22 November 2022, 19:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Satu kerjasama yang pragmatik terhasil dengan adanya persefahaman dan keserasian dalam menzahirkan keputusan yang akan dilaksanakan. Hal ini diperkukuh dengan semangat kebersamaan untuk keberhasilan yang membawa manfaat bersama. Dalam situasi pascapandemik di Malaysia ketika ini, keperluan untuk seiring senada dalam membina kerjasama yang pragmatik khasnya yang melibatkan negara-negara luar khasnya dengan China memfokuskan penyediaan modal insan yang diperlukan. Penyediaan modal insan yang kalis keadaan VUCA, iaitu kemeruapan (volatility), ketidakpastian (uncertainty), kerumitan (complexity) dan ambiguity (kekaburan). Satu daripada contoh yang paling asas adalah dalam membina modal insan yang ke hadapan dan berdaya tahan.

China, sebuah negara yang berpopulasi 1.4 bilion orang dan 34 kawasan pentadbiran yang berbeza serta mempunyai lebih daripada 2500 buah Institusi pendidikan tinggi yang cukup luas untuk membina rangkaian kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan China. Faktor penyumbang kepada kepesatan kerjasama pendidikan Malaysia-China juga bertitik tolak pada tahun 2013 apabila Presiden Xi Jin Ping memperkenalkan inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative-BRI).

Inisiatif ini yang merupakan wawasan besar pihak China untuk membina rangkaian kerjasama luar yang telah bermula pada zaman lampau ketika usaha pelaburan ekonomi China melalui laluan sutera telah bermula pada abad ke-2 Sebelum Masihi hingga abad-15 Masihi. Dengan inisiatif China untuk mempromosikan keterbukaan, inklusif dan saling hormat-menghormati memberikan peluang untuk kedua-dua negara menyediakan persekitaran global yang lebih inklusif dan teguh. Hal ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipersetujui oleh semua pihak.

Dalam senario semasa, melihat kepada kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan China, dokumen kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua buah negara boleh dilihat pada dokumen perjanjian persefahaman antara Malaysia dengan China pada tahun 2009. Dokumen perjanjian ini telah menjadi titik tolak awal untuk terus memperkukuh kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan China.

Kemudian, pada tahun 2011, perjanjian dokumen “Framework Agreement To Facilitate Mutual Recognition in Academic Higher Education Qualifications” Between The Government of Malaysia and The Government of The People’s Republic of China. Pengalaman penulis bertugas di China juga memberikan peluang untuk bersama-sama rakan strategik tempatan untuk mewujudkan kerjasama dua hala dengan menyediakan platform kerjasama. Antaranya termasuklah Sidang Dialog Pendidikan Tinggi Malaysia-China(Yunnan), Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-China (Guizhou) dan Forum TVET Malaysia-China. Platform yang terhasil ini telah membuka ruang kerjasama yang pesat antara kedua-dua buah negara. Program yang telah mendapat pengiktirafan dan komitmen kerajaan dan agensi tempatan ini menjadikannya satu program tahunan yang dilaksanakan secara pragmatik.

Bagi menzahirkan yang sebenar-benarnya seiring senada dalam merencanakan kerjasama pendidikan yang pragmatik boleh dirungkaikan dalam beberapa aspek. Yang pertama ialah memahami situasi semasa politik dan ekosistem negara yang menjurus kepada hubungan bilateral kedua-dua buah negara. Malaysia terletak tepat di atas garisan Khatulistiwa, betul-betul di tengah-tengah Asia Tenggara. Terletak secara strategik di antara Lautan Hindi dengan Laut China Selatan, Malaysia menawarkan perkhidmatan yang baik di semua saluran udara dan perkapalan utama. Hal ini ditambah pula dengan asas ekonomi negara yang mampan dan kukuh, persekitaran sedia perniagaan yang komprehensif, tumpuan ke hadapan dan tenaga kerja mahir yang dinamik telah menjadikan Malaysia lokasi yang strategik di rantau ini dan pantas menjadi pusat pilihan untuk mendorong kerjasama lanjut.

Pada tahun ini ialah ulang tahun yang ke-48 hubungan diplomatik antara Malaysia-China. Hubungan ini terus kukuh dengan adanya kerjasama yang pragmatik yang merentas aspek politik, pelaburan, ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan bahasa dan budaya. Keserasian yang ada ini perlu ditingkatkan dengan kesungguhan dan komitmen kedua-dua belah pihak untuk terus menawarkan kerjasama pragmatik yang berkonsepkan perkongsian untuk manfaat bersama. Faktor-faktor pemangkin seperti perdagangan dan pelaburan perlu diseimbangkan dengan keberhasilan tenaga pakar dan kemenjadian modal insan kedua-dua buah negara agar kelestarian kerjasama yang lebih berpanjangan.

