Oleh Chamil Wariya
21 November 2022, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Ramalan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menghasilkan Parlimen tergantung benar-benar menjadi kenyataan. Tidak ada gabungan politik yang menawarkan diri untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan dalam PRU tersebut yang memperoleh 112 kerusi yang diperlukan untuk berkuasa di Putrajaya. Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi; Perikatan Nasional, 73 kerusi; Barisan Nasional (BN), 30 kerusi; Gabungan Politik Sarawak (GPS), 22 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi; dan lain-lain parti 6 kerusi.

Sekiranya calon Perikatan Nasional (PN) di Sabah yang bertanding menggunakan logo GRS diambil kira, maka PN mempunyai 79 kerusi di Dewan Rakyat, iaitu kekuatan yang hampir seimbang dengan PH yang memiliki 82 kerusi.

Oleh sebab Malaysia mengamalkan demokrasi bermodelkan ala-Westminster, yang kita warisi sewaktu negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, maka Parlimen Tergantung di Malaysia selepas PRU-15 pada 19 November 2022 adalah sama keadaannya dengan peristiwa yang berlaku dalam House of Common di United Kingdom selepas pilihan raya umum pada 28 Februari 1974, 2010 dan 2017.

Dalam kes pada tahun 1974 seperti yang dicatatkan oleh Wikipidea, Parti Buruh pimpinan Harold Wilson mendapat 301 kerusi tetapi kekurangan 17 kerusi untuk membentuk kerajaan. Parti Konservatif pimpinan Edward Heath juga tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan secara sendirian. Parti Konservatif yang mempunyai kerusi lebih sedikit kerusi berbanding dengan Parti Buruh berunding untuk membentuk kerajaan campuran dengan Parti Liberal, tetapi gagal mencapai kata sepakat.

Pada akhirnya, Parti Buruh diundang oleh Ratu England untuk menubuhkan apa-apa yang dikenali sebagai kerajaan minoriti dalam House of Common. Oleh sebab kerajaan tidak stabil, Parti Buruh membuat keputusan untuk mengadakan PRU pada bulan Oktober 1974 yang memberikan kemenangan kepada Parti Buruh untuk berkuasa.

Pada tahun 2010, berikutan Parlimen Tergantung, Parti Konservatif di bawah pimpinan David Cameron telah menubuhkan kerajaan campuran dengan Parti Liberal pimpinan Nick Clegg.

Pada tahun 2017, Parti Konservatif pimpinan Teressa May tidak menubuhkan kerajaan campuran dengan mana-mana parti politik yang kecil, tetapi menubuhkan kerajaan minoriti yang disokong oleh Democratic Unionist Parti (UDP) dari Ireland Utara yang mempunyai 10 kerusi dalam House of Commons. Hal ini dilakukan menerusi confidence and supply arrangment (CSA) antara kerajaan Parti Konservatif dengan UDP yang telah memberikan kestabilan kepada kerajaan Konservatif untuk memerintah.

Dalam konteks Parlimen Tergantung di Malaysia pasca-PRU 15, mekanisme yang sama juga boleh diguna pakai untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu, iaitu sama ada berbentuk kerajaan campuran atau gabungan parti politik yang mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat menandatangani CSA dengan parti-parti politik yang lain.

Secara lebih spesifik, PH dan PN+GRS kerana masing-masing mempunyai kerusi yang hampir seimbang, parti tersebut boleh mengusahakan sebuah kerajaan campuran dengan parti-parti lain yang turut memenangi kerusi. Perlumbaan ke arah itu sudahpun bermula. Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara, sebaik-baik sahaja dimaklumkan oleh SPR mengenai hasil PRU-15, baginda telah meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan mempersembahkan kepada baginda calon yang disokong oleh parti-parti politik yang menang dalam PRU-15 untuk diberi kepercayaan sebagai Perdana Menteri sebelum pukul 2.00 petang ini.

Dari segi teori, PH boleh membentuk kerajaan campuran itu dengan BN dan GPS, membolehkan gabungan menguasai 133 kerusi di Dewan Rakyat. Sekiranya yang membentuk kerajaan campuran Persekutuan itu adalah PN+GRS+BN+GPS, maka kerajaan campuran PN dan lain-lain itu mempunyai 131 kerusi di Dewan Rakyat.

Kedua-dua kerajaan campuran itu akan membawa kestabilan kepada Malaysia untuk tempoh lima tahun Parlimen ke-15. Tidak perlu ada PRU-16. Walau bagaimanapun, oleh sebab persamaan ideologi, adalah lebih mudah untuk PN menubuhkan kerajaan campuran dengan GPS dan BN. Malah Bendahari Agung BN, Datuk Hishamuddin Hussein Onn, sebaik-baik sahaja diumumkan menang di kerusi Parlimen Semberong sudahpun menegaskan bahawa BN tidak akan bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Sentimen yang sama juga terdapat dalam kalangan para pemimpin BN yang lain.

PN juga sudah menegaskan bahawa gabungan parti-parti politik yang diterajui oleh Bersatu, PAS dan Gerakan itu juga tidak sudi untuk membentuk kerajaan dengan PH kerana di dalamnya terdapat DAP yang memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia. Perjuangan dan kepentingan PN, BN dan GPS dilihat tidak selari dengan gagasan tersebut sehingga kini.

Parti manakah yang akan melengkapkan gabungan kerajaan campuran?

Lantaran itu, PN+GRS, BN dan GPS berkemungkinan besar akan menubuhkan kerajaan campuran pada peringkat Persekutuan selepas PRU-15 ini. Dalam kalangan mereka terdapat keserasian yang lebih baik dari segi ideologi dan kepentingan dalam menjaga kepentingan Melayu/Bumiputera, agama Islam tanpa menyisihkan kepentingan kaum lain di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.`

Tan Sri Muhyiddin sudahpun mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengerusi GPS, yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di rumah beliau di Bukit Damansara, Kuala Lumpur mengenai kemungkinan penubuhan kerajaan campuran pada pagi 20 November 2022.

Tan Sri Muhyiddin mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengerusi GPS, yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Jika itu halnya, maka PH pula berkemungkinan kekal sebagai blok pembangkang di Dewan Rakyat. Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula kekal sebagai ketuanya, tetapi memainkan peranan yang bertanggungjawab untuk memeriksa dan menyemak tindak-tanduk cabang eksekutif negara. Cuma mungkin beliau harus menunggu lima tahun lagi untuk menjadi Perdana Menteri. Begitupun, seperti yang selalu dinyatakan dalam politik, apa-apa sahaja boleh berlaku. Bukankah politik selalu digambarkan sebagai seni yang memungkinkan yang tidak mungkin?

Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam voamedia.home.blogĀ 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.