebelum mengambil langkah-langkah yang boleh mempengaruhi hubungan AS-Arab Saudi. Kompas melaporkan, situasi di Timur Tengah pada hari ini menyaksikan “tsunami perdamaian” dengan menyatakan bahawa Arab Saudi kini “sedang berperang melawan peperangan” melalui pemulihan hubungan diplomatik dengan Iran dan Turki.

Iran dan Arab Saudi mengumumkan mengenai keberhasilan perbincangan pada Mac 2023 lalu apabila dialog tersebut menghasilkan kesepakatan untuk memulihkan hubungan diplomatik dan membuka kembali kedutaan besar dalam tempoh dua bulan.

Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz secara terang-terangan menunjukkan hubungan mesranya kepada China dan Rusia. Pada Disember tahun lalu, kabinet Arab Saudi bersetuju untuk bergabung dengan Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO). Hal ini dianggap sebagai pembuktian bahawa Riyadh lebih memilih China berbanding dengan AS.

Sementara itu, khabar yang menyatakan Arab Saudi disebut sedang giat mengusahakan  perbincangan secara aktif dengan China berhubung dengan penggunaan mata wang Yuan untuk membeli minyak. Hal ini disebut sebagai langkah baharu demi mengurangi dominasi dolar AS di pasaran minyak global.

Baru-baru ini, Arab Saudi juga membuat kejutan dengan memutuskan untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Iran. Sedangkan, Washington dan rakannya di Timur Tengah, Israel, masih memandang Iran sebagai negara yang menyimpan ancaman besar.

Hal ini merupakan bukti kukuh tentang peranan China dalam arena politik global kerana didapati telah mengalahkan AS dan ditafsirkan oleh penganalisis sebagai tamparan terhadap pemerintahan Biden serta sebagai bukti bahawa kekuatan China yang sedang meningkat. Jika hubungan AS-Arab Saudi melalui jalan sukar secara berterusan, maka tidak mustahil AS akan berdepan dengan pengaruh yang semakin terhakis di Timur Tengah memandangkan sebelum ini Arab Saudi merupakan proksi AS yang terpenting dalam kalangan negara Arab.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.