Oleh Firdaus Mul
22 November 2022, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) melabuhkan tirainya, akhirnya keputusan rasmi memberikan satu tamparan hebat kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti yang menganggotai barisan kepimpinan kerajaan Malaysia sebelum ini. Walaupun parti BN konsisten memenangi beberapa siri dalam PRN yang lepas, namun kelihatan kemenangan tersebut tidak berjaya dikekalkan di lapangan kerusi Parlimen. Sebaliknya, kemenangan 82 kerusi mengatasi parti-parti lain dicapai oleh Pakatan Harapan (PH) membuktikan bahawa gabungan tersebut masih menjadi pilihan utama rakyat pada masa ini walaupun kemenangan tersebut belum cukup untuk membentuk majoriti mudah . Begitu juga dengan pencapaian yang diperoleh oleh Perikatan Nasional berbekalkan kemenangan 73 kerusi menjadikan gabungan tersebut masih menjadi antara pilihan utama rakyat, walaupun pada detik-detik akhir wujud isu percanggahan antara kepimpinan parti gabungan tersebut.

Kestabilan dalaman dan imej parti merupakan faktor utama kepada kejatuhan BN dalam PRU-15. Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, penganalisis politik dalam berita yang bertajuk “Penguguran Tajuddin wujud Tanggapan UMNO Berpecah” (Berita Harian: 26 Jun 2022) yang ditulis oleh  Mohd Iskandar Ibrahim dan Mohd Nasaruddin Parzi. Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat bahawa UMNO akan mengalami kesukaran untuk menguasai semula pemerintahan kerajaan jika parti tersebut gagal untuk distabilkan semula sebelum PRU-15. Perpecahan ini turut diperakui dalam kenyataan Tan Sri Annuar Musa dalam penulisan berita Astro Awani bertajuk “UMNO Kini Sudah Berpecah Tiga” yang ditulis oleh Firdaus Azli dan diterbitkan pada 17 Januari 2021.Dinyatakan bahawa menurut Tan Sri Annuar Musa, perpecahan UMNO terbahagi kepada tiga kelompok. Pertama kumpulan yang tolak BERSATU, kedua yang berada di tengah-tengah dan yang ketiga menerima BERSATU. Bahkan kenyataan ini dilihat sebagai sesuatu yang konsisten apabila Tan Sri Shahir Samad selaku ahli veteran parti UMNO dalam Utusan Malaysia yang bertajuk “UMNO, BN Sudah Berpecah Tiga” dan diterbitkan pada 1 Ogos 2021 dan ditulis oleh Muhammad Aimy Ahmad, turut menyatakan perpecahan yang berlaku dalam parti tersebut. Tambah beliau lagi, “episod perpecahan BN sejak PRU-14 tidak boleh ditutup walaupun selepas 38 bulan berlalunya PRU-14”. Berdasarkan pengamatan, keadaan perpecahan ini membawa kepada kerapuhan dan keterbatasan parti tersebut untuk bergerak seiring dan utuh bagi mendapatkan semula majoriti dalam PRU-15. Sehingga ketidakstabilan dalaman yang mula terserlah ini turut menjadi modal utama dalam kempen-kempen parti lawan yang lain, yakni mengaitkan perpecahan tersebut dengan pencalonan Perdana Menteri sehingga mengundang kekeliruan.

Walaupun kerajaan Keluarga Malaysia mencatatkan keberhasilan pentadbiran sebelum ini, namun persepsi terhadap ketidakseimbangan parlimen menjadi antara sebab utama parti tersebut sukar meraih perhatian pengundi tegar. Ditambah pula dengan beberapa pengguguran nama-nama besar daripada bertanding dalam PRU-15. Sehingga mengundang kekecohan pada peringkat jentera dan akar umbi. Selain kestabilan politik, isu kos sara hidup, kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit, kadar pengangguran, peluang pekerjaan dan beberapa isu ekonomi termasuk memulihkan ekonomi negara antara isu yang menjadi tumpuan utama sebilangan besar pengundi dalam PRU-5.  Umum mengetahui bahawa rentetan daripada fasa pandemik, majoriti rakyat Malaysia menghadapi tekanan kewangan terutamanya golongan yang datang daripada kelompok B40. Isu-isu utama ini tidak berjaya ditangani dengan baik dan menyeluruh walaupun terdapat beberapa perkembangan dan pulangan positif dalam pelaksanaan dan pembaharuan yang dilaksanakan. Sehingga masih terdengar rintihan dan keluhan pengundi berkaitan dengan tekanan ekonomi. Malah kegagalan menepis persepsi isu-isu ekonomi yang dibangkitkan oleh parti lawan di ruangan kempen siber dan fizikal turut menjadikan parti lawan semakin mula mendapat perhatian di sisi pengundi. Sehingga secara tidak langgung, mengundang kecenderungan yang tinggi dalam kalangan pengundi untuk menolak BN dalam PRU-15.

Berdasarkan pengamatan, kempen yang bersifat setempat dan tidak menyeluruh juga antara merit tambahan kepada parti lawan. Calon-calon yang bertanding kebanyakannya hanya berkempen di kawasan masing-masing. Berbeza daripada pendekatan yang digunakan oleh calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan. Mereka mengambil pendekatan dengan melakukan program jelajah hampir di setiap kawasan parlimen yang ditandingi oleh calon-calon parti mereka. Oleh hal yang demikian, perkara ini secara tidak langsung mencerminkan kesungguhan Pakatan Harapan untuk menawan dan mendapat tempat di sisi semua pengundi. Hatta akhirnya, keberhasilan kempen berbentuk jelajah ini menjadikan Gabungan Pakatan Harapan, gabungan yang berjaya memperoleh kerusi paling banyak dalam sejarah PRU-15. Perkara ini secara tidak langsung, sedikit sebanyak menenggelamkan kempen PRU yang dijalankan oleh parti lain.

Berdasarkan penilaian analisis manifesto yang ditawarkan dalam PRU-15, BN antara parti yang mempunyai tawaran yang lebih lengkap, dekat dan realistik kepada pengundi. Sementara itu, Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia sebelum pembubaran Parlimen juga antara belanjawan terbaik yang pernah tercatat dalam sejarah negara. Begitu juga dengan hasil kerja dan prestasi cemerlang yang dilakarkan oleh  Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan pasukan kabinet yang dibimbingnya. Namun begitu, disebabkan persepsi yang berkaitan dengan ketidakstabilan parti dan naratif yang mengaitkan parti dengan kluster mahkamah berpotensi membawa perubahan dan pembangunan kepada negara menemui jalan kekalahan dalam PRU-15. Oleh sebab itulah, sudah tiba masanya BN melakukan penstrukturan dan penjenamaan semula bagi mendapatkan perhatian dan sokongan rakyat. Baik di sisi pengundi-pengundi tegar ataupun pengundi-pengundi baharu.

Kekalahan yang dihadapi dalam PRU-15 seharusnya menjadi pembakar semangat dan renungan. Agar segala kesilapan dan kekurangan dapat diperbaik dan seterusnya menjadikan parti tersebut antara pesaing terbesar dan sengit bagi parti lain dalam PRU yang akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.