Oleh Firdaus Mul
13 Disember 2022, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Media tradisional yang dahulunya menjadi medium pembangkit semangat nasionalisme, kini beralih ke platform digital dengan membentuk naratif baharu  dalam memberikan liputan berita dari dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa dengan lebih berkualiti dan bersifat semasa.

Tidak dinafikan bahawa rakyat di negara ini banyak bergantung pada media dalam mendapatkan maklumat mengenai perkembangan semasa dalam segenap konteks. Pada hari ini, kebebasan media merupakan tuntutan utama bagi menjamin kelangsungan dan kesuburan amalan sistem demokrasi. Tanpa kebebasan media yang sebenar, naratif penjajahan minda akan mula berlegar-legar dalam pemikiran masyarakat sehingga membawa kepada kepupusan daya fikir yang kritis dan kreatif.

“Kebebasan media di negara ini perlu menjadi perhatian pimpinan baharu negara” – Tan Sri Johan Jaaffar.

Hal ini menjadi topik utama yang disentuh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program syarahan umum bertajuk Krisis Media: Di Belakang Duri, di Depan Api, yang berlangsung pada pagi tadi, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Menurut Tan Sri Johan Jaaffar, pelbagai perubahan yang berlaku pada hari ini dalam dunia kewartawanan Melayu dan media tanah air berpunca daripada memenuhi tuntutan zaman agar penghasilan sesebuah naratif dan liputan tersebut masih relevan untuk menjadi santapan minda rakyat Malaysia.

“Pada fasa kini, media mula menghadapi satu perubahan yang berganjak daripada platform tradisional ke platform digital ataupun yang dikenali sebagai revolusi media. Maka itu, kita harus belajar daripada pengalaman lalu, saya nak tarik sedikit perhatian kepada sebuah buku yang ditulis oleh Professor Rom yang bertajuk The Origin of Malay Nasionalisme. Satu daripada bab yang sangat penting ditulis dalam buku ini adalah tentang sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu tentang penubuhan apa yang disebutkan sebagai persuratkhabaran dan permakalahan Melayu. Kita harus ingat bahawa surat khabar Melayu yang pertama, yang diterbitkan pada tahun 1876 di Singapura, diterbitkan oleh kelompok yang disebut Jawi Peranakan. Kemudian kalau kita perhatikan pertumbuhan persuratkhabaran Melayu cukup luar biasa. Pada Mei 1939, lahirlah akhbar Utusan Melayu. Bermula dari detik inilah kita menyaksikan bagaimana revolusi akhbar terus berlaku,” ujarnya.

Kemudian beliau melanjutkan lagi syarahannya dengan menyentuh perihal kecaknaan media untuk berhadapan dengan senario politik semasa, beliau turut menyatakan bahawa media seharusnya diberikan kebebasan tanpa perlu ada sekatan dan cengkaman daripada mana-mana parti ataupun ahli politik.

Kebebasan akhbar seperti yang saya nyatakan banyak kali adalah lebih penting sekarang berbanding dengan sebelum ini. Lebih-lebih lagi di bawah kerajaan pada hari ini. Kerajaan mesti menghormati kebebasan akhbar dan peranan pengamal media. Kebebasan media adalah lebih penting dalam memastikan semak dan imbang. Tanpa semak dan imbang kita akan menghadapi masalah besar

Di sisi lain pula, beliau mencadangkan agar media yang sedia ada menitikberatkan penstrukturan semula yang disesuaikan mengikut situasi terkini untuk memenuhi tuntutan semasa. Pada akhir syarahannya, beliau sempat menyatakan harapan bahawa negara kita sedang berdepan dengan masalah yang dianggap satu krisis yang amat ketara dalam media pada hari ini. Krisis itu bukan sahaja sekadar cara kita beroperasi, menjalankan perniagaan, mendapatkan maklumat dan menyebarkan maklumat, tetapi yang lebih penting adalah keyakinan orang lain terhadap media di negara ini. Maka, itu, Tan Sri Johan Jaaffar mencadangkan agar semua pihak meletakkan satu kerangka baharu, iaitu memikirkan cara yang terbaik untuk memastikan kebebasan media benar-benar dapat diwujudkan. Dalam konteks persaingan pada hari ini ujarnya, hanya yang terbaik akan bertahan.

“Sekarang, pembaca, penonton, pendengar sudah pandai menghukum. Bukan macam dulu. Oleh itu, kita nampak sekarang ini banyak perubahan. Saya berharap kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengotakan janjinya untuk membebaskan media. Bukan sahaja membebaskan media dari segi keupayaan mereka untuk menjadi kritikal, untuk menjadi suara bicara, untuk menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ masyarakat, tetapi dalam masa yang sama membebaskan mereka daripada undang-undang yang tidak lagi relevan pada ini”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.