21 November 2022, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
PRU-15 menyaksikan kebanyakan pengundi Melayu beralih sokongan kepada PN.

Pesta demokrasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) usai berlalu. Namun begitu, pementasan teaternya masih lagi berlangsung. Setelah hampir beberapa jam keputusan diumumkan, Parlimen kembali tergantung. Matlamat PRU-15 yang dicanangkan sebagai misi untuk mencari kestabilan tersasar dari landasannya.

Setakat artikel ini ditulis, proses rundingan sedang rancak berlangsung. Seyogia diingatkan bahawa politik ialah seni untuk mendapatkan kuasa. Adakalanya, juga dinyatakan sebagai seni yang memungkinkan perkara yang tidak mungkin. Tiada musuh yang tetap dalam politik kerana yang tetap ialah kepentingan untuk mendapatkan kuasa. Kisahnya pada hari ini, gabungan yang bakal membentuk kerajaan ditentukan oleh elit melalui kuasa negosiasi, lobian, naungan dan mekanisme penawaran. Daripada pilihan rakyat, kepada pilihan elit. Begitulah seni kekuasaan.

PRU-15 merupakan sebuah pilihan raya yang menarik, rumit dan dinamik. Kejutan demi kejutan berlaku dan sebahagiannya memuaskan hati dan sebahagiannya pula agak mendukacitakan. PRU-15 menyingkirkan muka lama dan sosok berpengaruh. Antaranya termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohammad (GTA-Langkawi), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Gombak) dan Khairy Jamaluddin (BN-Sungai Buloh). Meskipun PH mendominasi pungutan kerusi, namun yang lebih mencuri perhatian ialah kebangkitan PN dalam PRU edisi ini. Apakah faktor yang mendominasinya?

Satu yang jelas, PRU-15 masih berada dalam angkubah politik identiti. Keadaan ini menggambarkan wujudnya Tsunami Melayu 2.0 yang berperanan menjadi titik peralihan dengan menjadikan gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai alternatif. Fenomena politik Melayu yang berlaku dalam PRU-15 ini boleh dikategorikan sebagai sebuah refleksi pencarian alternatif, yakni pencarian “pelindung” baharu dalam memelihara politik identiti Melayu-Islam.

Prestasi hambar UMNO-BN menunjukkan parti ini gagal mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu. Sifirnya begitu mudah dibaca. Peluang yang diberikan kepada BN untuk menjaga politik Melayu sejak sekian lama dilihat semakin lemah terutamanya sebelum PRU-14. Lambakan skandal politik dan isu rasuah yang disulami faktor sokongan seperti kelemahan dalam ekonomi “bread and butter” menyebabkan orang Melayu hilang keserasian dengan parti Melayu tersebut.

Ekoran rantaian peristiwa daripada PRU-14, dalam PRU-15, BN masih lagi gagal membina imej bersihnya memandangkan parti tersebut masih diketuai oleh jeneral yang terpalit dengan kes rasuah di mahkamah. Kerangka ini bukan sahaja merangkumi isu rasuah sebagai pemboleh ubah, namun turut didasari oleh tahap populariti presidennya yang semakin merudum. Keadaan ini juga didorong oleh personaliti dan tingkah lakunya yang masih terperangkap dalam dimensi lama UMNO/BN seperti sebelum PRU-14 yang kurang disenangi oleh majoriti rakyat.

PRU-15 gagal memulihkan reputasi BN selepas hanya memenangi 30 kerusi Parlimen.

Oleh itu, PRU-15 ini gagal membawa kesegaran imej kepada UMNO/BN dalam memulihkan reputasinya. Sebagaimana faktor Najib dalam menatijahkan kekalahan UMNO-BN dalam PRU-14, keadaan ini juga menggambarkan sisi pandang yang sama. UMNO sepertinya gagal belajar daripada sejarah untuk memulihkan reputasi parti dengan menukar pucuk pimpinan sebelum berlangsung pilihan raya.

Sejarah membuktikan transisi kepimpinan UMNO-BN berjaya membaiki prestasinya dalam PRU. Misalnya, transisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003 memberikan kemenangan besar kepada UMNO-BN dalam PRU-11 (2004) setelah melalui fasa yang sukar dalam PRU-10 (1999). Keadaan serupa turut berlaku apabila berlakunya transisi kepimpinan daripada Datuk Seri Abdullah kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2009. Natijahnya, Dato’ Sri Najib pada ketika itu berhasil membaiki prestasi politik Melayu UMNO dalam PRU-13 (2013) setelah mengalami kemerosotan teruk dalam PRU-12 (2008). Ketiadaan kesegaran imej dan kepimpinan menjelaskan faktor orang Melayu mencari “pelindung” alternatif yang lebih diyakini dalam PRU-15.

