24 Disember 2022, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Riau, Indonesia – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menitahkan ucapan selamat bergembira bersama-sama seisi keluarga kepada semua rakyat negeri Perlis yang menyambut Hari Krismas pada hari esok, Ahad, 25 Disember 2022 dengan harapan semoga semangat kasih sayang, saling menghormati, bertolak ansur dan perpaduan terus segar dan sentiasa ditambah baik dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri itu.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai USD112 menurut hebahan media MAIPs, kepada Masjid At-Taqwa, Jalan Wonosari Kelurahan Kota Baru, Kecamatan Teluk Sebong Kabupaten Bintan, Kepulauan Riau yang diterima oleh Ahli Jawatankuasanya, Bapak Parlian, pagi tadi.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda-anakanda baginda, YAM Sharifah Khatreena Nuraniah dan  YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Pada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan sekalian rakyat yang akan menggunakan minggu terakhir cuti persekolahan di hujung tahun ini untuk “makan angin” atau menghantar anak-anak atau jagaan masing-masing pulang ke asrama supaya berhati-hati di jalan raya. Baginda juga bertitah supaya sentiasa membuat perancangan awal sebelum bertolak demi untuk keselamatan diri sendiri dan juga seisi keluarga tersayang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.