14 Disember 2022, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lebih daripada separuh rakyat Malaysia tidak berminat untuk berbincang mengenai pilihan raya, walaupun dalam tempoh “musim” pilihan raya itu sendiri. Terdapat banyak kajian akademik yang telah dijalankan mendapati bahawa rakyat Malaysia yang layak mengundi, iaitu kumpulan yang berumur 21 tahun ke atas (kini 18 tahun ke atas) tidak ghairah untuk bercakap dan terlibat dengan pilihan raya. Misalnya, jika dilihat statistik keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri terbaharu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang telah berlangsung pada bulan Mac yang lalu, hanya 54.92% peratusan keluar mengundi dicatatkan.

Keadaan ini pastinya sesuatu yang amat membimbangkan terutamanya bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen seperti Malaysia. Pilihan raya merupakan inti utama yang terdapat dalam sistem demokrasi. Oleh itu, jika majoriti rakyat dalam negara yang mengamalkan demokrasi tidak cenderung untuk terlibat dalam proses demokrasi, maka situasi ini perlu diberi penelitian khusus oleh semua pihak.

Terbaharu, rakyat Malaysia sekali lagi ditawarkan peluang untuk terlibat secara langsung dalam pemilihan pemimpin negara sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun di peringkat negeri. PRU-15 telah pun dijalankan pada bulan November 2022 yang lalu. Dengan situasi politik negara yang menyaksikan terdapat ramai calon yang bertanding bagi satu-satu kawasan pilihan raya, adakah situasi ini mampu menarik minat rakyat Malaysia untuk terlibat dalam proses demokrasi ini?

Persoalan yang timbul, adakah rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi pada pilihan raya tertarik dengan tawaran calon pilihan raya di kawasan masing-masing sehingga timbul kesedaran untuk keluar mengundi? Mengundi dalam pilihan raya memerlukan kesedaran, kebijaksanaan, penelitian serta pendidikan yang berkaitan kerana proses ini merupakan nadi penting yang menentukan “nyawa” bagi sebuah negara pada masa akan datang. Walaupun peratusan keluar mengundi boleh dijadikan petunjuk utama, namun faktor lain juga perlu dipertimbangkan untuk menilai tahap kesedaran rakyat berkaitan dengan pilihan raya. Antaranya termasuklah tahap pendidikan dan pengetahuan rakyat (pengundi) berkaitan proses pilihan raya.

Rakyat perlu didedahkan dengan pendidikan pilihan raya pada usia yang paling awal. Tambahan pula dengan penetapan baharu yang bermula PRU-15 lalu, remaja yang berusia 18 tahun telah layak mengundi. Oleh itu pendidikan yang berkaitan dengan pilihan raya perlu diketengahkan kepada remaja seawal usia 15 tahun ataupun lebih awal lagi. Hal ini penting untuk melengkapkan pengundi dengan ilmu pilihan raya yang sepatutnya difahami dengan lebih baik.

Pendidikan pilihan raya bukan sekadar untuk memahami aspek teknikal semasa proses mengundi, malah lebih daripada itu. Pendidikan pilihan raya seharusnya merangkumi pelbagai aspek termasuklah  cara terbaik untuk membuat penilaian dalam pemilihan calon yang perlu diundi. Pengetahuan yang baik berkaitan proses pentadbiran negara, konsep kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, asas pelantikan Perdana Menteri serta hal-hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan negara berdasarkan Perlembagaan Malaysia amat perlu difahami oleh setiap pengundi.

Bagi mencapai hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang, adalah menjadi kewajipan setiap rakyat untuk memilih barisan kepemimpinan negara yang berkelayakan bagi menerajui negara. Proses memilih tampuk kepemimpinan negara yang berlaku dalam pilihan raya ini perlu berjalan dengan minda pengundi yang faham tentang cara dan kesan daripada undi yang dilakukan.

Pengundian yang dibuat bukan sekadar mengundi kerana calon ialah kenalan, saudara, ataupun berdasarkan pertimbangan peribadi, tetapi perlu dilakukan berdasarkan penilaian keseluruhan berkaitan calon dan parti politik yang diwakilinya. Hal ini wajib kerana pengetahuan yang berkaitan dengan proses pembentukan kerajaan selepas pilihan raya akan menjelaskan bahawa betapa pentingnya setiap calon yang dipilih perlu berada dalam kumpulan parti politik yang berwibawa dan bertanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana berdasarkan Perlembagaan Malaysia, pemilihan teraju utama pentadbiran negara, iaitu Perdana Menteri adalah berdasarkan sokongan kumpulan majoriti ahli Parlimen yang menguasai Parlimen. Hal ini bermakna, pemilihan pengundi perlu berdasarkan kumpulan, bukan sekadar calon secara individu. Sebagai contoh, jika calon terbaik yang diundi mencapai kemenangan, namun kumpulan parti politik yang diwakilinya bukan majoriti di Parlimen, maka calon terbaik yang dipilih itu tidak akan berjaya membentuk kerajaan dan tidak berjaya menjadi sebahagian daripada penggubal dasar negara.

Proses pendidikan yang berkaitan dengan pilihan raya merupakan satu penerapan ilmu yang berterusan, dan bukan sekadar maklumat yang hanya disampaikan secara bermusim dan ringkas. Pemahaman yang jelas berkaitan dengan tata urus pentadbiran negara perlu difahami oleh setiap rakyat yang layak mengundi, walaupun pengetahuan tersebut hanya pada peringkat asas. Jika tidak, negara hanya akan melahirkan generasi yang sama bentuk pemikirannya berkaitan dengan pilihan raya, iaitu hanya menganggap pilihan raya sekadar “pesta” memilih dan mengundi calon berdasarkan apa-apa yang ditawarkan pada masa tersebut dan bersifat jangka pendek. Contohnya, pada musim pilihan raya akan ada calon yang akan membelanjai makan pengundi di kawasannya, menghadiahkan sesuatu dalam bentuk material dan sebagainya. Pada hakikatnya, pengundi perlu membuat keputusan bukan hanya sekadar apa-apa yang diperoleh pada waktu kempen pilihan raya, tetapi untuk jangka masa panjang dan untuk kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhan.

Kesedaran tentang cara memilih dengan tepat dan betul seharusnya dijadikan sebahagian daripada kandungan dalam pendidikan pilihan raya. Pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia misalnya perlu mengambil inisiatif agar setiap pelajar yang berusia 15 tahun diberikan pendedahan yang sebaik-baiknya berkaitan dengan proses pentadbiran negara. Kandungan pendidikan pilihan raya juga mesti merangkumi aspek asas konsep Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta tatacara pengurusan negara yang diterajui oleh tiga badan utama, iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

Jika masyarakat masih menyimpan harapan dan keinginan untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dalam semua aspek pada masa akan datang, maka hasrat tersebut perlu bermula dengan pemilihan pentadbiran yang baik dan berwibawa. Sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia amat perlu diterajui oleh barisan kepemimpinan yang memahami hala tuju negara serta menepati ciri-ciri seorang pemimpin yang sepatutnya. Untuk itu, menjadi tugas pengundi untuk memilih calon yang sesuai berpandukan pengetahuan serta pendidikan yang berkaitan  dengan pilihan raya kelak.


Penulis, Pensyarah Kanan, Kolej Ekonomi Tenaga & Sains Sosial, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Putrajaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.