13 Disember 2022, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
KDYMM Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan skrol kepada graduan UMT di Dewan Sultan Mizan.

Kuala Nerus – Sebanyak 1601 graduan diraikan dengan penuh istiadat dan gilang-gemilang dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-20 yang berlangsung selama empat sesi bermula pada 11 hingga 12 Disember 2022. Mereka yang diraikan terdiri daripada 171 graduan pascasiswazah, 1297 graduan sarjana muda dan 133 graduan diploma.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka sidang pertama majlis konvokesyen itu di Dewan Sultan Mizan, UMT hari ini. Sultanah Nur Zahirah yang merangkap sebagai Canselor UMT dalam titahnya menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan dan penerima anugerah pada majlis berkenaan.

KDYMM Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-20.

Titah KDYMM Sultanah Nur Zahirah,

Beta berharap graduan perlu bersedia menghadapi realiti hidup yang mencabar, bukan sahaja dari segi kemahiran dan kesediaan fizikal untuk memenuhi keperluan pasaran kerja, malahan wajib melengkapkan diri dengan adab dan akhlak yang terpuji.

KDYMM turut berkenan menyampaikan skrol dan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop atas kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang ketamadunan Islam, budaya, seni dan warisan Melayu Asia Tenggara.

Beliau turut berkolaborasi bersama-sama UMT sebagai rakan kerjasama dalam Pameran Manuskrip Al-Quran Emas Warisan Kesultanan Terengganu 2018, serta turut menjadi pakar rujuk antarabangsa dalam usaha UMT, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Jabatan Warisan Negara mencalonkan Mushaf al-Quran Terengganu sebagai “Memory of The World-UNESCO”.

Pada majlis itu juga, Dato’ Rozano Saad yang merupakan Pengarah Urusan Shell turut dilantik sebagai Profesor Adjung UMT telah membawa kerjasama industri-UMT dalam mencapai matlamat kemapanan bagi menyelesaikan isu alam sekitar. Kepakaran dan sumbangan bakti beliau kepada negara dan dunia juga tidak dapat disangkal, malah turut menerima skrol ijazah kehormat daripada Sultanah Nur Zahirah.

Turut diraikan dalam majlis ini ialah penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor.

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, UMT terus komited memacu kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Cetakan Biru (Blueprint) Kebolehpasaran Graduan dan penawaran program pengajian berimpak tinggi yang relevan dan berteraskan industri.

Tambah Naib Canselor UMT ketika berucap dalam majlis tersebut,

UMT perlu memfokuskan pembangunan program pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan proses pemantauan perkembangan pencapaian pelajar agar graduan berkualiti dapat dihasilkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.