17 November 2022, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah melabuhkan tirainya. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian penulis, debaran dan kemeriahan menanti sebuah Pilihan Raya Umum (PRU) sudah mula kehilangan auranya jika dibandingkan dengan PRU sebelum ini. Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah pengundi sudah mula hilang kepercayaan kepada senario politik sedia ada, terutamanya selepas PRU-14.

Peristiwa “Langkah Sheraton”, misalnya menjadi sedikit sebanyak kepada penghakisan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemilihan kepimpinan sedia ada. Peristiwa ini telah memaksa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menggunakan kuasa prerogatif baginda yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu; pada ketika negara sudah mula melalui detik getir akibat bergelut dengan ancaman pandemik COVID-19 pada ketika itu.

Maka itu, bagi mengembalikan kepercayaan rakyat, Parlimen telah menggubal suatu mekanisme yang berbentuk undang-undang antilompat parti bagi memastikan peristiwa seumpamanya tidak berulang lagi. Namun begitu, persoalannya, sejauh manakah undang-undang yang digubal mampu menghentikan amalan lompat parti?

Asas dan Keabsahan Sistem Pemilihan Pemimpin di Malaysia

Secara amnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi raja berperlembagaan. Terma “demokrasi” berasal daripada perkataan Yunani, iaitu demokratia yang terbentuk daripada dua suku kata berbeza, iaitu demos yang bermaksud rakyat, manakala kratos bermakna pemerintahan. Dalam konteks ini, kita boleh simpulkan bahawa demokrasi bermaksud “pemerintahan rakyat”. Sehubungan dengan itu, antara ciri utama demokrasi termasuklah satu konsep pemilihan pemimpin ataupun wakil rakyat oleh rakyatnya sendiri. Wakil yang dipilih oleh rakyat ini diberi mandat oleh rakyatnya untuk menggubal undang-undang, serta mentadbir negara untuk satu tempoh yang ditetapkan.

Di Malaysia, proses pemilihan ini dilaksanakan melalui pilihan raya, dan sudah tentu acara pemilihan terbesar di dalam negara ialah PRU. Tujuan utama sebuah PRU diadakan adalah untuk memilih ahli Dewan Rakyat pada peringkat Persekutuan dan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pada peringkat negeri. Oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem “First-Past the Post” bagi tujuan pilihan raya, maka parti atau gabungan parti yang memenangi kerusi terbanyak akan mempunyai mandat untuk membentuk kerajaan.

Proses pembentukan kerajaan ini dimulai dengan pelantikan seorang ketua kerajaan, iaitu Perdana Menteri pada peringkat Persekutuan, manakala Menteri Besar atau Ketua Menteri pada peringkat negeri. Menurut Perlembagaan Persekutuan, kelayakan utama untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, yakni mestilah seorang ahli Dewan Rakyat yang memimpin keyakinan majoriti di dewan tersebut. Perkara yang sama juga secara amnya terpakai untuk Menteri Besar atau Ketua Menteri di DUN tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri. Pelantikan kedua-dua jawatan tersebut dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong bagi Perdana Menteri, manakala Sultan ataupun Yang Di-Pertua Negeri bagi Menteri Besar ataupun Ketua Menteri. Melalui pelantikan tersebut, hal ini membuka ruang kepada ketua kerajaan untuk kemudiannya membentuk kerajaannya. Pada kebiasaannya, mandat sesebuah kerajaan untuk memerintah berlangsung selama lima tahun.

Berdasarkan penerangan di atas, hal ini dapat disimpulkan bahawa pusat utama kuasa sesebuah kerajaan terletak atas mandat yang ada kepada seseorang ketua kerajaan tersebut. Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang ketua kerajaan memilih untuk meletak jawatan ataupun hilang keyakinan majoriti dalam Dewan Rakyat ataupun DUN, maka dengan sendirinya mandat kerajaan yang dibentuknya juga terbubar. Kehilangan keyakinan majoriti terhadap seseorang ketua kerajaan juga boleh dicetuskan oleh aktiviti lompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau DUN. Hal di luar kebiasaan ini sudah tentu dapat mencetus krisis perlembagaan serta mengundang ketidakstabilan politik yang sudah tentu boleh memudaratkan negara untuk jangka yang panjang. Oleh itu, suatu mekanisme khusus telah dibentuk bagi menjamin kelangsungan mandat yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya.

Undang-Undang Antilompat Parti di Malaysia

Bagi menjamin kestabilan politik dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemilihan pemimpin negara, Dewan Rakyat baru-baru ini telah meluluskan sebuah mekanisme bagi mengekang aktiviti lompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan DUN. Mekanisme pencegahan ini dikuatkuasakan menerusi sebuah Akta Parlimen yang dipanggil Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau dikenali sebagai Akta A1663 yang mula berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022. Akta A1663 berperanan sebagai sebuah Akta pindaan terhadap beberapa Perkara dan Fasal dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kebebasan berpersatuan dan juga keanggotaan Dewan Rakyat dan DUN.

