24 November 2022, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Jagoan Paralimpik dunia kebanggaan negara kelahiran Perlis, Datuk Abdul Latif Romly menerima anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Sains Kemanusiaan daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam Sidang Pertama Bagi Istiadat Konvokesyen 16, semalam.

Sebanyak 412 graduan menerima penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) Keusahawanan Kejuruteraan di majlis tersebut.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniMAP berkenan berangkat mengurniakan anugerah tersebut di Dewan Ilmu Kampus Alam UniMAP Pauh Putra. Keberangkatan baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Dalam titah ucapan Tuanku Syed Faizuddin Putra, baginda berpesan, perjalanan hidup seorang graduan hakikatnya tidak terhenti selepas konvokesyen, namun menjadi detik permulaan hari untuk ke tahap yang lebih tinggi dan mencabar pada masa ini.

Dalam perkembangan yang sama, Tuanku Canselor turut menyampaikan anugerah lain seperti pingat dan anugerah bagi penerima Hadiah Pelajaran, Hadiah Inovasi dan Pemenang Hadiah Kecemerlangan Akademik universiti.

Turut menerima Ijazah Kehormat ialah Dato’ Dr. Ir. Ts. Annuar Mohd Saffar (Doktor Kejuruteraan) dan Profesor Dr. Shinji Shimada dari Jepun (Doktor Pengurusan).

Tuanku Raja Muda turut mengingatkan semua graduan agar sentiasa mengangkat nilai murni UniMAP melalui slogan “Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan” yang merupakan nilai murni yang seharusnya ditanam dalam diri semua selaku duta universiti ini. Nilai murni tersebut juga harus sentiasa dipraktikkan, terutamanya apabila alumninya melangkah ke alam pekerjaan kelak. Hal ini dikatakan demikian dapat membantu mereka untuk menyelesaikan apa sahaja tugasan dengan lebih beramanah dan berintegriti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.