13 Disember 2022, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan menyampaikan surat pelantikan kepada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang baharu.

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Zulfa Hamzah atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP berkuat kuasa pada hari ini.

Pengumuman itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan dalam mesyuarat khas bersama-sama pengurusan tertinggi DBP di Menara DBP pada petang ini. Pelantikan Encik Zulfa Hamzah adalah bagi menggantikan tempat Tuan Haji Abd. Halim Haji Harun yang bersara wajib pada 26 Oktober 2022 lalu.

Terdahulu, Encik Zulfa Hamzah merupakan Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran. Beliau telah berkhidmat di DBP selama lebih dari 25 tahun, bermula pada tahun 1997.

Dalam tempoh perkhidmatan tersebut, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (2020 – 2021), Ketua Bahagian Undang-undang (2014) dan Ketua Urus Setia Lembaga (2014), serta turut menerajui beberapa bahagian penting di DBP, antaranya termasuklah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (2014 – 2020), Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (2008 – 2014), Bahagian Pentadbiran Am (2007 – 2008), Bahagian Pengurusan Personel (2000 – 2002) dan Bahagian Undang-undang (1997 – 2000).

Meniti kejayaan dan pencapaian sepanjang berkhidmat di DBP, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2003, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2015 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020, Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun (2017) dan Anugerah Perkhidmatan 25 Tahun (2022).

Menerusi pelantikan tersebut, DBP meletakkan sepenuh keyakinan terhadap Encik Zulfa Hamzah untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam memartabatkan bahasa, sastera dan penerbitan negara, seiring dengan kemajuan dan keperluan industri serta memenuhi kehendak masyarakat.

Dalam ucapannya, Encik Zulfa menyatakan bahawa beliau akan menunaikan amanah dan kepercayaan yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi kepentingan organisasi. Beliau juga akan terus komited dalam merealisasikan visi dan misi DBP.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.