9 Disember 2022, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Hari ini merupakan hari terakhir Kursus Pengucapan Awam anjuran Jawatankuasa Belia Persatuan bagi orang kurang upaya (OKU) yang cacat penglihatan di Kuching, berlangsung di Hotel Penview pada pagi tadi.

Kursus ini dilaksanakan dengan kerjasama Unit Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Seramai 32 orang ahli Persatuan Orang Buta Sarawak, termasuklah sukarelawan telah menyertai kursus yang menampilkan Puan Dayang Norazan Kartini Pengiran Haji Zain sebagai pembimbing. Kursus ini bertujuan mempelajari teknik pengucapan awam yang lebih baik, di samping dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk berucap di hadapan orang ramai.

Sesi bergambar seusai tamat Kursus Pengucapan Awam anjuran Jawatankuasa Belia Persatuan.

Program ini berjaya menghimpunkan peserta dari Sibu, Miri dan Bintulu. Peluang keemasan ini turut melibatkan peserta daripada golongan tunanetra. Benarlah kata pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Biarpun dalam keterbatasan penglihatan, semangat mereka untuk belajar tetap tinggi. Peserta program ini terdiri daripada ahli persatuan yang mempunyai latar belakang kehidupan dan pekerjaan yang berbeza, termasuklah guru, operator dan atlet.

Melalui sesi suai kenal pada hari pertama program, peserta kelihatan amat teruja untuk memulakan aktiviti dan tugasan. Pembimbing menggunakan kaedah ini untuk menerapkan konsep komunikasi berkesan kepada peserta dengan memberikan komen atau kritikan terhadap gaya pengucapan yang mereka persembahkan.

Aktiviti Permainan Telefon Buruk dapat meningkatkan kemahiran komunikasi OKU yang cacat penglihatan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah Permainan Telefon Buruk, Latihan Sebutan, Latihan Suara dan Latihan Intonasi. Sebagai contohnya, ayat yang digunakan dalam latihan, termasuklah “buaya biawak buaian”, “gajah lalu lalang layu” dan “kakakku kata, kuku kaki kiri kakakku kaku. Kukikis-kikis kuku kaku kaki kiri kakakku”.

Mereka diminta untuk menyebut ayat-ayat tersebut dengan mempamerkan emosi seperti gembira, marah dan sedih, dan menggunakan intonasi yang sesuai.

Selain itu, pembimbing turut berkongsi tentang lima prinsip utama pengucapan awam, iaitu salam, syukur, maklum, harapan dan terima kasih dalam penyediaan teks ucapan. Rata-rata peserta menunjukkan peningkatan yang baik dalam ucapan sewaktu pembentangan pada hari terakhir program berbanding dengan sesi suai kenal pada hari pertama.

Teknik pengucapan awam merangkumi bahasa badan, pengawalan suara dan penggunaan mikrofon turut diceritakan oleh pembimbing dengan menarik sekali.

Majlis penutupan Kursus Pengucapan Awam pada hari ini dirasmikan oleh Encik Ronald Thomas Ronny Law, Pengerusi Persatuan bagi Orang Buta Sarawak Cawangan Kuching. Beliau amat berbangga terhadap penganjuran program khas untuk OKU penglihatan seperti ini dan menzahirkan sokongan padu untuk pelaksanaan program ini pada masa akan datang.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Encik Watson Manda, Pengerusi Jawatankuasa Belia Persatuan bagi Orang Buta Sarawak Cawangan Kuching. Kata beliau, “kita (OKU penglihatan) juga mampu mencelikkan orang yang celik”. Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak DBP Cawangan Sarawak atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dan menyatakan harapan agar program seperti ini terus mendapat bantuan dan dana daripada pihak pengurusan persatuan.

Pada masa yang sama, penyampaian cenderamata kepada pihak DBP Cawangan Sarawak dan pemilihan peserta terbaik lelaki dan wanita turut diadakan. Pemilihan peserta terbaik lelaki ialah Loh Wei Siong, manakala peserta terbaik perempuan pula ialah Norhasfalinda Hamdan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.