29 Disember 2022, 14:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mutakhir, isu gangguan seksual kian hangat diperkatakan dalam kelompok masyarakat. Perkara ini dibuktikan melalui statistik kes gangguan seksual dan keganasan yang amat membimbangkan, terutamanya di Malaysia. Perubahan yang membawa kepada peningkatan angka yang tidak dijangka, membuatkan masyarakat semakin bimbang apabila emnyentuh tentang isu ini.

Menurut Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, gangguan seksual didefinisikan sebagai satu daripada tingkah laku berbentuk seksual yang memberikan kesan kepada mangsa sama ada dalam bentuk ugutan dan ancaman terhadap ketenteraman  peribadi. Kes gangguan seksual ini sering melibatkan golongan wanita sebagai mangsa. Namun begitu, kes gangguan seksual tidak hanya tertumpu kepada golongan wanita, malah golongan lelaki juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan kes ini.

Di Malaysia, hampir 80 peratus kes yang melibatkan serangan dan gangguan seksual dalam kalangan wanita tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Gangguan seksual bukan sahaja berlaku di tempat tersembunyi, malah membabitkan tempat awam dan tempat kerja. Dalam erti kata lain, gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Tidak kira wanita ataupun lelaki, dewasa ataupun kanak-kanak, pekerja ataupun majikan, guru ataupun pelajar, serta individu dan ahli keluarga sendiri sekalipun, berkemungkinan akan menjadi individu yang melakukannya, atau menjadi mangsa kepada kes gangguan seksual ini.

Tidak dinafikan bahawa masih ada segelintir masyarakat yang belum celik tentang perkara ini. Mereka beranggapan bahawa gangguan seksual ini tidak mendatangkan sebarang kesan atau implikasi yang serius dalam kalangan masyarakat. Bahkan, ada segelintir yang memandang enteng terhadap isu ini kerana mereka sudah biasa dengan norma yang membawa kepada berlakunya kes gangguan seksual ini.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Azura dan Ahmad Izzudin Fahmi (2010) menunjukkan bahawa bentuk gangguan seksual yang paling banyak berlaku adalah gangguan yang berbentuk lisan (47.1%), seperti gurauan lucah dan pujian berbaur seksual, dan diikuti gangguan berbentuk gangguan fizikal (33.3%), seperti meraba dan melakukan sentuhan berunsurkan seksual. Selain itu, bentuk gangguan seksual lain yang berlaku, termasuklah berunsur seksual yang bermaksud memuji (20%), kata-kata berunsur seksual yang bermaksud mencaci (16%), pandangan atau isyarat berunsur seksual yang bermaksud mencaci (12%), pandangan atau isyarat yang bermaksud memuji (10%), paksaan untuk mengadakan temu janji (7%) dan sentuhan yang bermaksud seksual (5%).

Ironinya, mangsa akan mengalami mimpi ngeri, malah berkemungkinan boleh menyebabkan suatu peristiwa hitam bagi dirinya. Kehidupan yang pada mulanya dilalui dengan baik, namun dicacatkan dengan perilaku yang mengundang ketakutan dalam tempoh yang panjang mahupun pendek. Sebagai contoh, gangguan seksual boleh menyebabkan seseorang wanita itu berada dalam keresahan, tekanan dan kemurungan sehingga boleh membawa kepada cubaan membunuh diri apabila bebanan emosi yang mereka hadapi tidak dapat dikawal.

Dalam hal ini, wanita banyak menjadi mangsa gangguan seksual, namun tidak ramai antara mereka yang berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa. Hal ini dikatakan demikian kerana timbulnya perasaan malu untuk berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat yang menuding jari kepada mangsa, rasa terancam dengan ugutan dari si pelaku dan bimbang akan dibuang kerja dalam sesebuah organisasi. Dalam sesetengah kes, mangsa tidak melaporkan kejadian tersebut kerana kesedaran mereka terhadap hak dan peruntukan undang-undang masih berada pada tahap yang rendah.

Antara faktor yang menyebabkan gangguan seksual tidak dilaporkan, termasuklah mangsa bimbang tindakan tersebut tidak diambil secara serius, tidak dinaikkan pangkat, risau akan menerima amaran atau kes direkodkan, bimbang diberhentikan kerja dan disebabkan malu akan menjadi bahan sindiran oleh masyarakat luar. Ada antara mangsa yang tidak berani tampil ke hadapan untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya dan mengambil keputusan untuk melupakan sahaja kes yang melibatkan keselamatan diri mereka itu kerana menganggapkan bahawa tiada sesiapa yang akan membantu berjuang bersama demi membela nasib mereka.

Walau bagaimanapun, ada juga mangsa kes gangguan seksual ini yang berani untuk tampil menyuarakan tentang kejadian yang mereka alami. Mereka berfikir bahawa perkara yang terjadi bukan berpunca daripada diri mereka sendiri sehingga membuatkan mereka tidak mempunyai suara untuk menyatakan hak mereka. Mereka juga berfikiran jauh, sekiranya bukan mereka yang mengetengahkan isu ini, sudah tentu tidak ada individu lain yang akan mempertahankan hak mereka. Mangsa yang bertindak berani juga tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada orang lain, dan disebabkan itulah mereka berfikir bahawa pengajaran perlu diberikan kepada pelaku supaya dapat menegakkan keadilan.

Meskipun begitu, mangsa gangguan seksual ini memilih untuk berani mengekspresikan apa-apa yang mereka lalui pada detik mereka diganggu dengan unsur seksual adalah disebabkan oleh faktor keluarga. Umum mengetahui, keluarga merupakan institusi yang sentiasa akan bersama-sama seseorang individu itu tidak kira dalam keadaan senang mahupun susah. Oleh hal yang demikian, dorongan daripada ahli keluarga sedikit sebanyak memberikan impak kepada mangsa untuk berani melaporkan tentang kejadian yang mengganggu mereka. Sebagai contoh, ahli keluarga berperanan untuk memberikan cadangan kepada mangsa bagi mengumpulkan bukti berkaitan dengan gangguan yang dialami, sebelum membuat keputusan untuk melaporkan kes tersebut kepada polis.

Gangguan seksual tidak boleh dibiarkan terus berleluasa sehingga membawa kesan negatif kepada mangsa dan masyarakat. Bagi mangsa, tidak salah untuk berani ke hadapan menyuarakan kebenaran. Sebagai masyarakat pula, kita haruslah berfikir secara meluas dan matang bahawa kes ini perlu ditangani sebelum menjadi lebih parah. Tambahan pula, perilaku generasi kini yang semakin hari, semakin membimbangkan, dikhuatiri akan terus berlarutan tanpa ada penghujungnya. Kes gangguan seksual perlu dibendung untuk membuka mata dunia bahawa setiap pesalah harus diberikan hukuman, manakala yang pihak benar, iaitu mangsa berhak mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.