Oleh Nik Azman Nm
14 Disember 2022, 16:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu krisis makanan menjadi perhatian serius pada tahun ini dan menjadi kebimbangan besar masyarakat dunia. Perkara ini bukan lagi sekadar suatu spekulasi, tetapi telah menjadi isu serius yang tidak boleh dipandang ringan . Suara kebimbangan ini bukan hanya lahir daripada pemimpin dan pakar-pakar pemakanan, bahkan  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sudah mula bersuara tentang kebimbangan tersebut. Suasana mungkin akan bertambah kritikal pada saat dunia sedang berdepan dengan masalah krisis ekonomi global yang belum diketahui titik penghujungnya.

Menurut laporan AFP, seorang penduduk dunia dianggarkan meninggal dunia dalam tempoh setiap empat saat, sekali gus menggesa komuniti antarabangsa mengambil langkah segera bagi menamatkan krisis kebuluran global. Menerusi surat terbuka kepada semua pemimpin dunia yang menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, sebanyak 238 organisasi dari 75 buah negara, termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan England (Oxfam), Organisasi Kemanusiaan “Save the Children” dan “Plan International” menzahirkan kebimbangan berhubung dengan tahap kebuluran global pada ketika ini.

“Setakat ini, kira-kira 345 juta orang di seluruh dunia berdepan dengan kebuluran teruk, menyaksikan jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda sejak 2019.

Di sebalik jaminan serta janji dari para pemimpin dunia yang tidak akan membenarkan lagi kebuluran berterusan dalam abad ke-21, masalah itu sudah “kekal” di Somalia. Menurut surat tersebut, sebanyak 50 juta orang penduduk berada di ambang kebuluran di 45 buah negara. Menjangkakan 19 700 orang berdepan kematian akibat kebuluran setiap hari, kesemua NGO tersebut menyamakan keadaan itu sama dengan seorang penduduk yang akan mati setiap empat saat.

“Dengan semua kemudahan teknologi dalam sektor pertanian dan teknik yang kita miliki pada hari ini, kita masih bercakap soal kebuluran pada abad ke-21.

“Hal ini bukan soal tentang sebuah negara atau sebuah benua, dan kebuluran tidak pernah mempunyai hanya satu sebab untuk berlaku. Hal ini adalah berkaitan dengan ketidakadilan dalam hak asasi manusia,” kata Mohanna Ahmed Ali Eljabaly dari Persatuan Penjagaan Keluarga Yaman, iaitu satu daripada NGO yang menandatangani surat berkenaan. Jelas Mohanna, semua pihak tidak sepatutnya mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” untuk meredakan masalah yang berlaku kerana terdapat nyawa yang bergelut untuk meneruskan kehidupan pada setiap hari.

Makanan merupakan satu perkara asas dalam kehidupan manusia sama seperti tempat tinggal dan pakaian. Adalah tidak wajar apabila krisis kekurangan bekalan makanan boleh berlaku di beberapa buah negara di dunia disebabkan oleh pelbagai faktor. Menurut kesemua NGO berkenaan, krisis kebuluran global disebabkan oleh kemiskinan, ketidakadilan sosial, ketidaksamarataan jantina, konflik, perubahan iklim dan kejutan ekonomi. Perkara yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini membabitkan bekalan makan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu.

Pemimpin program makanan PBB juga telah memberi amaran bahawa dunia bakal berdepan kecemasan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia PBB, David Beasley memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa 345 juta orang menghadapi masalah kekurangan makanan yang meruncing di 82 buah negara. Jelasnya, angka itu adalah dua kali ganda bilangan orang tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi sebelum COVID-19 melanda pada 2020.

Pakar turut memberi amaran bahawa perang Rusia-Ukraine berisiko menyebabkan kebuluran, menurut laporan tahunan FAO. Konflik Rusia-Ukraine ini telah memburukkan lagi isu keselamatan makanan pada peringkat global. Hal ini termasuklah 70 juta orang yang ditekan dan mengalami kebuluran akibat perang di Ukraine.