Antara ciri signifikan Akta A1663 adalah dengan tambahan peruntukan Perkara 49A dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh definisi dan pengecualian terhadap aktiviti lompat parti di Dewan Rakyat. Menurut Perkara 49A(1)(a), seseorang ahli Dewan Rakyat yang mewakili suatu parti politik boleh didefinisikan sebagai melompat parti sekiranya beliau melepaskan keanggotaan parti politiknya, ataupun tidak lagi menjadi ahli anggota parti politik tersebut. Perkara 49A(1)(b) pula turut mentakrifkan bahawa seorang ahli Dewan Rakyat yang memenangi pilihan raya atas tiket calon bebas, turut ditafsirkan sebagai melompat parti sekiranya beliau menyertai sesuatu parti politik sebagai anggota parti tersebut. Sekiranya senario tersebut berlaku, maka keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat tersebut adalah terhenti dan kerusinya haruslah dikosongkan. Sekiranya berlaku, sudah tentu akan menuntut sebuah pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen berkaitan diadakan sepertimana yang dituntut di bawah Perkara 49(A)(4) Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, larangan terhadap lompat parti ini bukanlah mutlak dan tertakluk pada beberapa pengecualian. Hal ini dinyatakan dengan jelas menerusi Perkara 49A(2) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tiga perkara yang tidak menghentikan keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat. Antaranya, termasuklah sekiranya parti yang diwakilinya dibubarkan atau pendaftaran parti politiknya dibatalkan. Keduanya, sekiranya ahli Dewan Rakyat tersebut mendapat pelepasan keanggotaan daripada parti politiknya apabila terpilih untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Akhir sekali, sekiranya beliau dipecat daripada parti politik yang sedang dianggotainya.

Pada peringkat DUN pula, larangan dan pengecualian yang sama mengenai aktiviti lompat parti dinyatakan melalui pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan menerusi Akta yang sama. Namun begitu, bagi tujuan penguatkuasaan pada peringkat negeri, perkara ini perlulah mendapat persetujuan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri di negeri yang berkenaan.

Kelemahan dan Cadangan Penambahbaikan

Walaupun mekanisme antilompat parti yang diluluskan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan ini boleh disifatkan sebagai satu daripada usaha yang sangat baik, namun penulis berpendapat bahawa masih terdapat beberapa kelemahan ataupun lacuna yang ketara yang masih boleh dimanipulasikan bagi tujuan melompat parti.

Pertamanya, berkemungkinan disebabkan oleh keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilucutkan sekiranya beliau dipecat, maka terdapat kemungkinan bahawa ahli dewan tersebut dengan secara curangnya menimbulkan sesuatu kekacauan dalam partinya sendiri yang boleh membawa kepada pemecatan beliau. Melalui kaedah ini, maka ahli dewan tersebut dapat mengekalkan keahliannya di Dewan Rakyat sama ada sebagai calon bebas ataupun menjadi anggota parti yang lain, tanpa perlu mengosongkan kerusinya.

Keduanya, Perkara 49A hanya menyentuh keanggotaan ahli Dewan Rakyat pada peringkat individu, dan bukanlah merangkumi penukaran pendirian parti secara kolektif. Oleh itu, seorang ahli Dewan Rakyat tidak akan dikira sebagai melompat parti, sekiranya sesebuah parti politik yang dianggotainya mengambil keputusan untuk menyokong atau menarik sokongan terhadap sesebuah gabungan politik. Pada pandangan penulis, kelompangan undang-undang terhadap perkara yang disebutkan adalah amat serius memandangkan sokongan atau penarikan sokongan terhadap sesebuah gabungan politik dapat meruntuhkan atau membentuk sesebuah kerajaan. Hal ini sekali gus memusnahkan matlamat asal pindaan perlembagaan tersebut dilakukan, yakni bertujuan untuk memberikan kestabilan kepada sistem politik sedia ada.

Maka demikian, pada pandangan penulis, terdapat beberapa langkah mitigasi yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko yang timbul daripada kelemahan yang dinyatakan. Hal ini termasuklah dengan memperketat dan menguatkuasakan undang-undang antirasuah dengan lebih holistik dan tegas. Pada masa yang sama, undang-undang yang mengawal selia dana politik juga harus diperkenalkan. Hal ini demikian kerana penulis berpendapat terdapat kemungkinan aktiviti lompat parti boleh didorong oleh politik wang dan apa-apa perbuatan pecah amanah yang berkaitan. Seterusnya, ruang bagi Public Interest Litigation, yakni rakyat kebanyakan diberi kuasa untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang individu atau pihak atas isu berkepentingan awam haruslah diperkenalkan. Menerusi kaedah ini, hal ini akan membuka ruang kepada pengundi untuk mengambil tindakan sivil terhadap individu yang melompat parti secara tidak bertanggungjawab, sekali gus berpotensi untuk menjadi langkah pencegahan yang ampuh terhadap aktiviti tersebut.

Dr. Hafidz Hakimi Haron, Pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.