10 November 2023, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, tular klip video menerusi media sosial yang merakamkan detik Menteri Dalam Negeri mendaftarkan perkahwinan bagi pasangan bukan Islam bersempena dengan sambutan Jubli Intan ke-75 Tahun Jabatan Pendaftaran Negara di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya. Berdasarkan pemerhatian dan pembacaan penulis, sebenarnya acara ini bukanlah kali pertama dilaksanakan, malah merupakan satu daripada acara wajib sebagai simbolik menjelang sambutan ulang tahun jabatan. Walau bagaimanapun, penyebaran klip video tersebut telah mengundang pelbagai reaksi daripada kalangan netizen yang sentiasa “peka” dengan isu yang boleh disensasikan.

Sohibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tampil mengulas isu ini dengan memberikan penerangan tentang hukum orang Islam mengahwinkan pasangan bukan Islam melalui videonya yang dirakam ketika beliau menjadi tetamu undangan di sebuah universiti. Ditambah lagi dengan kenyataan balas yang dimuat naik oleh mantan Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di media sosial Twitter (X) semasa menjawab soalan netizen berkenaan isu ini.

Menurut kedua-dua ahli fikah tersebut, pendaftaran perkahwinan yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri dalam video tersebut sebenarnya tidak bercanggah dengan agama Islam dan merupakan prosedur biasa di JPN.

Proses Pendaftaran Perkahwinan Sivil di JPN

Umum mengetahui, JPN merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab untuk merekodkan dan mendaftarkan peristiwa penting bagi rakyat Malaysia, merangkumi daftar kelahiran, kematian, anak angkat, kewarganegaraan dan perkahwinan termasuklah perkahwinan sivil.

Mungkin ramai yang terlepas pandang bahawa JPN telah pun menguatkuasakan perkhidmatan pendaftaran perkahwinan sivil ini sejak sekian lama, dengan mengeluarkan sijil pendaftaran perkahwinan berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164). Menurut akta ini, perkahwinan sivil hanya boleh diupacarakan oleh seseorang yang telah dilantik sebagai Pendaftar Perkahwinan sama ada di JPN, pejabat perwakilan Malaysia di luar negara atau Penolong Pendaftar Perkahwinan di kuil, gereja atau persatuan.

Sehubungan dengan itu, masyarakat sepatutnya tidak perlu risau atau keliru apabila pendaftaran perkahwinan dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri sendiri kerana perkara tersebut merupakan antara bidang kuasa beliau yang mengetuai Kementerian Dalam Negeri. Selain itu, portfolio ini turut diberikan kepada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan.

Tambahan pula, prosedur pendaftaran perkahwinan sivil di JPN ini juga tidak melibatkan apa-apa ritual keagamaan, sebaliknya lafaz ikrar yang diucapkan oleh pendaftar pula merupakan prosedur biasa yang perlu dilaksanakan berdasarkan Seksyen 23 (Akta 164) yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.

Orang ramai mungkin keliru dengan upacara perkahwinan sivil ini kerana terpengaruh dengan filem yang menunjukkan upacara perkahwinan yang dilakukan oleh pendeta agama di rumah ibadat seperti paderi ataupun sami. Secara umumnya, Malaysia tidak lagi mengiktiraf perkahwinan sebegitu selepas tahun 1982. Hal ini demikian kerana perkahwinan tersebut dikenali sebagai perkahwinan adat.

Sekiranya masih ada pasangan yang berkahwin secara adat tanpa mendaftar di JPN selepas tahun 1982, maka pasangan tersebut wajib untuk membuat pendaftaran perkahwinan tersebut di mana-mana pejabat JPN. Oleh itu, setiap pasangan bukan Islam yang ingin melangsungkan perkahwinan hendaklah hadir ke JPN bagi proses pendaftaran perkahwinan yang sah di sisi undang-undang negara baik sebelum atau selepas melakukan upacara perkahwinan adat.

Pengecualian

Namun begitu, perkara ini tidak terpakai bagi orang Asli di Semenanjung Malaysia serta anak peribumi Sabah dan Sarawak kerana mereka diberikan kebebasan untuk memilih sama ada mendaftarkan perkahwinan mengikut Akta 164 di bawah kelolaan JPN ataupun mengikut Undang-undang Anak Negeri atau Adat Orang Asli. Bagi pasangan yang memilih untuk melangsungkan perkahwinan mengikut adat istiadat masing-masing, mereka boleh mendaftarkan perkahwinan adat tersebut di bawah Ordinan Pendaftaran Perkahwinan 1952 tanpa perlu ke pejabat JPN.

Semak Fakta Sebelum Sebar

Lambakan maklumat yang tersebar di media sosial pada hari ini menyebabkan masyarakat selalu keliru antara fakta dengan berita palsu. Ditambah lagi dengan sikap masyarakat yang gemar membaca tajuk utama tanpa meneliti isi kandungan menyebabkan banyak berita palsu dan tidak tepat tular secara meluas. Kadangkala, tajuk utama sesuatu isu itu sengaja ditulis untuk “menambah perisa” di samping untuk mensensasikannya sahaja.

Sebagai umat Islam, kita percaya bahawa membaca ialah wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Perintah ini menunjukkan betapa pentingnya membaca dalam kehidupan. Justeru, kita hendaklah membaca keseluruhan berita yang diterbitkan dan bukan hanya membaca tajuk berita yang “panas” seperti ini.

Selain itu, Islam juga menegaskan untuk menyelidik setiap berita yang disampaikan supaya persengketaan dalam kalangan masyarakat dapat dielakkan seperti yang tercatat dalam al-Quran, iaitu dalam Surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam, kita sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam dengan menghayati dan mengamalkan nilai Islam sebaik mungkin agar dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pendakwah dan bukan bertelingkah sesama sendiri sehingga menambahkan kekeruhan dalam masyarakat.

Masih banyak isu besar yang lebih wajar diambil berat dan diberikan perhatian. Hingga ke hari ini, kekejaman yang berlaku kepada saudara kita di Palestin oleh rejim Zionis semakin menggila. Bilangan orang awam yang terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak terus meningkat. Fasiliti perubatan semakin lumpuh dan bekalan air dan elektrik. dicantas. Terlalu banyak kerosakan dan kezaliman yang berlaku di sana. Oleh itu, teruskan solidariti demi Palestin. Janganlah disebabkan oleh kepentingan pihak tertentu, kita berpecah-belah sehingga lupa isu utama yang lebih utama dan penting untuk diperjuangkan.

Sebagai kesimpulannya, pendaftaran perkahwinan sivil termasuk dalam perkhidmatan JPN dan menjadi satu daripada tugas semua pendaftar perkahwinan untuk menjalankan prosedur pendaftaran perkahwinan tersebut mengikut akta yang telah diperuntukkan. Malah, upacara perkahwinan ini berlangsung setiap hari di ibu pejabat JPN Putrajaya sekurang-kurangnya bagi 10 hingga 15 pasangan pengantin. Jika ada yang masih ragu, bolehlah datang ke ibu pejabat JPN Putrajaya untuk menyaksikan sendiri pasangan merpati dua sejoli mempersiapkan diri bagi hari bahagia mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.