Manakala, Pakatan Harapan (PH) pula dilihat sebagai gabungan yang disifatkan “berbahaya” oleh sebahagian orang Melayu disebabkan keberadaan DAP dalam parti tersebut. Dilema ketakutan ke atas DAP sebahagian besarnya turut disokong oleh kelemahan PH dalam menguruskan isu-isu Melayu-Islam pasca-PRU-14. Keadaan ini memunculkan titik trauma dalam pemikiran sebahagian orang Melayu untuk lebih berhati-hati dengan memilih parti ini. Malah, elemen jasa dan budi juga gagal dimunculkan PH semasa berkuasa yang merupakan teras penting dalam politik Melayu.

Konteks ini akhirnya memunculkan PN sebagai alternatif yang lebih diyakini pembawaan nilai Melayu-Islamnya berbanding dengan BN dan PH yang gagal  dalam proses uji cuba sebelumnya. PN yang menonjolkan PAS melalui pembawaan imej agamanya turut menjadi perkiraan penting dalam mengkonstruksikan kepercayaan orang Melayu untuk memilihnya.

Pakej dua dalam satu gabungan ini melalui jajaran Melayu-Islam menjadikan orang Melayu berasa lebih selamat untuk bernaung di bawahnya. Sentimen ini turut disokong oleh faktor islamisasi luar biasa dalam kitaran ekologi orang Melayu sejak kebelakangan ini yang menjadikan pembawaan imej agama sebagai kriteria utama dalam memilih.

Tanggapan masyarakat tentang keselarian antara nilai Islam dengan imej bersih PAS yang menjadi bualan masyarakat menjadi aset besar dalam hubungan ini. Hal ini termasuklah nilai keislaman yang dipamerkan “poster boy” PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui keupayaan beliau menonjolkan kerektor Islam itu sendiri.

Sentimen masyarakat dalam melihat PN sebagai alternatif terbaik turut berbalik ketika negara dalam keadaan krisis. Satu yang jelas, wabak COVID-19 yang melanda negara membuka ruang kepada Tan Sri Muhyiddin untuk mempamerkan ketokohan. Imej Tan Sri Muhyiddin yang kerap terpancar di media konvensional dan baharu menjadi nilai pemasaran unik untuk jarak tempuh politiknya. Pada waktu yang sama, ruang untuk mewujudkan unsur jasa dan budi terbentang luas melalui peruntukan dana bantuan rakyat.

Sehingga ke hari ini, bantuan-bantuan yang disalurkan kekal menjadi bualan masyarakat yang membantu menonjolkan imej “kepedulian Perdana Menteri” terhadap nasib rakyat dan turut menghidupkan kerangka jasa dan budi. Konteks ini turut sama memauti sebahagian besar pengundi FELDA, terutamanya melalui pelupusan hutang peneroka yang menjadi perkiraan penting menjadikan PN sebagai alternatif orang Melayu FELDA.

Sisi lainnya, boleh dikatakan gelombang pengundi muda turut menjadi penentu dalam menatijahkan keputusan ini. Meskipun belum wujud sokongan data yang mendasarinya, namun melalui kajian lapangan yang dilakukan, populariti PN dalam kalangan anak muda disifatkan begitu tinggi pada PRU-15 ini.

Gelombang pengundi muda banyak mempengaruhi keputusan PRU-15.

Faktor media sosial generasi Z seperti TikTok juga sebahagiannya menjadi pengaruh penting. Kandungan menarik daripada ceramah politik yang mengaitkan syurga dan neraka dengan lokus pengundian setidak-tidaknya berupaya menjadi pengaruh utama dalam menyentak tingkah laku pengundian sebahagian pengundi muda.

Kempen melalui TikTok juga berupaya menonjolkan politik imej atau menampakkan karektor murni melalui video-video pendek spontan seperti individu sedang berdoa, individu sedang melayani isteri secara baik dan seumpamanya. Falasi relevan ini memungkinkan pemilih untuk menilai individu melalui faktor luaran, berbanding dengan secara kritikal dan mendasar.

Selain itu, andaian asas dalam menjelaskan fenomena keserasian pengundi muda dengan PN turut berkait rapat dengan kejuruteraan sosial (social engineering) yang dikonstruk oleh PAS melalui pendidikan. Institusi pendidikan agama kelolaan PAS termasuklah institusi agama alternatif swasta mahupun kerajaan menjadi faktor pengikat kepada keserasian terhadap pembawaan politik PAS.

Secara rangkuman, PRU-15 menggambarkan “tsunami hijau” atau tsunami Melayu 2.0, iaitu siri tsunami terkini dalam merungkaikan fenomena dalam politik Malaysia. PRU-15 juga merupakan sebuah perkiraan mencari “pelindung” Melayu-Islam yang lebih diyakini untuk mengekalkan status quo. Setelah kegagalan UMNO/BN dan PH, maka pilihan alternatif pengundi terarah kepada PN. Keadaan ini juga menjelaskan kedinamikan politik Melayu yang mula bersifat rencam melalui kepelbagaian pilihan alternatif.

Penulis, Pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan berkelulusan Sarjana Sains Politik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.