30 Disember 2022, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertandingan Bola Sepak FIFA Piala Dunia Qatar 2022 telah melabuhkan tirainya pada 18 Disember yang lalu. Argentina telah dinobatkan sebagai juara Piala Dunia dan kepulangan wira negara tersebut telah dinantikan dan disambut dengan begitu meriah oleh lebih kurang empat juta orang rakyat Argentina yang berkumpul di sepanjang jalan di Buenos Aires. Sebagai langkah keselamatan disebabkan jumlah yang begitu ramai menyambut kehadiran pemain tersebut, pemain negara tersebut terpaksa menaiki helikopter dan terbang di semua laluan tempat peminat mereka berkumpul sebagai menghargai sambutan yang diberikan.

Ini merupakan kali ketiga Argentina menjuarai Piala Dunia. Negara tersebut pernah menjadi juara pada tahun 1978 dan tahun 1986. Pada tahun 1978, pertandingan Piala Dunia tersebut telah diadakan di Argentina sendiri, apabila telah mengalahkan Belanda 3-1 pada perlawanan akhir. Wira Argentina pada masa tersebut ialah Mario Kempes. Pada tahun 1986, pertandingan berlangsung di Mexico dan Argentina sekali lagi menjadi juara setelah mengalahkan Jerman Barat 3-2. Wira Argentina pada masa itu ialah mendiang Diego Maradona.

Argentina juga pernah mendapat tempat kedua dalam kejuaraan Piala Dunia sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 1930, 1990 dan 2014. Dalam sejarah Piala Dunia sebanyak 18 kali, Argentina telah memenangi 47 daripada 88 perlawanan. Oleh hal yang demikian, kehebatan Argentina dalam bola sepak sememangnya tidak dapat disangkal lagi.

Namun begitu, dalam aspek ekonomi, prestasi Argentina sangat jauh berbeza dan amat mengecewakan. Hal ini agak menghairankan kerana pada penghujung abad ke-19, negara tersebut berada dalam kalangan 10 buah negara terkaya di dunia. Bahkan, negara ini pada masa itu lebih kaya berbanding dengan Perancis, Itali, Jepun dan juga Jerman.

Antara industri yang menyumbang kepada pendapatan negara tersebut ialah pertanian, khususnya sektor daging lembu, gandum dan hasil-hasil ladang lain yang dijalankan oleh tenaga kerja yang berpendidikan. Kebanyakan eksportnya adalah ke Amerika Syarikat dan Eropah. Namun begitu, kini Argentina tidak lagi berada dalam kalangan negara kaya. Bahkan Argentina terkenal sebagai salah sebuah negara yang sangat bermasalah dari aspek ekonomi dan kewangan.

Sebagai contoh, semenjak Argentina menyertai Tabung Kewangan Dunia (IMF) pada 1956, Argentina telah meminta dan bersetuju menerima 22 program sokongan kewangan daripada organisasi tersebut. Insiden kewangan yang paling ketara ialah semasa krisis kewangan pada tahun 2001 apabila Argentina gagal membayar pinjaman IMF sebanyak A.S.$21.6 bilion, selain gagal membayar hutang bernilai A.S.$95 bilion kepada pemiutang lain.

Sebenarnya, kejatuhan ekonomi Argentina telah bermula semenjak tahun 1930-an lagi. Puncanya ialah kerana kebergantungan Argentina kepada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah yang mengakibatkan ekonomi Argentina merosot teruk apabila Amerika dan Eropah dilanda krisis ekonomi yang dipanggil ”The Great Depression” antara tahun 1929 hingga 1939. Eksport Argentina telah menjunam dan akibatnya, sumber pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai eksport dan import juga menjunam.

Keadaan ekonomi yang teruk seterusnya telah mengakibatkan krisis politik yang serius di Argentina sehingga bermulalah satu era baharu di negara tersebut apabila pihak tentera telah campur tangan secara aktif dalam pentadbiran negara.

Pada tahun 1978, tahun yang menyaksikan Argentina memenangi pertandingan bola sepak Piala Dunia buat pertama kalinya, masalah inflasi negara tersebut bertambah teruk dan telah meningkat ke tahap 600 peratus. Rakyat yang tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut telah memprotes. Malangnya, kerajaan tentera telah bertindak ganas terhadap pengkritik yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan yang berhaluan kiri. Banyak pemimpin daripada kalangan ini telah dibunuh oleh pemerintah tentera dengan kejam. Fasa ini dikenali sebagai “Perang Kotor” atau “Dirty War”. Dianggarkan juga 30 000 orang rakyat Argentina telah “hilang” tanpa diketahui sebab dan nasib mereka.

Argentina sekali lagi menjuarai pertandingan bola sepak Piala Dunia pada tahun 1986 dan bintang bola sepak Diego Maradona menjadi kebanggaan semua rakyat Argentina. Walau bagaimanapun, masalah ekonominya terus meruncing. Pada tahun 1989, inflasi telah mencapai kadar 5000 peratus. Keadaan sosial menjadi gawat dengan tunjuk perasaan berlaku di merata-rata tempat. Banyak pasar raya diserbu oleh perusuh yang kelaparan akibat kemiskinan dan kemelaratan hidup.

Pada akhir 1990-an, Argentina telah menghadapi keadaan kemelesetan ekonomi yang serius dengan kadar pengangguran hampir 15 peratus. Kutipan cukai oleh kerajaan menurun akibat keadaan ini. Di samping itu, Argentina juga menghadapi masalah lain seperti rasuah dan hal ini telah menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan serta hutang kerajaan. Pada tahun 1998, ekonomi Argentina telah menguncup sebanyak kira-kira 28 peratus.