Menurut Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, Rusia dan Ukraine menghasilkan satu pertiga daripada bekalan gandum dunia, dan kehilangan komoditi akibat perang yang telah mengakibatkan harga makanan melambung tinggi dan ketidakpastian tentang masa depan keselamatan makanan di seluruh dunia terutamanya di negara miskin. Sekatan tentera laut Rusia di pelabuhan Laut Hitam di Ukraine pula telah mengakibatkan terhentinya penghantaran bijirin daripada pengeksport gandum dan jagung keempat di dunia, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan dan meningkatkan kes kelaparan di negara berpendapatan rendah.

Menurut Blinken lagi, kekurangan bahan api dan baja di kebanyakan negara dan lonjakan harga makanan yang pantas menggugat kestabilan rakyat, meningkatkan kebuluran, kekurangan zat makanan, mendorong penghijrahan dan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi yang lebih teruk.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, setakat ini tiada penyelesaian berkesan untuk krisis makanan tanpa mengintegrasikan semula pengeluaran makanan Ukraine, serta produk makanan dan baja yang dihasilkan oleh Rusia dan Belarus ke pasaran dunia.

Perubahan iklim pula menjadi alasan utama yang menyebabkan gangguan cuaca seperti kekeringan yang menjadikan penghasilan produk semakin berkurangan. Kenaikan harga minyak dunia dan gas yang turut mempengaruhi harga pengeluaran makanan akan mempengaruhi hasil pengeluaran di pelbagai negara.

Krisis makanan lebih parah disebabkan kekurangan pengeluaran makanan tempatan, iaitu legasi polisi silam. Polisi ini tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan makanan tempatan, lalu menyumbang kepada inflasi harga, selain inflasi import terutamanya minyak dan baja.

Pengarah Eksekutif Dana Global untuk melawan AIDS, Tuberkulosis dan Malaria, Peter Sands, memberi bahawa amaran situasi itu berpotensi mencetuskan malapetaka baharu berhubung dengan aspek kesihatan dunia.

Sands berkata, kekurangan makanan yang dihadapi ketika ini secara tidak langsung mengakibatkan lebih ramai yang meninggal dunia bukan sahaja kerana kelaparan tetapi disebabkan antibodi badan yang rendah untuk melawan penyakit berjangkit akibat pengambilan makanan tidak berzat.

Penduduk dunia yang berdepan dengan isu kelaparan meningkat kepada 193 juta tahun lalu ketika konflik perubahan iklim dan krisis ekonomi merosakkan kehidupan, demikian menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO). Agensi PBB itu memaklumkan bahawa hampir 40 juta lagi individu berada dalam krisis “keselamatan makanan yang teruk” pada tahun lalu.

Daripada 53 buah negara yang berdepan dengan isu itu, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Yaman dan Afghanistan paling teruk terkesan, terutamanya Afghanistan yang menyaksikan jutaan penduduknya kelaparan selepas negara itu terjerumus dalam krisis kewangan selepas Taliban mengambil alih pemerintahan tahun lalu.

Krisis makanan juga berkaitan rapat dengan kemelesetan ekonomi global sebagaimana amaran oleh sebuah agensi PBB berikutan kesan serius kemelesetan global yang disebabkan oleh dasar kewangan negara membangun. Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva berkata, dalam konteks memperketat dasar kewangan, dasar fiskal tidak boleh terus dibiarkan kerana krisis kos sara hidup melanda sebahagian masyarakat secara mendadak.

“Kami memerlukan bank pusat untuk bertindak tegas kerana inflasi sangat degil. Hal ini tidak baik untuk pertumbuhan dan sangat buruk bagi orang miskin,” katanya. Jelasnya lagi, inflasi sebenarnya merupakan cukai terhadap orang miskin.

Georgieva menjelaskan, dasar fiskal yang menyokong semua orang secara sembarangan dengan menekan harga tenaga dan memberikan subsidi adalah bertentangan dengan tujuan asas dasar kewangan.

“Jadi, anda mempunyai dasar kewangan yang meletakkan kaki pada brek dan dasar fiskal meletakkan kaki pada pemecut,” katanya selepas mengambil bahagian pada persidangan keselamatan makanan di Riyadh baru-baru ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.