16 November 2022, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Makanan merupakan sumber yang membekalkan nutrien dan menyediakan tenaga untuk aktiviti serta membantu dalam memastikan semua fungsi badan bergerak secara aktif. Kehidupan tanpa makanan boleh menjejaskan kesihatan. Sejarah membuktikan bahawa Mahatma Gandhi ketika berusia 74 tahun telah mengadakan mogok lapar selama 21 hari sebagai protes untuk memerdekakan India. Walaupun beliau mampu bertahan untuk hidup dek mogok tersebut, kesihatannya turut terjejas.

Secara umumnya, makanan merupakan keperluan asas yang paling penting untuk kehidupan manusia. Namun begitu, terdapat dalam kalangan masyarakat yang sukar untuk mendapatkan makanan dalam kehidupan seharian mereka biarpun Indeks Sekuriti Makanan Global atau Global Food Security Index (GFSI) yang dikeluarkan oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) pada 2021 menunjukkan Malaysia berada dalam senarai lapan terbaik dalam kalangan negara Asia Pasifik dan berada di tangga kedua terbaik bagi Asia Tenggara, iaitu selepas Singapura. Bagi mengatasi isu ini, inisiatif program bank makanan (food bank) dilihat mampu membantu golongan miskin mendapatkan akses kepada makanan.

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) merupakan antara institusi zakat yang mempelopori gerakan dan gagasan baharu inisiatif program bank makanan di Malaysia. Objektifnya adalah untuk memastikan seluruh penduduk Kedah yang terdiri daripada golongan fakir dan miskin khususnya yang beragama Islam mendapat akses kepada makanan apabila mereka memerlukan. Kini, terdapat 578 buah masjid yang terlibat dalam inisiatif ini.

Program bank makanan ini telah diperkenalkan oleh LZNK sejak 2018 dengan peruntukan sebanyak RM1.96 juta. Sistem bantuan ini diakui keberkesanannya dan golongan yang memerlukan telah mendapat pelbagai manfaat daripada sistem ini. Sekiranya terdapat individu yang kelaparan akibat terputus sumber pendapatan, mereka boleh terus menghubungi pihak pengurusan masjid untuk mengambil set bekalan makanan berkenaan. Antara jenis makanan yang dibekalkan oleh LZNK di masjid ialah beras, gula, teh, kopi, telur, sardin, tepung, kicap, sos, bihun dan lain-lain. Jenis-jenis makanan ini telah dipilih mengikut aspek dan bersifat tahan lasak serta tidak mudah rosak. Semua produk tersebut dikeluarkan oleh syarikat Muslim. Masjid di seluruh Kedah juga sentiasa dipantau oleh LZNK bagi memastikan bekalan makanan sentiasa cukup dan dihantar dengan segera sekiranya berkurangan.

Inisiatif dan projek ini telah dikongsi oleh Dato’ Syeikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK sewaktu berkongsi pandangan beliau bertajuk “The Role of Zakat & Waqf in Mitigating the Impact of Global Food and Energy Crisis” dalam World Zakat and Waqf Forum (WZWF) di Leeds, United Kingdom pada 27 hingga 30 September 2022. Sebanyak 44 buah negara anggota menyertainya dan mendengar sendiri pengalaman LZNK mengurus inisiatif program bank makanan di pentas besar dunia sebaris dengan tokoh-tokoh zakat dunia yang lain.

Program bank makanan ini sebenarnya telah menepati peranan penting institusi zakat dalam mengurangkan kadar kemiskinan dan kelaparan dalam kalangan umat Islam. Secara tidak langsung inisiatif ini adalah selaras dengan objektif Syariah (Maqasid al Shariah) yang meliputi kewajipan yang lima (dharuriyah al Khamsah), iaitu perlindungan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Semakin bertambah jumlah pembayar zakat, semakin banyak agihan boleh dibuat menerusi program bank makanan demi melindungi nyawa.

Tambahan pula, inisiatif program bank makanan yang dilakukan oleh LZNK sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui matlamat sifar kelaparan (zero hunger). Agenda SDGs yang merangkumi tiga dimensi utama, iaitu sosial (56%), ekonomi (20%) dan alam sekitar (24%) telah dipersetujui oleh 193 orang ahli PBB pada 25 September 2015. Secara keseluruhannya, SDGs mempunyai 17 matlamat dengan 169 petunjuk untuk dicapai berdasarkan model global. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, SDGs ini dijangka dapat dicapai oleh Malaysia pada tahun 2030.

Sudah tiba masanya institusi zakat di negeri seluruh Malaysia menyahut gagasan baharu inisiatif program bank makanan ini. Dalam jangka masa pendek, inisiatif ini mampu menjamin golongan fakir dan miskin untuk mendapatkan semua keperluan asas yang diperlukan dengan lebih mudah dan cepat. Inisiatif ini juga boleh mengurangkan kadar kemiskinan yang menjadi antara masalah utama dalam negara membangun. Selain itu, inisiatif ini turut mengurangkan persepsi negatif oleh masyarakat terhadap isu agihan yang dijalankan oleh institusi zakat. Di samping itu, institusi zakat juga digalakkan berkolaborasi bersama universiti awam dan swasta untuk menjalankan pembangunan dan penyelidikan serta inovasi terhadap inisiatif ini. Oleh itu, inisiatif program bank makanan ini boleh meyakinkan pembayar zakat untuk terus membayar zakat mereka kepada institusi zakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.