Yang kedua ialah menggalakkan usaha mencungkil bakat yang menerokai pelbagai bidang baharu khasnya dalam sains dan teknologi bagi mengetengahkan peluang kerjasama yang lebih bagi memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Keupayaan dan gabungan kepakaran sudah pasti akan membawa satu pendekatan yang pragmatik dalam merencanakan agenda pembaharuan masa hadapan. Malaysia, sebagai sebuah negara membangun tidak ketinggalan dalam aspek ini. Hal ini berdasarkan rekod pencapaian yang memberangsangkan yang melibatkan pencapaian prestasi pelajar dan institusi pendidikan di Malaysia.

Belanjawan 2023 yang bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Bersama telah dibentangkan pada 7 Oktober yang lalu. Belanjawan 2023 ini memfokuskan agenda 3R, iaitu Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis. Daripada RM372.3  billion  yang diperuntukkan, RM15.1 billion telah disediakan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengurus dan membangunkan sektor pengajian tinggi negara Malaysia. Bagi merancakkan landskap pembangunan dan penyelidikan (R&D), kerajaan Malaysia telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk tujuan tersebut. Kementerian Pengajian dan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi telah diberi akses kepada dana yang bernilai RM364 juta. Justeru, peluang dan ruang kerjasama terbentang luas kepada semua pihak untuk seiring senada dalam membawa kebaikan bersama.

Faktor yang ketiga pula ialah meningkatkan ruang dan peluang kerjasama pendidikan yang pragmatik yang menfokuskan pembangunan sistem pendidikan yang berkualiti tinggi bagi kedua-dua buah negara. Hal ini juga boleh didasari dengan kerjasama dan hubungan luar khasnya dengan negara-negara ASEAN. Dalam hal ini, dapat dilihat melalui senario komitmen negara ASEAN ketika ini, iaitu berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan sidang kemuncak berkaitan yang telah berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, pada 10-13 November 2022 yang lepas.

Malaysia telah menzahirkan komitmen yang teguh terhadap ASEAN, termasuklah dalam mengetengahkan kepusatan dan kesatuan ASEAN, usaha-usaha pembangunan komuniti serta penglibatan dan kerjasama berterusan dengan Rakan-rakan Dialog ASEAN serta pihak luar, tatkala menghadapi dinamik serantau yang semakin mencabar dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di peringkat global. Malaysia juga mengulangi pendiriannya mengenai situasi di Myanmar dan akan menyeru supaya ASEAN mengambil pendirian yang lebih tegas berhubung dengan isu ini dalam perbincangan semasa Sidang-sidang Kemuncak ASEAN.

Dengan semangat seiring senada ini, sudah pasti kekerapan program pertukaran pelajar dan guru dari negara Malaysia, negara ASEAN dan China serta negara lain dapat dilaksanakan. Melihat kepada keperluan semasa, sudah pastinya aspek kerjasama pendidikan diberi penekanan terhadap teknikal vokasional dan latihan (TVET). Sebanyak RM6.7 billion dalam bajet 2023 disediakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan memperkasakan TVET. Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025.

Pemerkasaan inisiatif dan pengisian dalam projek Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Projek Taman Industri Berkembar Taman Industri Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) juga perlu dilihat sebagai platform terbaik dalam membina modal insan yang berimpak tinggi. ECRL juga dijangka akan memacukan aktiviti komersial, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan dan merangsang aktiviti pelancongan di sepanjang rangkaian relnya.

Penubuhan UTHM-Ningbo TVET Center yang bertempat di Universiti tun Hussein Onn Malaysia dan Ningbo Polytechnic merupakan yang pertama di rantau Asia bakal menjadi pintu masuk kepada institusi lain dari kedua-dua buah negara khususnya dalam bidang TVET untuk menjalinkan kerjasama pada masa akan datang. Selain itu, pusat TVET ini juga dilihat berpotensi untuk menjadi institusi TVET di Malaysia untuk menarik pelajar antarabangsa khususnya dari China. Dengan adanya kerjasama yang bersandarkan teknikal ini, ruang dan peluang yang cukup besar wujud untuk semua pihak khasnya Malaysia dan China dalam membina rangkaian kerjasama TVET yang menggabungkan kepakaran TVET antara institusi Malaysia dan China.

