10 Disember 2022, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi siaran kenyataan media yang dibuat pada hari ini memaklumkan bahawa sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), manakala bagi Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya) dijadualkan pada 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024.

KPM membuat ketetapan untuk menangguhkan pembukaan sekolah bagi sesi persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 yang dijadualkan sebelum ini, iaitu bermula pada 12 Mac 2023 bagi Kumpulan A dan 13 Mac 2023 bagi Kumpulan B berdasarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2021: Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2023 dan Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 untuk Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan supaya pelaksanaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dapat dilaksanakan dengan lancar.

Berdasarkan kenyataan media, KPM turut memaklumkan bahawa:

Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada Mac 2023 adalah untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari.

Kenyataan media KPM turut memberikan maklum balas terhadap cadangan dan perhatian daripada beberapa pihak untuk mengembalikan semula sesi persekolahan pada Januari. KPM berpandangan bahawa perkara tersebut boleh dilaksanakan dengan memendekkan jumlah cuti persekolahan secara berperingkat bermula dari tahun 2023 hingga tahun 2026 dengan pematuhan terhadap jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik. Namun dengan mengambil kira kebajikan para guru, murid dan kesan terhadap ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan tersebut bagi mengurangkan impak terhadap pihak berkaitan.

Sebagai kementerian yang komited untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat, KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada November dan Disember kerana pada bulan tersebut negara mengalami musim tengkujuh. Situasi tersebut secara tidak langsung memberikan kesan kepada guru, pelajar dan petugas peperiksaan. Selain itu, apabila peperiksaan SPM diadakan pada Februari dan Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih singkat berbanding dengan sebelum ini.

KPM sentiasa melihat keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik bagi tahun seterusnya untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.

Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh dimuat turun melalui laman sesawang KPM di pautan ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.