15 Disember 2022, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – “Kebahagiaan di dalam kelas merupakan atom pendidikan negara. Seluruh ekosistem pendidikan dan sistem penyampaian perkhidmatan perlu diperkemas demi mencapai hasrat negara.”

YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia.

Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dalam Sidang Media Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada petang tadi, mencari titik kesatuan dalam sistem penyampaian pendidikan, khususnya pembangunan modal insan perlu dilaksanakan dengan penuh iltizam.

YB Fadhlina Sidek mengatakan bahawa menguruskan jangkaan umum (public expectation) merupakan satu cabaran yang harus dipikul oleh KPM untuk memastikan dasar yang sedia ada dapat ditambah baik prosesnya bagi menjamin kecekapan bersama, seiring dengan hasrat pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Tujuh teras utama yang akan diberikan tumpuan penuh oleh KPM adalah seperti yang berikut:

  1. Menjadikan komunikasi antara kementerian dengan sekolah lebih cekap dan telus;
  2. Menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti;
  3. Memberikan perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40, termasuklah aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran;
  4. Memberikan perhatian terhadap isu keciciran pendidikan dan masalah literasi dan numerasi;
  5. Memberikan fokus terhadap kebajikan guru;
  6. Memperkukuh usaha ubah suai dan naik taraf sekolah, termasuklah bangunan daif di Sabah dan di Sarawak; dan
  7. Meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah.
Sidang Media Khas yang diketuai oleh YB Fadhlina Sidek bersama-sama Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Pkharrudin Haji Ghazali diadakan di Kompleks E Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan sidang media khas bersama-sama pengurusan tertinggi KPM, beliau tegas berkata:

Pendekatan yang lebih holistik melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik, serta semua pihak yang berkepentingan perlu diambil perhatian.”

“Dalam hal ini, saya akan memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996, serta peraturan yang berkaitan.

Oleh itu, KPM akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang termaktub dalam akta bagi menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara. Perkara itu turut mengambil kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang berakhir pada tahun 2025.

Turut hadir bersama-sama dalam Sidang Media Khas yang diadakan di Kompleks E Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ialah Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Pkharrudin Haji Ghazali.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.