2 Disember 2022, 22:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak meluaskan rangkaian kerjasama dan memilih TVS  sebagai rakan sinergi.

Hari ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak berserta rombongan mengadakan kunjungan kepada Pengarah Eksekutif Sarawak Media Group (SMG) Sdn. Bhd., Encik Sarbini Haji Hamdan.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengetahui dan memahami lebih lanjut berkaitan dengan pengoperasian TV Sarawak (TVS) yang merupakan organisasi milik SMG dan bersiaran melalui Astro saluran 122 atau MyTV.

Dalam pertemuan tersebut, Pengarah DBP Cawangan Sarawak menyuarakan hasrat untuk meluaskan rangkaian kerjasama dan memilih TVS  sebagai rakan sinergi yang bertepatan kerana kemampuan dan kepakaran yang dimiliki oleh TVS dalam bidang penyiaran.

TVS dilihat sebagai sebuah agensi swasta yang dapat membantu DBP dalam mengembangkan karya sastera dan kearifan tempatan di Bumi Kenyalang. DBP Cawangan Sarawak turut berharap TVS dapat membantu dalam mempromosikan kegiatan yang dilaksanakan oleh pihak DBP, khususnya dalam menyemarakkan aktiviti Dekad Bahasa Kebangsaan dan menggalakkan budaya membaca melalui kempen membaca yang akan dilaksanakan bersama-sama pada masa akan datang.

Turut hadir mewakili kunjungan pihak TVS ini ialah Encik Rizal Zulkaplin selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Encik Sarbini Haji Hamdan, Pengarah Eksekutif SMG serta pengurusan TVS.

Pelbagai maklumat tentang pembangunan dan program yang dilaksanakan oleh TVS turut dikongsikan kepada pihak DBP bagi melihat ruang kerjasama yang dapat dilaksanakan bersama-sama. Pada masa yang sama, pihak TVS yang bertindak sebagai media elektronik utama di Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan pihak DBP dengan menawarkan slot khusus bagi menyemarakkan aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan.

Pihak TVS juga berharap agar DBP dapat membantu mengadakan kursus kebahasaan kepada wartawan dan staf di TVS bagi meningkatkan kualiti bahasa kebangsaan dalam penyiarannya.

Pihak DBP juga telah dibawa melawat ke studio dan unit pengoperasian TVS untuk melihat sendiri perjalanan dan cara kerja pihak TVS dalam melaksanakan siaran dalam televisyen.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.