Faktor yang keempat ialah melihat kepentingan bahasa dan budaya dalam merencanakan kerjasama pragmatik yang juga merupakan faktor yang penting. Ketika ini, faktor bahasa dan budaya menyumbang kepada sejauh mana tahap cultural intelligence dan public diplomacy sesebuah negara dalam memperkukuh hubungan negara. Pengayaan bahasa dan budaya Malaysia-China akan membawa satu pendekatan yang sering senada dengan erti kata lain ialah lebih mengenali hati budi masing-masing. Kita juga dapat melihat kesungguhan pihak China secara diplomasinya menekankan hubungan dengan negara luar melalui perkembangan bahasa Melayu. Kerjasama Malaysia-China telah direalisasikan dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Selain itu, kepesatan Pengajian Melayu juga dapat dilihat dengan adanya 13 buah Institusi Pengajian Tinggi di China yang telah menawarkan Pengajian Melayu di institusi mereka. Pertukaran bahasa dan budaya dapat dilihat dan dikukuhkan dengan adanya peluang dan ruang diberikan seperti ini. Malaysia juga menyokong penuh usaha Institusi Pengajian China dengan kerjasama Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia yang mewujudkan Institusi Konfusius di Malaysia. Jalinan bahasa budaya ini perlu digarap secara holistik dengan gabungan kerjasama institusi atau agensi yang berperanan penting di Malaysia seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Negara bersama-sama pihak berkepentingan di China. Semoga dengan adanya platform ini akan berlakunya jalinan bahasa dan budaya akhirnya dapat memperkukuh hubungan Malaysia-China dan mewujudkan semangat persefahaman dan persahabatan yang tinggi bagi melakukan perkara yang memberikan manfaat bersama.

Yang terakhirnya, iaitu faktor kelima ialah memperkukuh pembinaan modal insan untuk penyatuan kedua-dua buah negara. Belia pewaris masa hadapan, belia merupakan tunjang pembangunan sesebuah negara dan mereka perlu mempunyai daya saing serta semangat cinta akan negara yang tinggi agar generasi akan datang dapat hidup dalam harmoni. Agenda dan penekanan kepada libat urus dalam kalangan belia Malaysia-China perlu dititikberatkan. Menyokong penuh mobiliti belia Malaysia-China untuk mengenali bahasa, budaya dan adat resam tempatan menjadikan mereka penggerak utama ke arah kelestarian hubungan organik yang terbina.

Antara caranya adalah dengan berperanan sebagai duta kecil, iaitu menceritakan pencapaian terbaik kedua-dua buah negara dalam membawa kebaikan bersama, menggalakkan mereka untuk terus membuka ruang dan peluang persefahaman yang lebih luar dan terbuka dalam membina peradaban yang lebih baik. Mengikut rekod, ketika ini, lebih kurang 30 ribu pelajar China mengikuti pengajian di Malaysia manakala 10 ribu pelajar Malaysia pula mengikuti pengajian di China. Angka-angka ini bersifat dinamik yang memperlihatkan kesungguhan semua pihak melahirkan modal insan bertahap global. Dengan ekosistem pendidikan tinggi yang baik di kedua-dua buah negara sudah pasti membuka peluang dan ruang yang cukup luas untuk duta-duta kecil ini merebut peluang yang ada.

Semoga konsep kerjasama model Quadruple Helix menjadi tunjang kerjasama yang seiring senada bagi Malaysia-China. Kerajaan, industri, komuniti dan institusi pendidikan Malaysia-China perlu duduk semeja untuk menterjemahkan kebaikan bersama. Keterbukaan polisi kerajaan yang mapan dan digerakkan secara proaktif oleh industri berkaitan akan memacu kemenjadian yang diharapkan.  Hal ini dapat diterjemahkan dengan peluang dan tawaran daripada industri China di Malaysia yang bersedia menawarkan peluang kerjaya kepada  modal insan bertahap global yang telah dihasilkan bersama bagi memacu kegemilangan. Garapan nilai-nilai kefahaman bahasa, budaya dan adat serta ikatan sejarah menjadikan pembangunan modal insan yang lebih berdaya tahan dan ke hadapan khasnya bertindak sebagai pewaris hubungan organik Malaysia-China.

Kita bakal meniti ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif antara Malaysia dengan China pada tahun depan dan meraikan hubungan ke-50 tahun pada tahun 2024 yang secara dasarnya menjadi garisan masa bagi seiring senada dalam membina kerjasama pragmatik untuk kebaikan bersama pada masa hadapan. Ibarat pepatah Cina, “Satu generasi menanam pokok, generasi lain mendapat teduh” dan hal ini menandakan gagasan hubungan yang terbina pada masa ini , iaitu generasi seterusnya bakal mendapat hasilnya. Sudah pasti semua pihak mengharapkan agar hubungan organik Malaysia dan China menyaksikan lebih banyak pencapaian dan  hubungan berada pada peringkat tinggi yang semakin kukuh.

 

 

Penulis, Mantan Penasihat Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.