26 November 2022, 21:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Upacara menandatangani MoU KUIPs-UMRI termeterai dengan bersaksikan Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Kangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkenan berangkat menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUIPs dengan Universitas Muhammadiyah Riau Indonesia (UMRI), hari ini.

Bertempat di Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu di Kangar, MoU tersebut telah ditandatangani oleh Rektor KUIPs, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Rektor UMRI, Dr. H. Saidul Amin.

Menurut Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi , KUIPs komited melebarkan jaringan kerjasama antarabangsa bersama dengan UMRI Indonesia. Hasil pertemuan Kunjungan Silaturahim ke KUIPs telah mencapai kata sepakat untuk memeterai persefahaman antara kedua-dua institut tersebut sebagai satu daripada langkah untuk merealisasikan pelaksanaan projek penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu menerusi persidangan dan seminar antarabangsa.

Mengulas lanjut berkaitan dengan kerjasama yang dilaksanakan, KUIPs dan UMRI telah mempersetujui untuk membuat perkongsian kepakaran melalui program pembangunan dan pertukaran staf akademik dan bukan akademik.

Selain itu, jalinan kerjasama terus diperkukuhkan dengan melakukan pelbagai program seperti penyelidikan dan perundingan, menerbitkan bahan penyelidikan, buku dan jurnal, serta program khidmat masyarakat.

Kerjasama ini dijangka dapat menyokong pembangunan pakar bidang di kedua-dua pihak untuk membangun dan memperkasakan usaha pendidikan dan penyelidikan secara khususnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.