Oleh Mubarak Ismail
20 November 2022, 19:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Semua bakal graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang layak dan dijangka akan kembali ke Perlis bersama-sama ahli keluarga tersayang masing-masing dialu-alukan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis kali ke-16 pada 21 hingga 24 November 2022 dengan seramai 3066 orang graduan dan pada 26 hingga 29 November 2022 pula bagi Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis kali ke-17 dengan jumlah sebanyak 3158 orang graduan.

Demikian titah baginda sewaktu dalam program kayuhan berbasikal “MAIPs Peduli” bersempena program penyampaian agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang merangkumi RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah kepada dua asnaf terpilih yang menetap di Kampung Binjal Utan Aji. Penerima-penerima berkenaan adalah Kasma Hassan (62 tahun) dan Nah Ahmad yang berusia 80 tahun.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama asnaf terpilih yang menetap di Kampung Binjal Utan Aji.

Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan tahniah kepada para bakal graduan kerana berjaya menamatkan pengajian di samping akan diberi penghormatan untuk menaiki pentas di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra bagi menerima skrol tamat pengajian masing-masing sama ada daripada baginda sendiri bagi sidang pagi atau daripada Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor bagi sidang petang.

Selain itu, baginda juga menitipkan ucapan syabas dan tahniah kepada para ibu bapa, waris, penjaga dan keluarga tersayang bakal graduan UniMAP kerana telah memberikan sepenuh sokongan, dorongan dan perhatian dalam memastikan kejayaan mereka.

Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berterima kasih kepada pengerusi, ahli lembaga pengarah, seluruh warga universiti serta semua pihak yang menjayakan kedua-dua istiadat konvokesyen pada kali ini.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor UniMAP bersama-sama DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP turut mendoakan semoga Allah SWT sentiasa memberkati majlis istiadat konvokesyen yang bakal berlangsung dan melindungi perjalanan datang dan pulang para tetamu, ibu bapa, waris, penjaga dan semua graduan UniMAP yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.