Argentina turut terkesan akibat krisis kewangan di Asia Timur pada tahun 1997 dan krisis kewangan Rusia pada tahun 1998. Pemilik modal telah tergesa-gesa keluar dari Argentina dengan menjual mata wang Peso dan menukarkannya kepada Dolar Amerika. Namun begitu, pihak berkuasa Argentina mahu melindungi rizab Dolarnya, dan oleh sebab itu  mereka telah membekukan pengeluaran Dolar Amerika dari bank pada penghujung tahun 2001. Polisi yang terkenal dengan nama Corralito ini membuat rakyat marah dan rusuhan teruk telah berlaku sehingga mengakibatkan puluhan nyawa terkorban.

Argentina juga gagal menjelaskan hutang yang berjumlah hampir A.S.$100 bilion yang merupakan kes kegagalan membayar hutang (default) yang paling besar di dunia pada masa tersebut.  Hal ini memberikan tamparan hebat kepada imejnya dan mengakibatkan negara tersebut dipinggirkan daripada pasaran kewangan dunia. Ekonomi Argentina terus merosot dengan kadar penganggurannya telah meningkat melebihi 20 peratus. Di samping itu, masalah kebuluran dan kelaparan serta kekurangan zat makanan berleluasa walaupun sebenarnya negara itu mempunyai ladang gandum dan soya yang banyak. Rusuhan dan rompakan turut merebak ke ibu kota Argentina.

Penguncupan ekonomi Argentina sehingga sebanyak 20 peratus telah menyebabkan ribuan anak muda berhijrah ke Eropah untuk mencari rezeki. Rakyat yang kelaparan merasa bingung kerana banyak ladang mengeluarkan bijirin makanan, namun kebanyakan daripada bijirin tersebut dieksport keluar oleh pengusaha.

Pada tahun 2008, kerajaan Argentina telah menaikkan cukai eskport ke atas keluaran pertanian daripada 35 peratus menjadi 44 peratus.  Langkah itu adalah untuk menambahkan sumber kewangan kerajaan dan juga untuk mendapat sokongan rakyat miskin yang menderita. Akan tetapi, tindakan ini membuatkan pengusaha pertanian berang kerana polisi tersebut memberi kesan negatif kepada perniagaan mereka. Tambahan pula, kebanyakan daripada pengusaha ini berhutang dengan industri perbankan dan perlu membayar balik hutang tersebut melalui pendapatan yang diperoleh daripada eksport luar negara.

Antara tahun 2007 hingga 2015, Argentina dipimpin oleh Presiden Cristina Kirchner. Beliau gemar menipu dan tidak mengakui kesahihan data-data ekonomi yang menunjukkan prestasi ekonomi negara yang teruk. Beliau juga mempunyai reputasi sebagai pemimpin yang korup. Maka, tidak hairanlah apabila kerajaan beliau tidak berjaya menyelesaikan masalah.

Polisi kerajaan di bawah Presiden Mauricia Macri yang memerintah dari tahun 2015 sehingga 2019 juga gagal menyelesaikan masalah ekonomi. Polisi beliau mengakibatkan masalah kenaikan kos sara hidup. Pada bulan Jun 2016, harga barangan meningkat sebanyak 4.2 peratus dalam tempoh satu bulan sahaja.

Pada masa ini, Argentina berada di bawah pimpinan Presiden Alberto Fernández. Beliau masih gagal menyelesaikan masalah inflasi. Bahkan, hal tersebut semakin serius dengan kadar menghampiri 100 peratus. Selain itu, hampir 40 peratus rakyatnya terdiri daripada  golongan miskin. Alberto Fernández telah cuba menstabilkan kedua-dua mata wang dan ekonomi dengan menyekat atau mengenakan cukai eksport komoditi utama negara terhadap barangan pertanian seperti soya, daging dan gandum, namun masalah tersebut masih tidak selesai dengan sepenuhnya. Bahkan ada yang berpendapat langkah perlindungan ekonomi oleh beliau itu hanya memburukkan lagi keadaan. Di jalan-jalan di Buenos Aires dan bandar-bandar lain, jumlah gelandangan dan golongan yang terdesak berusaha mencari rezeki dengan mencari tong sampah dan produk kitar semula didapati telah meningkat secara drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hakikat kehidupan masyarakat di Argentina sebenarnya amat perit walaupun mereka menjuarai Piala Dunia. Berdasarkan huraian dan penjelasan kepada masalah ekonomi Argentina yang telah berlarutan sekian lama, beberapa pengajaran utama dapat dirumuskan. Pertama, jika sistem ekonomi dan kewangan negara bersandarkan sistem riba dan industri hutang, maka ekonomi negara berkenaan lambat laun akan bertambah teruk dan rakyat akan sengsara walaupun negara mempunyai banyak hasil mahsul.  Kedua, rampasan kuasa oleh tentera atau apa-apa langkah yang tidak demokratik bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan membuka ruang kepada kezaliman yang membuatkan rakyat lebih sengsara.  Ketiga, pemimpin yang tidak bercakap benar atau suka menipu dan beramal dengan rasuah akan membuatkan keadaan bertambah teruk. Akhir sekali, jika negara berjaya dalam arena sukan, rakyat akan mudah disibukkan dengan isu sukan dan kurang memikirkan tentang perkara penting dalam kehidupan. Akhirnya rakyat akan lebih senang menjadi mangsa manipulasi pemimpin yang korup.

Profesor Dr. Nazari ismail, ialah Profesor Kehormat, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.