Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengadakan Sesi Libat Urus Bersama Dengan Media 2022 di Wangsa Bowl, IOI City Mall bagi menjalinkan hubungan yang erat antara HASiL dengan pengamal media, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, sesi libat urus melalui Kejohanan Boling Persahabatan ini adalah bertujuan untuk beramah mesra dan membina hubungan yang baik sesama pihak media, di samping mendapatkan maklum balas terus daripada agensi terbabit bagi menambah baik perkhidmatan HASiL kepada rakyat.
Menurut Datuk Mohd Nizom lagi ketika sesi beramah mesra, program ini merupakan tanda terima kasih kepada para media atas liputan yang diberikan sepanjang lebih dua dekad usia organisasi ini, khususnya dalam memberikan penerangan berkaitan dengan maklumat percukaian kepada masyarakat umum.
Selain mengadakan agenda libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan, kali ini HASiL bersama dengan pihak media pula. Sesi santai dan ramah mesra menerusi aktiviti sukan ini menjadi pilihan kali ini agar lebih banyak masa dapat diluangkan bersama pihak media yang memainkan peranan yang amat penting dalam ekosistem percukaian negara.
“Semua inisiatif dan strategi yang direncanakan oleh HASiL memerlukan sokongan berterusan daripada pihak media untuk disampaikan kepada masyarakat agar usaha membina satu sistem percukaian milik rakyat dapat direalisasikan.
“Media ialah rakan penting HASiL dalam menyebar luas elemen kesedaran cukai kepada semua pembayar cukai. Semoga jaringan kerjasama antara HASiL dengan media terus subur demi kelestarian Malaysia sebagai sebuah negara maju lagi makmur.
Menariknya, penganjuran ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila melibatkan sebanyak 22 agensi, antaranya termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Media Prima Berhad, Radio Televisyen Malaysia, Astro Awani, Sinar Harian, China Press, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad dan banyak lagi. Kejohanan ini diadakan mengikut kategori, iaitu pengurus atasan, trio (terbuka), individu lelaki dan individu perempuan.