24 Disember 2022, 12:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri 16 yang dilaksanakan secara hibrid pada 22 Disember 2022.

Webinar bertemakan “Women in Search of Excellence” anjuran Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia pada kali ini membawa tajuk “Wanita dalam Pasaran Buruh: Dilema dan Peluang” yang menampilkan beberapa ahli panel undangan untuk mengupas topik melalui dua sesi forum dan juga sesi ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Penasihat DiRaja YTF dalam titah ucapan perasmian baginda secara dalam talian menitahkan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di segenap peringkat bagi memperkasakan wanita dengan meneroka potensi masing-masing terutama dalam sektor ekonomi dan mengarusperdanakan gender dalam setiap perancangan dan dasar kerajaan.

Webinar YTF Siri 16 Perkasa Peranan Wanita.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra amat berharap agar golongan wanita akan terus diberi peluang dalam aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan juga politik supaya kesamarataan gender dalam pembangunan dan transformasi negara dapat terus dipertingkatkan. Tambah baginda,

Pihak majikan sama ada di sektor awam atau swasta, perlu lebih sensitif akan keperluan wanita dalam melaksanakan pelbagai tugas di tempat kerja, dan meneruskan tugas sebagai seorang isteri dan ibu pula di rumah.

Sesi penutupan webinar tersebut pula telah disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pengerusi YTF sendiri.

Sebagai rekod, Webinar YTF ini diadakan pada setiap bulan secara dalam talian dengan kerjasama pelbagai agensi dan organisasi yang turut serta menganjurkan dan menjayakan webinar ini. Program ini satu daripada usaha mempromosikan peranan serta memperkasakan lagi bakat wanita dengan menampilkan panel-panel undangan yang terdiri daripada golongan wanita sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.